Mampu mencipta lagu secara spontan antara kelebihan 12 peserta yang terpilih dalam program realiti TV mencari komposer muda. ManggaOnline (MO) sendiri teruja dengan bakat yang dimiliki ketika sesi memperkenalkan peserta KEYNOTE di KEYNOTE Studio House.
Mengagumkan ketika masing-masing tampil menyanyikan dengan lagu ciptaan sendiri dan tak dapat dinafikan golongan muda kini kreatif menyalurkan idea kehidupan melalui seni muzik.
"Pemilihan mereka ini untuk meneruskan perjuangan komposer yang sedia ada. Bakat penting dalam penciptaan lagu, namun pendidikan perlu ada agar kedua-duanya seiring. Jika salah satu daripadanya kurang, maka ilham untuk mencipta lagu akan kekurangan jiwa didalamnya. 12 peserta pilihan saya terdiri daripada bakat semulajadi dan ada yang menerima pendidikan khas dalam muzik. Oleh itu saya mahu didik mereka agar kedua-duanya seiring.
"Sebelum ini saya melihat terlalu banyak program realiti mencari penyanyi namun tiada satupun program yang ingin memeriahkan industri penciptaan lagu. Oleh itu saya fikirkan konsep ini agar lebih ramai komposer dilahirkan dan mencantikkan lagi industri. Untuk program ini pun, dijangka sehingga akhir rancangan, kami telah mendapat 48 lagu baru untuk merancakkan industri kita," kata dekan KEYNOTE, Ajai.
Tambah Ajai lagi, program ini juga dapat mendidik penonton di rumah agar untuk mempelajari ilmu baru melalui KEYNOTE. Daripada program ini juga mereka akan sedar kepentingan komposer dalam menaikkan industri muzik Malaysia.
"Jika tiada komposer, seseorang artis itu tidak akan berjaya. Kejayaan artis terletak pada lagu ciptaan komposer. Perlu diingat bukan hanya penyanyi yang mendapat pulangan lumayan, komposer juga begitu. Diharap selepas menyaksikan rancangan ini, lebih ramai anak muda berminat untuk mencipta lagu.
"Jika sebelum ini, penonton belajar perkataan baru seperti pitching dan 'tak ada feel' daripada program realiti nyanyian. Mereka juga akan dapat belajar lebih banyak perkataan baru dalam dunia penciptaan lagu. Sama-sama kita nantikan," ujarnya akan menyerap setiap peserta KEYNOTE untuk bernaung dalam syarikat rakamannya, Wake The Baby.
KEYNOTE bakal diserikan dengan kehadiran sembilan peserta lelaki dan tiga peserta wanita iaitu, Aqasen, Faan, Fynn, Hairul, Keros, Khoo, Nazrin, Nero, Nomad, Rina, Shana, dan Syukri. Keynote boleh ditonton mulai 15 Jun 2010 setiap 10.00 malam. Siaran Konsert KEYNOTE pula akan bermula setiap Rabu bermula 30 Jun 2010 menampilkan lagu-lagu baru ciptaan peserta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: