|
|
GELAGATNYA yang bersahaja dan menuruti apa sahaja permintaan ibunya yang dipanggil mummy membuatkan sesi penggambaran pada petang itu meriah.
Walaupun baru berusia tiga tahun, nyata Zahrafeena Zackry tidak kekok beraksi di hadapan kamera apatah lagi dengan kepetahan mulutnya ibarat bertih jagung menyuruh itu dan ini.
Keletah tersebut jugalah yang membuatkan ibunya, model dan selebriti terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, tidak betah meninggalkan rumah terlalu lama biarpun untuk sesi peragaan fesyen atau penggambaran iklan.
Rindunya pada 'buah hati pengarang jantungnya' itu membuatkan dia berusaha memastikan setiap tugasan yang diambil tidak memerlukan dia berjauhan dari rumah berhari-hari.
Ibarat pepatah Melayu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi - sudah ada tanda-tanda jejak Zahnita sebagai model bakal diikuti anak kesayangan hasil perkongsian hidup bersama suami, Zackry Ghous Abdul Jafoor, 32.
Di hadapan kamera, Zahrafeena langsung tidak gentar. Kadangkala dia bergaya tanpa perlu diarah dalam apa jua posisi.
Menurut Zahnita, 25, puteri sulungnya itu dilahirkan pada tanggal 16 Januari 2007 secara normal.
Ketika dilahirkan, berat Zahrafeena hanya 3.2 kilogram (kg) dan tidak mengalami sebarang masalah.
Cuma menurut Zahnita yang membahasa diri sebagai Zani, ketika tempoh kehamilan, berat badannya bertambah sebanyak 30 kg.
''Anda bayangkan ketika itu barat badan Zani cecah sehingga lebih 80 kg sedangkan ketika bujang dahulu berat Zani cuma 50 kg.
''Bagaimanapun selepas habis tempoh berpantang Zani berusaha mengembalikan berat badan ke berat asal dengan mengamalkan pantang secara tradisional selain menyusukan badan.
''Saya juga mengamalkan urutan dan mengambil pelbagai jenis herba untuk mengembalikan bentuk badan asal serta mampu menyegarkan semula badan,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bercerita pengalamannya ketika hamil, kata Zahnita, dia mengalami alahan pada peringkat awal.
Seminggu pertama dia muntah-muntah waktu pagi tetapi ia semakin reda dan bertambah baik dari sehari ke sehari.
Berbicara lanjut mengenai tanggungjawabnya sebagai ibu muda, menurut wanita kacukan Melayu dan New Zealand itu, ia tidaklah seteruk yang disangkakan.
Malah hidupnya kini tambah bermakna dan seronok, lebih-lebih lagi apabila dapat bersama melayani kerenah Zahrafeena.
"Saya sengaja tidak mengambil pembantu kerana mahu melihat dia membesar di depan mata sendiri.
''Bila tiada kerja, inilah masanya Zani mengambil peluang untuk berdua-duaan dengan anak. Tugas tersebut diambil-alih suami bila Zani ada kerja luar,'' tambahnya.
Ditanya saat paling digemari ketika berzama Zahrafeena ialah apabila tiba waktu untuk mandi.
Jika sebelum ini dia terpaksa membuat pelbagai cara untuk memujuknya mandi tetapi dengan adanya rangkaian produk Carrie Junior, Zahrafeena kini suka mandi dan tidak lagi perlu disuruh atau dipujuk.
Gemar dengan bau mandian Carrie Junior Cheeky Cherry, Zahnita memilih rangkaian produk tersebut kerana baunya yang tahan lama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: