Tuesday, June 29, 2010

Chia Bee Chuan bangga diberi tanggungjawab


BEE Chuan (kiri belakang) bergambar kenangan bersama Ketua Polis Selangor dan pegawai kanan polis yang lain.


RAMAI mengetahui bahawa terdapat tiga wanita memegang jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketiga-tiga mereka yang bergelar Datuk dan berpangkat Deputi Komisioner ialah Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani; Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Noryah Md. Anvar dan Timbalan Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Zubaidah Md. Ismail.

Kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk berada pada peringkat tertinggi pasukan itu juga telah mencatatkan sejarah dalam PDRM.

Melihat daya kepimpinan dan kejayaan wanita-wanita terbabit, tidak dinafikan terdapat ramai pegawai dan anggota polis wanita di peringkat bawahan kini tampil menunjukkan prestasi yang memberansangkan.

Masing-masing mahu meletakkan diri mereka sebagai wanita pertama yang diberi kepercayaan seperti mana yang diterima pegawai lelaki.

Wujud ramai pegawai polis wanita yang diberi kepercayaan memegang jawatan tinggi seperti ketua balai, di mana mereka perlu memimpin organisasi di balai tersebut dan mencegah jenayah.

Antara wanita terbabit ialah Inspektor Chia Bee Chuan, Ketua Balai Polis USJ, Subang Jaya.

Chia yang baru berusia 33 tahun dianggap bertuah kerana walaupun baru berkhidmat sejak 2005, tetapi dia telah diberi kepercayaan yang tinggi.

Malah ketika diberitahu akan diberi tugas itu, beliau bagaikan tidak percaya kerana tugas terbabit terlalu besar baginya yang mengakui masih cetek pengalaman.

Begitupun untuk membuktikan dirinya seorang wanita yang berupaya, Bee Chuan menerima tugas berkenaan dan berjanji akan melakukannya dengan cemerlang.

Beliau menjawat jawatan tersebut sejak 14 Mei lalu iaitu sejak kira-kira sebulan lalu.

Meskipun usia perkhidmatannya sebagai ketua balai hanya setahun jagung namun setakat ini beliau berjaya melakukan lebih daripada kemampuan seorang ketua balai lelaki.

Bagi Bee Chuan, apa yang dilakukannya sejak memegang jawatan itu adalah mengekalkan polisi yang baik serta meningkatkan mutu perkhidmatan yang masih perlu diberi perhatian.

"Saya cuba mengekalkan segala yang baik seperti indeks kadar jenayah yang rendah dan perhubungan antara polis dengan komuniti yang akrab.

"Jika terdapat mana-mana yang negatif pula, saya cuba kurangkan lagi, termasuk kadar jenayah yang dilihat masih tinggi," katanya ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.

Bee Chuan yang berkahwin atas dasar cinta dengan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi iaitu Asisten Supritendan Ong Seng Keong, 35, turut mendapati sokongan daripada suaminya.

"Saya juga sering mendapatkan nasihat untuk menjalankan tugas saya daripada suami, kerana dia lebih lama berkhidmat dalam polis dan lebih berpengalaman.

"Selain itu, saya juga mendapatkan nasihat daripada ketua-ketua balai lelaki yang lebih berpengalaman untuk melicinkan tugas," ujarnya yang memilik perwatakan yang ceria.

Dari segi perhubungan dengan anggota lain pula kelihatan tiada masalah antara Bee Chuan dengan anak buahnya.

Berikutan kepercayaan yang diberikan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar.

Tekadya, beliau akan memegang jawatan itu dan melaksanakan tugas yang diberi dengan cemerlang seperti mana yang diharapkan oleh pihak atasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: