Monday, June 28, 2010

Ana Raffali tiada niat saingi Yuna

pix_gal0
JIKA Yuna tampil bertudung menyanyikan lagu berkonsepkan indie sehingga terbukti percubaan itu membuahkan hasil apabila berjaya ‘menawan’ pendengar menerusi Dan Sebenarnya, kini dia mempunyai pesaing terdekat, apabila seorang gadis comel yang sering tampil bersama gitar sambil mengenakan baju kurung atau kebaya, Ana Raffali

Nama Ana mula mencuri tumpuan peminat menerusi genre yang sama sehingga single pertamanya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur menjadi siulan, sekali gus melonjakkan namanya di persada seni. Sekalipun mempunyai banyak persamaan antara Yuna dan Ana termasuk memperjuangkan genre muzik yang sama, tampil bersama gitar ketika membuat persembahan, selain graduan lulusan UiTM iaitu undang-undang dan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL), namun personaliti antara kedua-duanya jauh berbeza. Pertama kali bertemu Yuna, ternyata dia seorang yang amat pendiam, tanya sepatah jawab sepatah sehingga pernah dilabel sombong atau bersikap diva oleh segelintir rakan wartawan, namun tidak bagi Ana. Apabila terpandang wajah comelnya yang sedang beraksi di depan kamera di dalam studio, terus dia melemparkan senyuman dan menyapa setiap orang yang berada berhampirannya.

Melihat penulis yang duduk seorang diri di satu sudut menunggu dia selesai fotografi, Ana terus merapatkan kerusinya lalu duduk bersebelahan menandakan dirinya sedia untuk ditemubual.

Apa yang pasti, Ana mampu melemparkan perasaan malunya jauh-jauh apabila bertemu media massa sekalipun baru kali pertama bertentang mata dengannya.
Memulakan bicara, Ana mengakui dia tidak pernah belajar muzik secara profesional sekalipun semua enam lagu yang terdapat di dalam album sulung beliau adalah ciptaan dan lirik tulisan sendiri.
“Saya sebenarnya meminati bidang seni, lebih-lebih lagi muzik. Justeru, apabila masuk UiTM kecenderungan saya ke arah muzik dan penciptaan lagu terus memuncak. Saya suka bermain gitar sambil menyanyi. Saya belajar main muzik sendiri, tak pernah ada pendidikan formal. Saya beli buku muzik dan belajar daripada situ. Alhamdulillah, hasilnya tidak mengecewakan.

“Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa saya sering tampil membuat persembahan sambil mengenakan baju kurung atau kebaya. Ia bukan gimik, sebaliknya bermula sejak saya bermain muzik di UiTM lagi, saya memilih penampilan begitu.

“Apabila saya memuat naik lagu saya di laman sesawang YouTube, tak sangka ia berjaya menarik minat komposer terkenal, Aidit Alfian untuk bekerjasama dengan saya.

“Malah, persembahan saya turut disertai sekumpulan pemuzik, The Marhaens yang dianggotai Aidit sendiri. Saya berasa bertuah kerana mampu meraih kepercayaan daripada seorang pemuzik hebat seperti dirinya,” kata Ana yang kini bernaung di bawah pengurusan AA Records milik komposer berkenaan, selain isterinya, Azura Haniza Abdul Aziz bertindak sebagai pengurus.

Album sulung Ana, Ketika Aku Kecil adalah edaran Universal Music Malaysia sudah pun menjengah pasaran tempatan mulai akhir April lalu.

Ditebak pertanyaan sejauh mana persamaan muzik yang diperjuangkan Ana bersama Yuna, dia terus menyatakan, sekalipun genre yang sama, namun jiwa muzik mereka berdua jauh berbeza.

“Muzik saya terarah kepada semangat patriotisme dan sayang kepada negara sendiri. Muzik kita sendiri mampu pergi jauh, tak perlu berbangga dengan muzik negara luar. Itu sebenarnya objektif kita. Selain itu, saya tak pernah terfikir untuk membawa muzik kita ke negara luar. Bagi saya, buktikan kepada orang-orang kita dulu bahawa anak tempatan juga boleh berjaya bermain muzik ciptaan mereka di tempat sendiri.

“Saya tak mahu industri muzik kita ke laut! Seboleh-bolehnya biarlah orang kita sendiri menghargai lagu ciptaan anak tempatan. Justeru, faktor inilah yang membezakan saya bersama Yuna. Yuna ada misinya sendiri, kami tidak sama walaupun setiap kali muncul di pentas membuat persembahan, kami bermain gitar. Perjuangan saya dan Yuna sebenarnya berbeza.

“Tolong jangan samakan kami! Yuna adalah Yuna. Apabila orang mendengar lagu Yuna, kemudian mendengar lagu saya, peminat pasti dapat membezakan muzik kami berdua,” katanya yang menyifatkan persaingan yang sihat wujud menerusi lagu Yuna dan dirinya, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pendengar menentukan cita rasa muzik masing-masing.

Belum sedia kongsi cerita teman istimewa

SUDAH tentu gadis cantik seperti Ana ini, ramai peminat ingin mengetahui kisah peribadinya terumata mengenai percintaan atau siapa gerangan lelaki yang kini bertakhta di dalam hatinya.

Lebih menarik, Ana juga tidak keberatan berkongsi cerita peribadi, lebih-lebih lagi yang membabitkan soal hati dan perasaan. Tentunya ramai yang ingin tahu, dalam usia yang meniti 25 tahun, sudahkah dirinya mempunyai teman lelaki istimewa?

“Kalau orang tanya, adakah saya sudah berpunya, saya mengaku ya! Tapi, untuk bercerita panjang lebar siapakah lelaki berkenaan, rasanya ia tidak perlu dikongsi secara terbuka. Saya sedar, sebagai artis saya hak peminat dan masyarakat, tapi tidak semua cerita peribadi boleh dikongsi bersama.

“Saya juga seperti gadis remaja lain, ada ruang peribadi untuk diri sendiri.
“Dalam keghairahan memantapkan kerjaya sebagai penyanyi, saya tidak akan sesekali menjadikan hidup sebagai satu pekerjaan, sehingga tidak ada masa untuk bersama rakan sebaya.

Bagi saya, muzik hanya sebahagian daripada hidup. Disayangi dan menyayangi adalah fitrah kehidupan manusia, cuma saya tidak mahu kisah peribadi mengatasi kerjaya, jika berlebihan, ia boleh menjadi racun,” kata Ana yang petah berkata-kata dan bersikap terbuka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: