KABIR (kanan) bersama barisan pelakon Nur Kasih The Movie.
RAMAI sedia maklum, sentuhan sutradara Khabir Bhatia begitu kuat dengan permainan emosinya dan menarik minat penonton melalui jalan cerita drama dan filem yang dihasilkannya. Tidak lupa juga Khabir begitu kreatif dalam aspek permainan senimatografi yang cukup mempesonakan. Sesekali melihat hasil kreativitinya mempunyai persamaan dengan filem luar negara.Terbaru filem Nur Kasih yang kini sudah menjalani penggambaran bermula minggu lalu sudah tentu dinantikan peminat, terutama penggemar siri drama bersiri Nur Kasih.
Ini lebih-lebih untuk melihat kesudahan kisah pengorbanan, cinta dan air mata watak utamanya, Adam dan Nur Amina. Dan, untuk menguatkan latar tempat dalam Nur Kasih versi filem ini, 30 peratus daripada lokasi penggambarannya dilakukan di Jordan.
Kabir berkata, penggambaran di Jordan selama 10 hari bermula Jumaat lalu kerana ia lokasi berbukit bukau dan padang pasir yang pasti mempesonakan.
“Kami memilih Jordan kerana lokasi itu menarik. Lagipun, banyak filem Hollywood sering menggunakan lokasi itu seperti filem Transformers dan beberapa filem lagi.
“Penggambaran itu dilakukan untuk babak Adam dan Nur Amina yang bercuti bersama di negeri timur tengah itu. Selebihnya akan diketahui sebaik filem ini berada di pawagam yang dijangka penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.
Kabir juga mengumumkan Ummi Nazeera yang turut menjadi tonggak penting dalam drama Nur Kasih tetapi terpaksa digugurkan untuk versi filem. Bagaimanapun, tanpa pelakon muda itu, elemen emosi dalam Nur Kasih The Movie tidak akan terjejas.
“Kami terpaksa menggugurkan namanya disebabkan dia masih menuntut di Australia. Dia tidak akan muncul dalam filem ini. Watak dia pun kita tidak akan digantikan dengan pelakon lain. Ummi mempunyai komitmen lain jadi kita terpaksa hormat keputusannya.
“Pelakon utama lain masih dikekalkan. Mereka masih dengan watak yang sama tetapi memang ada beberapa penambahan pelakon dengan karakter baru,” katanya pada sidang media dan majlis doa selamat penggambaran filem itu baru-baru ini.
Tanpa Ummi, pelakon asal yang masih kekal dalam Nur Kasih the Movie nanti ialah Remy Ishak, Tizz Zaqyah, Fizz Fairuz dan Ayu Raudah.
Sementara itu, penulis skripnya Mira Mustafa menjelaskan, memang agak sukar untuk memuaskan hati penonton dan berharap orang ramai, terutama peminat Nur Kasih boleh menerimanya apabila ia diangkat dalam bentuk layar lebar.
Katanya, cabaran dalam Nur Kasih the Movie ialah merombak semula skrip asal dan ia mengambil masa agak lama untuk disiapkan.
“Saya sudah menghasilkan lima kali draf yang terpaksa dirombak. Semuanya dilakukan bagi memastikan penonton puas selepas menonton kerana ini adalah kesudahan cerita yang tidak akan ada sekuel selepas ini.
“Saya juga mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan skrip ini termasuk plot yang akan mengembangkan jalan penceritaannya. Apa yang pasti kejutan bukan saja pada penghujung cerita ini tetapi di awal, pertengahan dan penutupnya.
“Saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut jalan cerita ini, apa yang pasti ada watak penting di dalamnya akan dimatikan,” katanya yang agak tertekan untuk menghasilkan skrip filem ini kerana perlu seimbangkan aspek cinta dan agama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: