Wednesday, June 30, 2010

Album Berkembar Dari Malique

MENGIKUT jejak album OK (2008) yang banyak memenangi anugerah dan juga kejayaan KO The Mixtape (2009), Malique mengorak langkah dengan mengedarkan dua buah single yang bakal disusuli dengan album yang masih dalam pembikinan iaitu TKO (Peace Out).

Album tersebut dijangka berada di pasaran penghujung 2010 ini. TKO merupakan album solo terakhir Malique (gambar) yang mengakhiri siri trilogi album-album solo beliau.

Cuba Lagi, yang menampilkan vokal Lah Ahmad, merupakan sebuah lagu yang memberikan perangsang untuk mencapai kejayaan serta menolak kegagalan.

Lah Ahmad, yang pernah menganggotai V.E., sebelum ini pernah berkolaborasi bersama Malique menerusi single KL Streets, yang pernah memenangi Anugerah Indursti Muzik menerusi kategori Lagu Inggeris Terbaik. Gabungan kali kedua ini membuktikan keserasian mereka berdua.

“2010 Masih Hip Hop” merupakan versi rakaman semula lagu Masih Hip Hop yang dipetik dari album KO The Mixtape; apa yang menarik versi baru ini menampilkan rakan seperjuangan Malique dari Too Phat, Joe Flizzow.

"Ini merupakan rakaman mereka berdua yang pertama setelah lima tahun. Peminat-peminat setia Too Phat pasti akan teruja dengan perkembangan ini, apatah lagi bila mereka merindui akan kolaborasi hebat antara Malique dan Joe, satu gabungan hebat yang tidak perlu dipertikaikan lagi," katanya.

Selain Cuba Lagi dan 2010 Masih Hip Hop, Malique akan mengedarkan dua buah single sebelum meluncurkan TKO (Peace Out) di pasaran. Kedua-dua single berkenaan akan menyusul di pasaran September ini.

Yang pertama merupakan Senyum, dengan penampilan istimewa vokalis jazz indie Najwa; Malique dan Najwa pernah berkolaborasi menerusi lagu Kau Yang Punya (dari album solo pertama Malique, OK).

Senyum akan diedarkan bersama-sama sebuah lagu yang akan diumumkan sedikit masa lagi – satu kolaborasi hebat bersama sebuah kumpulan nasyid terkenal di Malaysia.

Selepas pengedaran album solo terakhir TKO (Peace Out), Malique akan kembali memfokuskan kerjanya terhadap album baru Too Phat dengan menulis lebih banyak lagu-lagu di dalam bahasa Inggeris.

Untuk maklumat lanjut dan prebiu lagu-lagu, layarilah www.myspace.com/maliqueibrahim

Untuk pertanyaan dan penempahan atau permintaan lagu untuk siaran, hubungilah qarmamusiq@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: