|
|
KEYNOTE, sebuah rancangan yang bertujuan mencungkil bakat baru dalam penciptaan lagu merupakan cetusan idea komposer prolifik, Mohd. Faizal Maas atau Ajai.
Bermula 15 Jun lalu, melalui saluran Ria (saluran 104, Astro) pukul 10 malam, Zon Keynote memulakan siarannya yang menyiarkan suasana ketika uji bakat dan juga aktiviti 12 peserta di rumah studio mereka.
Baru-baru ini, bertempat di rumah studio Keynote, Damansara Heights, Kuala Lumpur buat pertama kalinya kesemua 12 peserta diperkenalkan kepada media.
Antara 12 peserta yang dipilih, tiga wanita merupakan antara komposer muda berbakat yang turut tersenarai.
Mereka ialah Nur Affina Yanti Jamalludin, 28, atau Fynn dari Kota Tinggi, Johor; Rina Salwani Sulong, 27, (Rina - Labuan, Sabah) serta Nur Syazwana Ahmad Razman, 21, (Shana - Labuan, Sabah).
Selain ketiga-tiga wanita itu, sembilan lagi peserta ialah Robson Andreas @ Syahirul Aqasha, 22, atau Aqasen dari Tambunan, Sabah; Mohd. Farhan Izharruddin, 26, (Faan - Kuantan, Pahang); Mohd. Khairul Abd Khalid, 25, (Hairul - Kuala Lumpur) dan Khairul Nizam Nazri, 25 (Keroz - Kuantan, Pahang).
Turut layak, Khoo Wei Yong, 20 (Khoo - Tambunan, Sabah); Raja Nazrin Shah Raja Azaham, 20, (Nazrin - Taiping, Perak); Neroshen A/L Thanaseharan, 20, (Nero - Kuala Lumpur); Nur Mohd. Alief Ayub, 22, (Nomad - Kuala Terengganu, Terengganu) dan Khairul Syukri Mohd. Ridzuan, 22, (Syukri - Kuala Lumpur).
Menurut Ajai yang bertindak selaku Dekan Keynote, kesemua peserta yang dipilih memenuhi kriteria.
"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, saya mahukan seorang komposer yang dalam menulis lagu dan berpengetahuan luas dalam muzik.
"Sepanjang uji bakat dijalankan, ramai anak-anak muda yang menonjolkan keunikan masing-masing. Jadi, Keynote hanya memerlukan 12 orang yang benar-benar layak.
"Inilah individu yang benar-benar layak mengisi kuota 12 orang itu," jelas Ajai yang secara tidak langsung akan bertindak selaku produser terhadap lagu-lagu yang dicipta oleh anak-anak buahnya kelak.
Sementara itu, Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen memberitahu, mekanisme yang akan dipraktikkan dalam menentukan juara sulung program ini adalah berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) sepenuhnya.
"Lagu-lagu ciptaan mereka akan disiarkan menerusi radio rasmi Keynote iaitu Sinar FM agar lagu-lagu tersebut akan cepat mesra dengan pendengar.
"Jadi, ia akan memudahkan pengundi untuk memilih komposer kesukaan mereka selain melihat sendiri di kaca televisyen," katanya yang bertindak sebagai salah seorang juri rancangan itu.
Tambah Amin, setiap minggu, dua peserta akan disingkirkan dan hanya enam peserta sahaja yang layak beraksi di pentas final pada 28 Julai nanti.
Dalam pada itu, Ajai menjelaskan, kesemua yang dipilih mempunyai kekuatan yang tersendiri.
"Bukan itu sahaja, semangat kerja berpasukan jelas kelihatan dalam diri setiap peserta yang dipilih.
"Persaingan yang diberikan antara satu sama lain menimbulkan satu situasi yang positif dan sihat," tambah Ajai.
Sesi rakaman konsert Keynote akan berlangsung di Universiti Limkokwing Cyberjaya pada pukul 7.30 malam bermula 29 Jun ini.
Siaran untuk konsert berkenaan boleh ditonton di saluran Ria, setiap Rabu pada pukul 10 malam dan akan menampilkan Farish Aziz serta Yasmin Hani sebagai pengacara.
Minat berkarya
Sementara itu, Fynn yang juga seorang pensyarah di Universiti Limkokwing berkata, walaupun Keynote sebuah pertandingan, namun dia tidak merasakan sedemikian.
"Pada pendapat saya, muzik hanyalah melodi untuk dihayati oleh mendengar. Jadi, setiap individu ada kelebihan masing-masing," jelas Fynn.
Sebelum ini, Fynn cukup dikenali apabila sering menyertai malam puisi selain terkenal menerusi laman blognya yang menggunakan nama Fynn Jamal.
Sementara itu, peserta yang berasal dari Labuan, Rina memberitahu, dia berhasrat untuk mengenengahkan muzik Malaysia ke satu tahap yang boleh dibanggakan.
"Sebab itu saya berminat menyertai rancangan ini walaupun pada asalnya, saya hanya kebetulan berada di lokasi uji bakat di Wisma Bentley, Mutiara Damansara," jelas animator bebas yang meminati genre muzik blues dan jazz itu.
Tambah Rina, dia cukup mengagumi komposer seperti Aubrey Suwito dan Audi Mok melalui lagu-lagu ciptaan mereka yang disifatkan cukup puitis.
Dalam pada itu, Nazrin pula mula berminat mencipta lagu sejak di bangku sekolah lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: