SEKALI imbas, karya ke-36 rumah penerbitan MIG Production Sdn. Bhd., Zoo yang digarap oleh Azhari Zain tidak ubah seperti menyaksikan tema filem-filem antarabangsa. Sekadar menyebut beberapa nama - Tarzan, Ace Ventura, Dr. Dolittle dan Night At The Museum, ia memperlihat kehadiran haiwan sebagai subjek terpenting bergandingan dengan manusia di layar perak.
Zoo merupakan filem pertama dalam sejarah perfileman Malaysia mengenengahkan haiwan dalam sebuah filem. Pasti ada sebilangan pihak mengaitkan skrip dan stail pengarahannya terikut-ikut dengan himpunan filem genre sama pernah ditayang sebelum ini. Kalau tidak dicedok secara total, sedikit sebanyak, sudah tentu ada persamaan nyata di sana sini.
Tidak lekas melenting, Azhari yang ditemui usai majlis pratonton Zoo berkata: "Kalau orang ramai cakap saya tiru konsep filem-filem luar ke dalam Zoo, saya sejujurnya cakap, ia memang betul. Lagipun, saya tidak menyalahkan sesiapa dalam soal ini tambahan pula masyarakat bebas melontarkan pandangan masing-masing.
"Umum mengetahui, cerita dengan jalur sama sudah banyak dibikin di Hollywood. Tetapi, kita dapat lihat perbezaan ketara terutama penggunaan haiwan. Untuk itu, peminat harus tahu, Zoo ditampilkan dalam bentuk berbeza jika dibeza dengan filem lain."
Dengan durasi satu jam setengah, menyaksikan Zoo yang dikepalai oleh Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet membawa watak Ad, terus terang, peminat sepertinya sekadar menonton karakter realiti pelawak itu. Tiada keistimewaan, jauh sekali memperlihatkan variasi gaya lakonannya selepas 14 tahun menceburi bidang seni.
Mazlan yang merupakan anak kelahiran Alor Setar, Kedah menganggap dia cukup bertuah dapat bergelar hero dan melibatkan diri dalam filem ini.
"Dalam filem ini, saya banyak dapat tunjuk ajar dan idea daripada Azhari serta David. Walaupun watak Ad tidak ubah seperti karakter sendiri di luar set penggambaran, hakikatnya, pada permulaan, saya mengalami sedikit masalah apabila melibatkan adegan dengan haiwan.
|
|
"Begitupun, ia tidak berpanjangan kerana saya sebelum ini minat dengan haiwan. Bahkan, saya selalu berdoa agar dapat berlakon dengan haiwan. Bila umur sudah 40 tahun, barulah peluang ini datang di depan mata. Alhamdulillah, saya bersyukur sebab Tuhan makbulkan hajat ini.
"Saya bangga dapat berlakon dengan anak zirafah sebab memang susah hendak berlakon dengan haiwan ini. Dalam pada itu, kerjasama erat daripada semua pelakon Zoo membuatkan saya selesa sepanjang menjalani penggambaran," ujar Mazlan yang tidak dapat melakonkan babak dengan harimau atas faktor keselamatan.
Selain Mazlan, Zoo turut dibintangi oleh Lisa Surihani yang memegang watak Sheila, Bob Lokman (Din Misai), Angah Raja Lawak (Osman), Azlee Jaafar (Rain) dan Jeese Lim.
Zoo yang memakan masa selama 25 hari penggambaran serta 80 peratus dilakukan di Zoo Negara, Kuala Lumpur itu berkisar tentang seorang jejaka bernama Ad (Lan Pet Pet) yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan. Dengan sikap gila-gila, ia bagaimanapun membawa padah apabila Ad sering diberhentikan kerja. Zoo akan ditayangkan di seluruh pawagam bermula 1 Julai ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: