HAMPIR tiga tahun pelakon jelita berdarah kacukan, Sharifah Sofea Syed Hussein, 25, tidak terbabit dengan sesi fotografi. Katanya ia disebabkan tiada cerita baru untuk dikongsi bersama peminat. Sofea bukan jenis yang sukakan publisiti rekaan semata-mata untuk menjadi popular.
Kata Sofea, drama itu diadaptasikan dari novel Natasya, karya Abu Hassan Morad yang juga produser drama itu. Oleh kerana kisah novel itu berdasarkan pengamatan dan pengalaman Abu Hassan ketika beliau ke Bosnia Herzegovina pada 1996 maka sebahagian besar cerita dalam novel itu berlaku di sana.
Lalu untuk menghidupkan jalan cerita seperti mana novel itu, separuh daripada penggambaran drama 25 episod itu dirakamkan di Bosnia. Apabila sebut saja penggambaran itu akan dilakukan di sana, dada Sofea bergetar hebat apabila terkenangkan peperangan yang pernah yang melanda negara itu. "Entah macam manalah rupa negara itu. Meskipun teringin hendak ke sana tapi saya risau juga kerana ia negara yang pernah berperang hebat. Bagaimana agaknya keadaan bentuk buminya dan banyak perkara lagi yang bermain di fikiran. Suami saya juga cakap dia bimbangkan keselamatan saya apabila diberitahu saya terpaksa menyambung penggambaran di sana.
"Namun kerana cintakan lakonan, saya pergi juga dengan rasa berdebar-debar. Sebaik saja menjejakkan kaki ke Bosnia, ternyata sangkaan saya dan kru penggambaran serta pengarahnya, Nurhalim Ismail, meleset sama sekali. Negaranya sudah aman sepenuhnya dan sangat cantik. Sukar hendak digambarkan dengan kata-kata.
"Seni bina bangunannya walaupun banyak yang tidak sempurna lagi kesan perang lalu, masih berdiri kukuh. Saya dan rombongan penggambaran itu ke sana pada awal Mei lalu di mana negara empat musim itu sudah hendak masuk musim bunga jadi suasananya sangat cantik, aman dan tenang. "Air sungainya sangat bersih dan jernih sehingga kita boleh minum terus. Begitu juga dengan air paipnya yang selamat diminum. Orangnya juga sangat moden di mana mereka kini sedang membina hidup baru. Kesan peperangan masih ada tetapi tidak sesekali mencacatkan keindahan negara itu," kata.
Menurut Sofea, pemerintah di sana sangat terhutang budi dengan Malaysia terutama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak membantu rakyat mereka. Ramai pelajar Bosnia belajar di negara ini dan negara kita juga membantu memulihara tempat bersejarah di sana yang hampir musnah.
Lantaran itu mereka sangat berbesar hati apabila ada rakyat Malaysia yang datang ke negara mereka. Apatah lagi sejak negara itu menghadapi peperangan, kedatangan pelancong sangat kurang kerana masing-masing beranggapan kesan peperangan membuatkan negara itu tidak sesuai lagi untuk dijadikan destinasi percutian walhal ia tidak benar. "Justeru, apabila mereka tahu kami dari Malaysia, semua pihak di sana memberikan sepenuh kerjasama membolehkan penggambaran berjalan lancar. Bayangkan dengan mudah kami diberi keizinan membuat penggambaran di trek lapangan terbang antarabangsa negara itu. "Cerita kami membuat penggambaran di sana juga mendapat liputan meluas dalam akhbar, majalah dan Internet. Mereka menganggap kedatangan kami ke Bosnia sebagai menjalin semula silaturahim yang sekian lama terbina.
"Saya sudah jatuh cinta dengan Bosnia dan selepas ini saya sedia pergi ke sana pada bila-bila masa saja. Dua minggu berada di sana rasa terlalu singkat kerana saya rasa seronok sangat. "Disebabkan semua sudut negara itu cantik, Nurhalim jadi rambang mata sehingga dia mahu ambil gambar di setiap tempat yang kami pergi. Katanya sayang sekali kalau pemandangan yang sangat cantik itu tidak dimuatkan dalam drama itu untuk tontonan penonton," katanya.
Berlakon sama dalam drama itu Beego yang juga bersama rombongan ke Bosnia. Barisan pelakon lain, Datuk Aziz Singah, Hamidah Wahab, Linda Hashim, Amanda Misbun, Watie Elite, Erynne Erynna, Hafidzuddin Fazil, Wafa Abd Kadir, Pekin Ibrahim, Rosnah Johari, Fadilah Mansor, Fazren Rafi dan Kismah Johar. Tambah Sofea yang pegang watak Natasha, cabaran paling besar membintangi drama itu apabila dia terpaksa bercakap dalam bahasa Bosnia. "Enam puluh peratus saya bercakap dalam bahasa itu dan agak rumit kerana ia campuran bahasa Arab, Turki dan Russia. Sejarah penjajahan negara itu yang panjang memberi banyak keunikan kepada bangsa dan bahasa yang dipertuturkan. Pun begitu, budaya negara itu banyak dipengaruhi bangsa Turki. "Sebelum berangkat ke Bosnia, saya belajar bahasa itu dengan orang Bosnia yang sudah lama menetap di sini. Apabila tiba di sana saya berguru pula dengan orang sana dan barulah saya dapat bercakap bahasa Bosnia yang sebenar mengikut cara serta dialek mereka.
"Makanan di sana juga sedap belaka dan saya sangat sukakan rotinya dan hidangan seperti murtabak yang dipanggil 'borek' dalam bahasa mereka. Borek itu lebih besar dan berinti. Saya memang tak memilih soal makan jadi semua makan di sana, saya rasa. Rezeki kami memang murah di sana kerana setiap hari ada saja yang mengajak kami makan di rumah mereka," katanya.Secara ringkasnya Angin Rindu Sarajevo menceritakan mengenai gadis Bosnia bernama Natasha berasal dari bandar pedalaman, Visoko. Kawasan itu terletak di daerah pergunungan terpencil dari kesibukan kota Sarajevo. Meskipun tinggal di pedalaman, pemikiran keluarga Natasha lebih terbuka berbanding penduduk setempat yang agak tertutup pemikirannya.
Ayahnya, Miladin Zirojevic, seorang ketua kampung, bekas guru dan sejak kecil pernah tinggal bersama orang Inggeris iaitu ketika keluarganya bekerja di rumah Gabenor Inggeris sewaktu bangsa itu menjajah Bosnia. Ayah Natasha mahu anak-anaknya berjaya dengan menghantar mereka belajar di sekolah Inggeris di Sarajevo. Anak pertamanya, Haric, berkelulusan universiti Sarajevo dan menjadi doktor yang berkhidmat di Mostar.
Anak keduanya perempuan, Munira, fasih berbahasa Inggeris dan bekerja sebagai pemandu pelancong dan bekerja di Zaqreb. Manakala Natasha anak ketiganya, lulusan UIA. Natasha suka melakukan kegiatan masyarakat dan mahu membangunkan anak bangsanya terutama penduduk tempatan supaya berjaya dan membangun seiring perkembangan dunia luar. Namun keadaan di Bosnia tidak semudah itu tambahan jika perubahan itu mahu dilakukan oleh anak gadis yang mendapat pendidikan di luar negara.
Sewaktu Natasha belajar di kolej Sarajevo, dia banyak menyertai kegiatan masyarakat kelolaan Yayasan LAJEPA yang diasaskan Profesor Azra. Ketika itulah dia berkenalan dengan Datuk Hamzah, tokoh NGO Yayasan Amal International dan Malaysia yang sering berulang alik ke Sarajevo. Dek kerana konflik yang menimpa negaranya, Natasha mendapat keistimewaan apabila ditawarkan meneruskan pengajian di UIA Malaysia. Manakala Sufian, anak Datuk Hamzah, berada dalam semester akhir kajian Undang-Undang di universiti yang sama. Sufian kemudian jatuh pada Natasha dan pada masa sama, Imran turut mencintainya. Belum sempat Natasha membuat keputusan mengenai lelaki pilihannya, dia terpaksa pulang ke kampung halamannya di Sarajevo. Untuk mengetahui apakah yang berlaku kepada cinta mereka, saksikan siarannya di RTM Ramadan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: