LAMBAKAN penyanyi berkumpulan dari Korea yang pantas meraih populariti sekitar Asia bukan satu perkara baru. Nama-nama kumpulan seperti Big Bang, 2PM, Super Junior, SS501, TVXQ, Girl Generation, Wonder Girls dan banyak lagi dengan mudah menjual muzik mereka seluruh pelosok Asia.
Hanya berbekalkan wajah yang kacak, imej yang menarik, lagu yang mesra telinga dan juga tenaga pengurusan yang bagus, dalam sekelip mata kumpulan-kumpulan yang dibimbing oleh syarikat pengurusan bakat itu dengan mudah mendapat tempat di hati peminat.
Begitu juga dengan kumpulan bernama Beast yang dianggotai oleh enam anak muda yang berbakat iaitu Yoon Doojoon, Jang Hyunseung, Yong Joonhyung, Yang Yoseob, Lee Kikwang (AJ) dan Son Dongwoon.
Beast yang ditubuhkan pada Oktober 2009 oleh CUBE Entertainment dilihat melalui jalan yang mudah. Mereka telah mendapat perhatian peminat sebelum melahirkan album sulung lagi.
Semuanya gara-gara harapan tinggi menggunung yang diletakkan oleh peminat pada prestasi kumpulan yang dididik oleh Simon Hong, orang yang bertanggungjawab membentuk nama-nama besar dalam industri muzik Korea seperti Rain, Wonder Girls dan 4Minute sebagai bintang pop yang berjaya mengharumkan nama Korea di seantero Asia.
Malah, penerbitan program realiti Beast sebelum mereka melahirkan album pertama dalam MTV Korea merupakan satu strategi yang berjaya apabila ramai peminat yang menonton program tersebut tidak sabar menantikan kemunculan Beast secara rasmi.
Sambutan yang diterima saat kemunculan album mini berjudul Beast Is The B2ST yang lahir pada 14 Oktober 2009 sangat menggalakkan apabila album tersebut terjual sebanyak 40,000 unit dalam masa yang singkat, malah single pertama berjudul Bad Girl juga berjaya menduduki carta-carta muzik di Korea.
Dek kejayaan yang diterima, mereka juga dianugerahkan sebagai Penyanyi Baru Terbaik di Anugerah Muzik Seoul ke 19 pada Februari 2010.
Tidak menunggu lama, sementara nama Beast masih panas, CUBE Entertainment mengeluarkan album mini kedua yang berjudul Shock Of The New Era pada 1 Mac 2010.
Menariknya dalam album kedua, Beast muncul dengan lagu genre baru iaitu Rocktronic. Popular dengan lagu yang berjudul Shock, sekali lagi nama Beast menduduki carta-carta muzik dan album mereka telah terjual sebanyak 20,000 unit, satu angka yang mampu dibanggakan untuk sebuah kumpulan yang baru.
Album baru
Seiring dengan rangka promosi album terbaru Shock Of The New Era, Beast menjelajah ke beberapa negara Asia seperti Taiwan, Singapura, Filipina, Hong Kong, Thailand dan juga Malaysia.
Sebelum ke Malaysia, Beast terlebih dahulu menggegarkan Filipina dengan konsert di Araneta Coliseum, Manila pada 19 Jun lalu. Turut serta dalam konsert tersebut adalah Kim Hyun Joong salah seorang anggota kumpulan SS501 dan juga pelakon dalam drama siri popular Boys Over Flowers.
Malah, sebelum ke Malaysia pihak Universal Music Malaysia telah membuat sesi undian bagi mendapatkan 5,000 undian peminat untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak CUBE Entertainmnet di Korea supaya Beast mengadakan siri promosi di Malaysia.
Tiga hari sebelum tarikh undian berakhir, pihak Universal Music Malaysia telah menerima sebanyak 8,000 undian. CUBE Entertainment yang mendengar berita gembira itu terus memutuskan Malaysia termasuk dalam senarai siri promosi Beast kerana sokongan yang diberikan oleh peminat mereka.
Beast akan mempersembahkan enam buah lagu dan mengadakan sesi tandatangan pada 26 Jun (Sabtu) di KL Live, Kuala Lumpur pada pukul 7 malam.
Tidak habis di situ, peminat juga boleh menemui personal Beast di sesi tandatangan yang berlangsung pada 27 Jun (Ahad) di FCUK Entrance, 1 Utama, Petaling Jaya pada pukul 5 petang.
Buat peminat yang ingin menonton showcase Beast di KL Live, anda boleh dapatkan tiket dengan membeli album Beast Repackaged yang dijual secara eksklusif di kedai muzik Speedy Video.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: