PASTI ramai yang merindui keriuhan dalam rancangan Riuh Pagi Era bersama Allahyarham Din Beramboi dan Aznil Nawawi.
Celoteh dan kisah gila-gila yang disampaikan secara bersahaja pasti mencuit hati pendengar stesen radio tersebut.
Bagaimanapun itu semua hanya tinggal kenangan. Bagi mengembalikan nostalgia rancangan tersebut dan tribute kepada Allahyarham Din Beramboi, album berjudul Sawancara telah dilancarkan baru-baru ini.
Ia memuatkan 30 episod gurau-senda dan lawak jenaka terbaik daripada lebih seratus episod Sawancara yang telah ke udara sejak mereka digandingkan pada 5 Januari 2009.
Bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata kerana sebahagian daripada hasil penjualan album tersebut akan disalurkan kepada keluarga Allahyarham.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio, Norman Abdul Halim selaku pengedar album tersebut memberitahu album itu dikeluarkan dalam bentuk cakera padat dengan dua pakej iaitu pakej standard yang terkandung sebanyak 30 buah episod dan pakej bajet sebanyak 15 buah episod.
"Album ini mempunyai dua pakej yang masing-masing berharga RM19.90 dan RM9.90 yang mana kita memberi peluang kepada semua golongan untuk mendapatkannya mengikut kemampuan mereka.
"Saya yakin album ini mampu terjual antara 5,000 sehingga 10,000 unit kerana tujuan penerbitan album ini bagi memberi sedikit sumbangan untuk keluarga Allahyarham selain sebagai kenangan buat peminatnya," jelasnya sewaktu majlis pelancaran album tersebut.
Kata Aznil yang gagal mengawal emosinya ketika majlis pelancaran berlangsung, sebenarnya ini kali kedua album Sawancara diterbitkan.
Album pertama pernah diterbitkan sekitar 15 tahun dulu, bagaimanapun ketika itu orang masih belum terbuka dengan album lawak jenaka sebegitu tambahan kegawatan ekonomi melanda negara menyebabkan album itu tidak laku.
"Kalau nak tahu apa yang anda dengar kini (dalam Sawancara), sebenarnya konsepnya sama 100 peratus seperti yang saya lakukan 15 tahun lalu bersama Din.
"Saya masih lagi menjadi tukang gelak dan tukang tanya soalan tetapi Din yang akan berubah-ubah watak daripada mak andam, bidan kampung, tok mudim, ah long dan sebagainya," balasnya.
Bagaimanapun kata Aznil, dia akan mengambil masa yang panjang untuk meneruskan program Sawancara di Era kerana berpendapat Din telah meletakkan satu tahap yang tinggi dan sukar untuk digantikan dengan orang lain.
"Nadi Sawancara hanya pada Din Beramboi dan dia telah membawa nadi tersebut pergi bersamanya," beritahu Aznil yang kini bergandingan dengan dua penyampai baru Shah Reza Mohd. Shah dan Haniff Hamzah dalam rancangan Riuh Pagi Era.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: