CHEF selebriti popular, Chef Zam atau Zamzani Abd Wahab yang baru sahaja meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah di Kolej KDU selepas 12 tahun berkhidmat terus mengembangkan profil karier masakannya dengan mengeluarkan buku masakan pertamanya.
Menghimpunkan 50 resipi termasuk 40 resipi bergambar, buku berjudul Segalanya Nasi dan Everything Rice & Nice yang diterbitkan dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris itu memaparkan pelbagai resipi pilihan Chef Zam yang berasaskan beras dan nasi.
Menurut Chef Zam yang dihubungi oleh mStar Online baru-baru ini, semua resipi yang dipaparkan itu mengambil masa lebih 10 tahun untuk dikumpulkan.
Memandangkan kesibukannya dengan tugasan sebagai pensyarah dan chef selama ini, penerbitan buku itu yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali.
Penerbitan buku dwi-bahasa itu menjadi kenyataan akhirnya selepas mendapat sokongan daripada syarikat penerbit buku itu, Marshall Cavendish yang bersungguh-sungguh untuk menerbitkan buku itu.
"Sebenarnya ilham untuk menerbitkan buku sendiri sudah tercetus sejak beberapa tahun lalu. Namun, disebabkan dengan kesibukan kerja projek ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali. Saya harus berterima kasih kepada syarikat penerbit, Marshall Cavendish yang bersungguh-sungguh mahukan saya mengeluarkan buku ini.
"Selepas perbincangan tentang konsep buku dan pemilihan 50 resipi yang terbaik dijalankan bersama penerbit, akhirnya kedua-dua versi buku ini muncul. Walaupun saya sudah lama terlibat dalam bidang masakan, ini adalah buku masakan solo saya yang pertama. Saya sangat gembira dengan penerbitannya," katanya.
Bercerita tentang keistimewaan buku ini, anak jati Terengganu itu berkata, 40 resipi dalam buku itu dipersembahkan dalam bentuk bergambar dan berwarna-warni bagi gambaran lebih jelas kepada pembaca.
Kesemua resipi yang dipaparkan adalah kompilasi resipi ciptaannya sendiri, resipi tradisional yang diperbaharui mengikut selera kontemporari seperti nasi dagang serta beberapa resipi daripada teman-teman chef dari luar negara seperti Indonesia, Sepanyol dan Timur Tengah.
"50 resipi yang saya pilih ini adalah berasaskan beras dan nasi, daripada resipi pembuka selera hinggalah ke pencuci mulut. Ia merangkumi resipi daripada negara kita sendiri seperti nasi dagang dan bubur lambuk Terengganu dan resipi daripada teman-teman chef di luar negara seperti Lemper Ayam (Indonesia).
"Ia dihias dan dipersembahkan mengikut stail yang moden dan kontemporari bagi memberikan kelainan daripada mana-mana resipi yang sedia ada," ceritanya.
Tambah Chef Zam, kedua-dua versi buku tersebut diterbitkan dalam format kulit lembut agar ia lebih praktikal untuk kegunaan para pembaca. Selain dijadikan panduan dan pengetahuan kepada peminat dunia masakan, pembaca yang ingin mencuba resipi yang dipaparkan juga mudah untuk membawa dan melipat buku tersebut ketika memasak di dapur.
"Buku-buku ini memang diterbitkan dalam format kulit lembut supaya ia mudah untuk digunapakai. Jika diterbitkan dengan kulit tebal, tentulah susah dan leceh untuk dilipat atau dibawa ke merata tempat. Sudahnya, ia dijadikan perhiasan atau disusun dengan cantik di rak sahaja.
"Sebab itu saya terbitkan dalam format kulit lembut supaya memudahkan pembaca membawa dan melipat buku ini apabila mereka memasak di dapur atau ke mana sahaja," katanya yang terlibat sepenuhnya dengan proses penerbitan buku itu.
Buku masakan Everything Rice & Nice dan Segalanya Nasi kini sudah berada di pasaran dengan harga RM39.90 seunit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: