|
|
SELANGOR Muzikal Ekstravaganza (SME) 2010 anjuran Tourism Selangor dijangka mampu menarik lebih ramai pengunjung setelah SME 2009 yang pertama kali diadakan tahun lalu mendapat respons yang memberangsangkan.
Selain bertujuan untuk mempromosikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan, SME 2010 juga mampu menjadi platform kepada artis-artis baru membina jenama mereka di persada seni tanah air.
Membawakan tema Hiburan Untuk Semua, SME 2010 yang bermula sejak 25 Jun dan brakhir 17 Julai ini menjanjikan hiburan yang lebih menarik dan mantap sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd. Din, SME 2010 sebenarnya adalah sebahagian daripada kempen Selangor Shines yang sedang giat dijalankan oleh Tourism Malaysia.
"Antara tujuan kempen tersebut adalah untuk memperkenalkan kepelbagaian genre muzik yang boleh didapati di negeri Selangor," katanya pada sidang akhbar SME 2010 baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, SME 2010 tidak terhad kepada penyertaan penduduk di sekitar Selangor sahaja sebaliknya ia boleh disertai oleh siapa sahaja.
Program ini turut mengalu-alukan penglibatan dari seluruh rakyat Malaysia terutamanya penduduk di sekitar Lembah Klang serta negeri-negeri berdekatan.
Sehubungan itu, SME 2010 turut menampilkan beberapa artis popular seperti kumpulan Pesawat, Raihan, Rabbani, Yassin dan ramai lagi untuk memeriahkannya.
Tidak ketinggalan, artis antarabangsa, Yusof Islam juga diundang untuk menyemarakkan lagi festival muzik tersebut.
Menurut Noorul Ashikin, beberapa artis lagi akan mengesahkan penyertaan mereka ketika berlangsungnya festival ini.
"Selain persembahan artis, pelbagai aktiviti lain akan diadakan sepanjang festival ini berlangsung dan semuanya bertemakan muzik," jelas Noorul Ashikin.
Antara aktiviti yang bakal berlangsung ialah persembahan teater muzikal di PJ Live Arts seperti Taming Of The Shrew karya William Shakespeare.
Festival Muzik Islam Antarabangsa turut dianjurkan sempena SME 2010 di mana akan menampilkan kumpulan nasyid dari pelbagai negara seperti China, Perancis, United Kingdom, Bangladesh, Afrika dan negara-negara Timur Tengah.
Selain itu, sebuah program pencarian bakat cilik turut diadakan dan ia terbuka kepada pelajar sekolah berumur antara sembilan hingga 16 tahun.
Jelas Noorul Ashikin, pertandingan tersebut akan mencungkil apa jua bakat yang terdapat pada peserta asalkan ia mampu menarik minat juri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: