Thursday, June 17, 2010

Dia kahwin Oktober ini?


DIA FADILA


RASANYA, belum terlambat untuk Marilyn ucapkan selamat pengantin baru kepada penyampai Hot FM, Anne, 29, dan pasangannya, Nik Mahathir Zainudin, 33, yang selamat diijabkabulkan Sabtu lalu.

Selain Anne, dalam waktu sama, Marilyn juga menerima berita menggembirakan apabila penyanyi berbakat besar, Dia Fadila, 25, khabarnya bakal mengikut jejak langkah Anne mendirikan masjid pada Oktober ini dengan pemuda pilihan hatinya.

Dia atau nama sebenarnya Nur Nadia Fadila Abu Bakar yang sebelum ini begitu berahsia tentang kisah peribadi dikatakan mengambil keputusan menamatkan zaman solo selepas bersedia untuk bergelar isteri dan hidup berumah tangga. Cuma siapa gerangan lelaki bertuah itu, tidak dapat Marilyn hendak jelaskan di sini. Apa tidaknya, rahsia berkenaan tersimpan rapi oleh Dia dan keluarga.

Tidak terkecuali, penyanyi yang popular dengan lagu Andai dan pensyarah muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu dengarnya akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan majlis bahagianya dengan kekasih hati. Jadi, sama-samalah kita tunggu sama ada benar ataupun tidak gosip tersebut.

Marilyn juga tidak sabar mahu tengok bagaimana rupa individu kesayangan Dia. Sebab kalau Marilyn bertanyakan sendiri kepadanya, percayalah, Dia sekadar memberi senyuman penuh makna dan enggan mengulas lebih lanjut. Begitupun, Marilyn cukup hormati pendiriannya sejak dahulu lagi apabila enggan kisah personal disensasikan berbanding karier. Jika cerita kahwin itu tidak benar, awal-awal lagi Marilyn mohon seribu kemaafan kepada Dia sebab mengusik manja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: