Monday, June 28, 2010

Belum ada cinta

DUA kali putus cinta membuatkan Jue Aziz lebih berhati-hati. Dia tidak mahu kisah lama berulang lagi dan kerana itu belum bersedia membuka pintu hatinya untuk mana-mana lelaki. Pun begitu, baru-baru ini timbul desas-desus kekosongan hati aktres jelita ini terisi dengan kehadiran pendatang baru, Amar yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Anak Wayang.

JUE... belum bersedia buka ‘pintu’ untuk  lelaki.
JUE... belum bersedia buka ‘pintu’ untuk lelaki.

Ketika dihubungi untuk mendapat kepastian mengenai perkara itu, anak jati Ampang, Kuala Lumpur ini nyata terkejut dan cepat-cepat memaklumkan dia dan Amar hanyalah teman rapat dan tiada ikatan istimewa.


Biarpun beberapa kali didesak, gadis ini kekal dengan jawapan sama. Tegasnya, dia masih fobia dengan pengalaman lalu.


“Dari mana media tahu cerita ini? Sungguh, antara saya dan Amar tidak ada apa-apa, kami hanya kawan rapat. Ramai juga kawan-kawan artis yang rapat dengan saya termasuklah Aril AF. Kami selalu lepak sama-sama jika tidak ada aktiviti seni.


“Kalau bercinta pun tidak, macam mana pula boleh timbul cerita kami berpisah? Hairan sungguh. Takkanlah orang selalu nampak kami bersama, terus cop kami bercinta. Bagi saya tak salah berkawan atau keluar lepak ramai-ramai. Lagipun saya kerja teruk di lokasi, jadi sesekali perlukan sedikit ruang hiburkan hati dengan teman-teman.

“Kebetulan pula saya tidak ada masa untuk bercuti panjang, jadi apa yang mampu saya buat adalah keluar minum bersama rakan-rakan termasuklah Amar. “Barangkali orang nampak kami mesra dan bertepuk tampar, jadi mereka sangka kami bercinta. Jangan fikir bukan-bukan, kami berkawan baik bahkan hubungan kami sudah seperti adik-beradik. Kalau tak percaya, tanyalah Amar,” katanya sambil ketawa.


Begitupun, dia tidak menolak kemungkinan cerita itu sengaja direka mereka yang cemburu dengan peningkatan kerjayanya. Bukan mahu menuduh tetapi ada kebarangkalian kerana ia timbul tatkala wajahnya kerap muncul di kaca TV sedangkan ketika sepi beberapa ketika dulu, tidak ada pula sebarang isu dibangkitkan.


“Saya sudah lali dengan cerita kurang enak yang dilemparkan mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya jenis yang tidak mudah melatah dan malas ambil pusing. Katalah apa saja, apabila penat nanti mereka akan diam.


“Lagipun sudah lumrah gosip dan kontroversi adalah sebahagian daripada rencah hidup artis. Kalau nak ikutkan, memanglah sedih bila dikaitkan dengan cerita yang bukan-bukan apatah lagi saya mencari rezeki yang halal. Sebagai manusia, apa yang saya mampu buat hanyalah bersabar. Sepedih mana pun ia, kenalah terima dengan hati terbuka.


“Cuma, saya mengharapkan sedikit pengertian daripada teman media dan peminat. Saya juga manusia biasa yang ada naluri mahu berkawan. Takkanlah hanya kerana menjadi artis saya tidak boleh berkawan macam orang lain. Saya tahu apa yang saya buat dan paling penting keluarga percayakan saya,” katanya yang kini hangat dengan drama Janji Kekasih yang disiar di TV3.


Bercakap soal menamatkan zaman bujang, Jue berkata, dia tidak mahu terburu-buru malah tidak meletakkan sebarang perancangan. Gadis berwajah seksi ini percaya, takdir setiap insan sudah tertulis dan apabila sampai seru pasti dia melangkah ke jinjang pelamin.


“Saya bukan muda lagi, justeru itu perlu lebih berhati-hati dan serius dalam memilih pasangan hidup. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini belum bertemu lagi yang sesuai. Jadi, biarlah buat sementara waktu ini saya fokuskan sepenuh perhatian terhadap karier dan usaha mengumpul aset untuk kesenangan diri dan keluarga.

“Kalau bertemu yang berkenan di hati saya tak nak bercinta lama-lama. Dapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak, terus kahwin. Saya tidak kisah bakal suami nanti orang seni atau tidak tetapi jika bukan dalam industri lebih baik kerana lebih ‘privacy’,” kata Jue.


Beralih perihal kerjaya, dia bersyukur dengan rezeki yang diperoleh sepanjang tahun ini. Empat tahun bertapak dalam industri, Jue makin diterima bahkan saban hari ada saja tawaran baru menyusul.


Terbaru, gadis berusia 27 tahun ini baru selesai penggambaran telefilem Kasih Sejati, arahan Adam Hamid untuk tayangan TV3. Biarpun kekok menghidupkan watak remaja kampung berusia 19 tahun, pengalaman itu sangat menarik bahkan dia senang apabila tidak perlu bersolek tebal dan hanya perlu menyarungkan pakaian yang ringkas serta tidak keterlaluan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: