Wednesday, June 30, 2010

Setia mengacip buah pinang


TRADISI memakan sirih sudah hampir pupus di kalangan masyarakat hari ini.


SUATU masa dahulu, buah pinang amat dekat penggunaannya dalam masyarakat tempatan khususnya orang Melayu kerana penggunaanya dalam tradisi makan sirih.

Dimakan bersama gambir dan secalit kapur, tradisi ini amat erat dalam budaya masyarakat Melayu silam meliputi semua peringkat sama ada rakyat biasa sehinggalah ke istana.

Sama ada betul atau tidak, ada juga kepercayaan berpendapat meminum air rebusan pinang muda membantu mengetatkan vagina, manakala kepada lelaki yang mengamalkannya pula boleh menguatkan alat kelakian mereka.

Walaupun tiada catatan lengkap bila tradisi memakan sirih bermula, tetapi kalangan sejarawan percaya amalan itu sudah wujud lebih 3,000 tahun lalu di kalangan masyarakat Asia Tenggara.

Hilang nilai

Peredaran masa bagaimanapun menyaksikan tradisi ini semakin ditinggalkan apabila generasi yang memakan sirih di Malaysia semakin berkurangan.

Malah, ia menyebabkan secara tidak langsung buah pinang, daun sirih dan gambir hilang nilainya dalam kehidupan masyarakat Melayu hari ini.

Namun begitu, buah pinang masih menyumbang rezeki kepada seorang warga emas di Pulau Mutiara.

Walaupun selepas 50 tahun, Sabariah Man, 69, tetap setia meneruskan kerja memungut, memproses dan menjual buah pinang.

Dengan 30 batang pokok pinang yang masih subur di sekeliling rumahnya di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dia yang dikenali penduduk kampung dengan nama Nek Yah memberitahu rezekinya menjual buah pinang tidak pernah putus.

"Walaupun jualannya tak sebanyak mana, tetapi permintaan untuk buah pinang masih ada terutama daripada warga asing seperti Myanmar yang masih meneruskan budaya makan sirih.


NEK YAH mengupas dan memotong buah pinang menggunakan kacip dan golok sebelum ia boleh dipasarkan.


"Selain itu, buah pinang juga digunakan dalam rawatan perubatan tradisional," ujar Nek Yah yang tidak lekang dengan senyuman sambil tangan tuanya membelek-belek buah pinang yang telah dikupas.

Menurut Sabariah lagi, setiap kali buah pinang masak, cucunya yang berusia 20 tahun akan membantu menurunkan buah-buah tersebut untuk diproses sebelum ia dijual kepada pembeli.

Memproses buah pinang

Selain dijual kepada pemborong di Pekan Padang Serai dan Tasek Gelugor, buah-buah pinang yang siap diproses itu juga dibeli pembekal dari kawasan pulau.

Namun tidak semudah disangka, buah pinang perlu melalui proses tertentu sebelum ia dapat dipasarkan.

"Buah yang diturunkan akan dikumpul dalam bekas untuk dikeringkan selama satu hari.

"Bila cukup kering, ia akan melalui proses seterusnya. Di sini, beberapa peralatan diperlukan seperti golok, kacip, bakul, plastik dan penimbang bagi memudahkan kerja-kerja tersebut," katanya.

Buah yang kering dibelah dua menggunakan golok, diikuti proses membuang kulitnya bagi mendapatkan isi buah pinang menggunakan kacip.

Isi buah pinang yang dikeluarkan pula akan dipotong kecil (dibelah dua atau empat) sebelum ia ditimbang dan dibungkus mengikut keperluan pembeli.


BUAH pinang yang dipetik dari pokok akan dikeringkan selama sehari.


Menurut Sabariah, walaupun kelihatan mudah tetapi proses untuk membuang kulit dan mengeluarkan isi daripada buah pinang memerlukan kesabaran serta dilakukan dengan berhati-hati.

Sekiranya berlaku kecuaian ia boleh mengakibatkan kecederaan kerana kerja-kerja memproses buah pinang menggunakan kacip dan golok yang tajam.

Beliau yang mempelajari kerja-kerja tersebut daripada arwah ibunya sejak kecil lagi semasa tinggal di Kampung Sungai Nibong Besar merasa gembira kerana dapat mengekalkan tradisi perusahaan yang semakin dilupakan itu.

Katanya, sekitar tahun 50-an hingga 70-an, perusahaan buah pinang begitu laris sama seperti menjual barang-barang keperluan lain sebagai contoh sayur dan ikan.

"Namun, berbeza 30 tahun lalu, jumlah jualan buah pinang semakin merosot dan generasi muda sudah tidak tahu apa fungsi buah pinang ini.

"Sekali-sekala, ada juga pelajar sekolah atau universiti datang ke rumah melihat bagaimana buah pinang diproses dan mereka rasa seronok," katanya tersenyum.

Namun dalam hati kecilnya, Nek Yah tidak dapat menyembunyikan kegusarannya kerana dia tahu lambat laun perusahaan tersebut akan pupus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: