Wednesday, June 30, 2010

Cabaran WCOPA 2010


DIJADUALKAN mempersembahkan rentak Tari Inai di Hollywood, Suhaili menaruh harapan tinggi untuk menang.


MENGEMBANGKAN bakat ke luar negara sememangnya menjadi impian setiap karyawan seni. Apatah lagi dengan menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa di Hollywood yang akan mengiktiraf bakat dan mengubah nasib mereka untuk menjadi lebih terkenal.

Para peserta yang mewakili Malaysia pada pertandingan seni bertaraf dunia, World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2010 yang bakal berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat dari 17 hingga 25 Julai depan kini dalam proses bersiap sedia untuk menghadapi cabaran di Hollywood.

Merupakan kali keenam menyertai pertandingan tersebut, bagaimanapun pada tahun ini tiada sebarang artis terkenal yang menyertai barisan peserta yang bakal bertanding. Peserta yang terpilih mewakili Malaysia ke WCOPA kali ini ialah Cheryl Koh dan Khairullah Ezuan Sulaini bagi kategori vokal, Suhaili Ahmad Kamil dan Aswara Dance Co. untuk kategori tarian, sementara kategori muzik instrumental diwakili Rhythm of Borneo.

Satu lagi kategori iaitu peragaan diwakili Nur Farahdilla Marzuki dan Zulyasrani Zaulyaddin.

Bukan mudah untuk menyahut cabaran dari luar negara dan mendapat peluang bersaing antara satu sama lain, malah pendedahan ini merupakan satu langkah untuk golongan artis menempa nama di luar negara.

Justeru, pelbagai program diadakan di Malaysia untuk mencari dan menilai bakat terpendam yang dimiliki karyawan seni tempatan. Menurut Pengarah Eksekutif All Star Performing Arts (M) Sdn. Bhd., Romli Bidin, acara yang diadakan setiap tahun itu merupakan satu pertandingan yang akan memberi peluang kepada mereka untuk melonjakkan lagi nama mereka di persada seni suatu hari nanti dengan semangat dan latihan yang dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

Tambahnya, pada tahun ini karyawan seni Malaysia akan menyertai empat kategori kali ini iaitu kategori vokal, tarian, peragaan dan muzik instrumental.

Malaysia tidak akan menyertai kategori lakonan pada tahun ini kerana tiada sebarang individu yang berjaya membawa lakonan yang berkesan atau menarik perhatian juri untuk melayakkan mereka ke WCOPA 2010.

Menyentuh tentang persediaan ke gelanggang pertandingan itu nanti, menurut Cheryl Koh, gadis cilik yang baru berusia 14 tahun yang melayakkan diri untuk untuk kategori vokal, dia telah menjalani latihan hampir setiap hari bagi memantapkan lagi vokal dan gayanya apabila berada di atas pentas.


NUR FARAHDILLA (kiri) dan Zulyasrani mewakili negara untuk kategori peragaan.


"Saya memang teruja untuk menyertai WCOPA 2010, apatah lagi saya terpilih untuk mewakili kategori vokal. Menerusi pertandingan itu nanti saya akan menyanyikan lagu untuk kategori pop, R&B, world music dan kategori terbuka," tuturnya.

Tambahnya: "Bersama Khairullah Ezuan Sulaini, saya juga akan menyertai kategori duet menerusi kategori pop dan R&B."

Bagi kategori tarian solo pula, Malaysia akan mempertaruhkan bakat Suhaili Ahmad Kamil, 25, yang merupakan pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan guru penari sepenuh masa di Arora School of Dance di Subang Jaya.

Suhaili bakal bertanding menerusi empat kategori iaitu jazz, tradisional, lirikal dan kategori terbuka.

"Persiapan untuk pertandingan kali ini, saya lebih tekankan kepada gaya tarian tradisional yang ingin disampaikan kerana rentak Tari Inai yang bakal saya persembahkan sangat rumit dan memerlukan saya mengubah sedikit rentak tarian yang mana setiap masa yang diberikan hanya satu minit," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Harapan Suhaili supaya apa yang disampaikan di sana nanti bakal membuka mata mereka bahawa Malaysia juga setanding dengan mereka.

Model, Nur Farahdilla Marzuki, 19, pula bagaimanapun mengakui sedikit gusar dengan ketinggian yang dimilikinya berbanding peserta-peserta luar negara yang jauh lebih tinggi berbanding dirinya. Namun, dia tidak menjadikan faktor tersebut sebagai halangan buat dirinya untuk menjadi juara.

"Farah akan lebih menggayakan busana bercorak batik bagi menyerlahkan fabrik kebanggaan negara kita itu ke luar negara sekali gus membuka mata mereka bahawa Malaysia juga mampu mereka," ujar beliau baru-baru ini.

Bagi model lelaki pula, Zulyasrani Zaulyaddin, 22, yang sebelum ini bekerja di Hush Puppies sebagai pembantu jualan sanggup berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap modelingnya.


MENGGALAS nama Malaysia dalam kategori tarian, Aswara Dance Co. kini giat menjalani latihan.


"Saya sangat teruja dapat pergi ke Hollywood kerana tahun lepas saya cuba nasib dalam pertandingan ini, tetapi gagal mempersembahkan yang terbaik dan tahun ini merupakan rezeki saya dan saya sangat bersyukur dapat mewakili Malaysia untuk menaikkan lagi nama Malaysia ke persada seni," ujar jejaka tinggi lampai ini.

Zul lebih menekankan kepada gaya jalan beliau dan tarikan para penonton yang melihat kerana ia merupakan imej yang perlu ada terhadap model.

Kategori yang akan dipersembahkan oleh Zul termaasuklah formal, kasual, sesi fotografi dan pakaian renang malah mengatakan kasual merupakan persembahan yang sukar dibawa kerana ia perlu membawa karektor yang lain dari yang lain.

Namun tambahnya, ia bukanlah halangan untuk beliau terus berusaha lebih gigih untuk memberi yang terbaik bagi semua kategori.

"Saya berharap, peserta yang mewakili Malaysia ini mampu membuka mata semua orang di sana bahawa Malaysia juga mampu bersaing bersama mereka tidak kira dalam apa jua persembahan dan menaikkan nama Malaysia ke persada dunia," kata Zul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: