|
|
MALAM Ahad lalu, bermulalah saingan empat peserta Mentor musim kali ini (Mentor 4) di peringkat separuh akhir pertama.
Apa yang pasti, rata-rata protege serta mentor mereka memberikan persembahan yang cukup menghiburkan dan mengujakan seiring dengan pertandingan yang mula menjengah ke peringkat separuh akhir itu.
Mereka ialah Nani dan mentornya Azmeer, Ila (Joe Flizzow), Adi (Dayang Nurfaizah) dan Mohd (Ziana Zain).
Menerusi pemarkahan yang diberikan oleh juri awam yang mewakili 20 markah, Mohd memperoleh markah tertinggi iaitu 19 markah diikuti Ila (18 markah), Adi (15 markah) dan Nani (14 Markah).
Bagaimanapun, pemarkahan keseluruhan pada malam itu dirahsiakan oleh pihak produksi dan hanya akan diumumkan pada akhir persembahan peringkat separuh akhir kedua yang berlangsung Auditorium MBSA, Shah Alam hujung minggu ini.
Penerbit dan pengarah Mentor 4, Mohd Sufian Isa ketika ditemui sejurus tamat persembahan separuh akhir pertama Mentor 4 minggu lalu memberitahu, pihaknya merahsiakan markah yang diperoleh kerana enggan ada peserta mahupun mentor yang berkecil hati dan berasa tidak bersemangat untuk meneruskan pertandingan.
"Tambahan pula setelah kami berbincang dan diteliti keburukan mengumumkan markah keseluruhan adalah lebih banyak daripada tidak mengumumkannya.
"Biarlah peserta dan mentor-mentor mereka memperoleh sedikit bayangan daripada komen-komen yang diberikan oleh juri profesional yang diundang dan markah yang diberikan oleh juri awam sahaja," katanya.
Menerusi komen yang diberikan oleh Liza Hanim dan Ramli M.S yang hadir sebagai juri jemputan dalam persembahan tersebut, Liza berpendapat peserta yang dilihat menyerlah pada malam itu ialah Mohd manakala peserta di zon bahaya ialah Adi.
Ramli pula menyatakan Nani kelihatan menyerlah menerusi persembahannya pada malam tersebut.
Adi janji perbaiki kelemahan
Dayang dan Adi yang ditemui pada sidang akhbar yang sama memberitahu, faktor kesihatan Adi yang kurang memuaskan pada malam tersebut sedikit mempengaruhi prestasi yang dipersembahkan oleh Adi.
"Bagi saya juri ada penilaian mereka tersendiri. Sebagai mentor kepada Adi saya ambil perkara tersebut secara positif dan berjanji akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada.
"Setiap orang ada pendapat masing-masing dan dalam setiap persembahan tidak semuanya akan kelihatan sempurna.
"Apa yang boleh saya katakan, sehingga kini Adi menggunakan setiap apa yang saya ajar dan banyak menunjukkan peningkatan," kata Dayang.
Antara usaha yang bakal dilakukan oleh Dayang terhadap Adi ialah memberi perhatian yang lebih kepada Adi dalam penghayatan lagu dan lontaran vokal.
Adi tampil menyanyikan lagu Mencintaimu manakala persembahan duet bersama mentornya menerusi lagu Enter Sandman dan Dua Insan Bercinta.
Enggan Mohd rasa selesa
Memperoleh markah tertinggi yang diberikan oleh juri awam memberi refleks yang positif untuk Mohd. Namun, ada yang mengatakan bahawa Mohd sering bernasib baik kerana mempunyai mentor yang ramai peminat.
Bagi Mohd sendiri kalau boleh dia tidak mahu cepat berasa selesa hanya kerana minggu ini dia memperoleh markah tertinggi daripada juri awam malah, dikatakan menyerlah oleh juri jemputan, Liza Hanim.
"Saya tidak kecewa jika ada yang beranggapan sebegitu sebab saya tahu ini adalah realiti bagi rancangan sebegini.
"Bagi saya itu semua bergantung pada nasib. Kadang-kadang kami artis yang dah lama menyanyi pun kalau masuk pertandingan tak menang juga.
"Apa pun, saya bersyukur ada peminat yang ramai dan mereka sering memberikan sokongan cuma saya tidak mahu Mohd terlalu selesa. Memanglah pada peringkat permulaan dulu Mohd menyanyi agak sumbang namun, peningkatan ketara dapat dilihat dalam persembahannya.
"Saya sebagai mentor cuba memberi tunjuk ajar protege kami sebaik mungkin. Cuma kadang-kadang saya rasa pandangan daripada peminat juga ada baiknya kita dengar kerana mereka yang melihat dan menilai persembahan," kata Ziana pula.
Mohd dan mentornya tampil mengembalikan nostalgia filem Maria Mariana menerusi lagu Maria Mariana dan Korban Cinta mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Persembahan solo Mohd menerusi lagu Pelesit Kota dan Hukum Karma juga dilihat tidak kurang menyerlahkan kemampuan vokalnya menyanyikan lagu berentak Rock.
Mendapat pujian daripada Ramli M.S, bagi Azmeer itu belum cukup memberi keselesaan baginya sebagai mentor kepada Nani yang tampil menyanyikan lagu Langit Ke Tujuh dan Di Bawah Pohon Asmara serta persembahan duet menerusi lagu Hero.
Ini kerana Nani minggu lalu memperoleh markah juri awam tercorot berbanding empat lagi pesaingnya.
"Saya tidak pasti di luar sana ada peminat Nani atau tidak. Namun, apa yang saya harapkan peminat di luar sana akan menilai bakat Nani dan bukannya kekurangan saya.
"Ada strategi yang akan saya lakukan untuk minggu depan iaitu memilih lagu-lagu yang betul-betul kuat dan bersesuaian dengan vokal Nani," katanya.
Berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan oleh Ila, kata Joe Flizzow, persembahan yang ditonjolkan oleh Ila pada minggu lalu adalah selamat dan kurang kesilapan.
Ila tampil berani menyanyikan lagu Halo di atas buaian tinggi namun tidak sedikitpun dilihat mengganggu persembahannya pada malam tersebut.
"Saya melihat persembahan Ila tidak banyak kesilapan cuma menonjol atau tidak, kesilapan itu boleh diletakkan kepada saya kerana lagu-lagu semuanya saya yang pilih.
"Apa yang saya lihat kesemua empat protege ada kekuatan yang tersendiri dan masing-masing masih boleh perbaiki kelemahan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: