KUALA LUMPUR: Kereta dan Rumah mewah yang dimiliki oleh penulis novel terkenal Ahadiat Akasha,44, menjadi pertikaian dalam perbicaraan permohonannya bagi pengubah perintah nafkah anak yang difailkan pada Januari lalu.
Bekas isterinya, Shahilah Mat Nazir mendakwa Ahadiat mempunyai beberapa kereta mewah termasuk Porsche, Toyota dan Mercedes Benz serta mempunyai sebuah banglo mewah dan unik walaupun sudah diistiharkan muflis.
"Dia cuma muflis namun masih mempunyai harta lebih dari orang biasa. Walaupun tidak ada dokumen jual beli menggunakan namanya tapi dia yang pakai kereta tersebut.
Selain itu dia juga mempunyai banglo mewah dan unik seperti yang dikeluarkan dalam sebuah majalah," jelasnya.
Shahilah, 39, yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah bank menyatakan demikian ketika soal balas peguam mewakili Ahadiat, Mostadza Halimi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam.
Wanita itu memberi keterangan pada perbicaraan permohonan Ahadiat bagi mengubah perintah mahkamah sebelum ini yang menetapkan dia perlu membayar RM300 sebulan sebagai nafkah untuk anak mereka, Aishah Akashah bersia 14 tahun.
Dalam pada itu, Shahilah juga tidak bersetuju ketika ditanya tentang harta tersebut telah dijual kerana dirinya diisytiharkan muflis.
"Selepas dia jual rumah banglo tersebut dia beli kereta Porsche. Saya nampak transaksi yang dijalankan. Dia jual harta seperti keretanya kerana dia ingin membeli kereta yang lain," katanya.
Wanita itu juga yakini rumah banglo tersebut menelan belanja besar walaupun Mostadza menunjukan artikel yang keluar di majalah Anjung Seri keluaran Jun 2008 menyatakan rumah tersebut dibina mengunakan bahan terbuang.
"Itu adalah konsep rumah tersebut. Memang dia tidak mahu mengecat dinding rumahnya dan mengunakan barang lama untuk menjadikan konsep rumah tersebut. Bukan kerana tidak mampu atau muflis.
"Saya pernah masuk rumah itu dan tengok tapak serta draf lukisan rumah tersebut sebelum ia dibina." katanya menjawab pertanyaan Mostadza yang menyoal tentang keunikan sebuah rumah yang keluar di majalah tidak semestinya mewah.
Turut ditanya perkhidmatan bas sekolah bagi menghantar dan ambil anaknya, Shahilah memberitahu plantif hanya menghantar Aishah ke sekolah tiga kali seminggu.
Dia sebaliknya tidak setuju pertanyaan peguam tentang khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menghalang plaintif untuk mengambil anak mereka.
"SMS tersebut pada bulan Januari 2009 dan ketika itu saya sudah menyewa perkhidmatan bas sekolah untuk hantar dan ambil anak saya, jadi saya beritahu dia supaya tidak perlu berbuat demikian kerana ia adalah membazir.
Selain itu, Sahilah turut memohon agar wang nafkah tersebut diberikan tanpa mengambil kira pendapatan lain.
"Saya perlu duit itu untuk membeli keperluan-keperluan asas anak saya, sumbangan dari segi lain tidak diambil kira. RM300 itu adalah untuk makan minum dan pakai," katanya.
Terdahulu, dalam permohonan tersebut, Ahadiat selaku plaintif memohon nafkah terhadap anak tunggal mereka diberikan mengikut kedudukan kewangannya sekarang.
Permohonan itu dibuat Ahadiat selepas mahkamah tersebut pada 18 November tahun lalu memerintahkan dia membayar tunggakan nafkah anak sebanyak RM3,900 sejak Oktober 2007 hingga kini.
Ahadiat dan Shahilah berkahwin pada 3 Jun 1995 di Alor Gajah, Melaka dan disahkan bercerai pada 12 April 2000. Ahadiat kemudian berkahwin pula dengan Norhayati pada 13 Ogos 2000 dan memperoleh tiga anak.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung pada 13 Julai ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: