PEMINAT sedia maklum, ramai artis di negara ini yang memulakan perniagaan sendiri selepas terlibat dalam dunia seni. Benar, kalau hendak berharap pada kerjaya lakonan atau nyanyian semata-mata, belum tentu ia mampu menyara masa depan masing-masing sementelah bidang itu banyak persaingan serta ada pasang dan surut.
Terbaru, Marilyn dengar cerita pelawak popular, Mohd. Raizizan Ab. Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan dari program realiti, Raja Lawak musim sulung itu juga bakal bergelar usahawan tidak lama lagi. Ia bukan gosip atau Marilyn main serkap jarang sahaja. Perkara itu sebaliknya diluah sendiri daripada mulut pemuda berusia 26 tahun itu baru-baru ini.
Zizan memberitahu kepada teman Marilyn, dia dalam perancangan membuka kedai menjual pakaian. Stok-stok baju yang ingin diletakkan di premis perniagaannya diambil dari negara seberang, Indonesia. Buat masa ini, dia sedang berbincang dengan individu-individu tertentu bagi merealisasi hasratnya bergelar ahli perniagaan.
Malah, dalam waktu sama, Zizan sedang mencari artis-artis popular tanah air walaupun Marilyn tidak mengetahui apa sebabnya. Sama ada dia mahu melantik mereka jadi duta, pelawa rakan artis tolong merasmikan kedainya atau ajak mereka buat persembahan pada pelancaran butiknya, sama-samalah kita nantikan.
Paling penting, Marilyn tumpang bangga dengan inisiatif Zizan yang sentiasa mahu memperbaiki taraf hidup diri walaupun termometer popularitinya sedang menaik. Enggan terus selesa dengan segala kemewahan dikecapi sekarang, dia berusaha sedaya upaya cari alternatif lain sementara kudrat masih ada. Itu yang bagusnya tentang Zizan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: