TIADA kata yang mampu diluahkan untuk menggambarkan perasaan pelakon dan penerbit Wafa Abdul Kadir, 44, apabila mendirikan rumah tangga buat kali ketiga pada Jumaat lalu, setelah bergelar ibu tunggal selama 10 tahun.
Pernikahannya bersama seorang duda anak satu, Tajul Faizal Tamimuddin, 44, di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Damansara itu berlangsung dengan penuh meriah apabila dihadiri oleh keluarga, sahabat handai dan rakan artis seperti Nur Aliah Lee dan Raja Azmi.
Mereka telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Al-Taqwa, Mat Zaki Abd. Manan dan diwalikan oleh bapa Wafa iaitu Tan Sri Abdul Kadir Talib.
Wafa yang pernah membintangi filem Johnny Bikin Filem dan Azizah The Legend serta menerbitkan filem animasi Budak Lapok itu memberitahu, bibit percintaannya bersama Tajul yang bekerja sebagai jurutera bermula pada November tahun lepas.
Semuanya gara-gara perjumpaan semula sekolah rendahnya, Sekolah Rendah Sri Petaling, Petaling Jaya. Rakan-rakan sekolahnya antara penyumbang penyatuan cinta mereka selain restu daripada empat anak lelaki Wafa.
"Sebenarnya kami sudah lama tidak berhubung, hampir 33 tahun. Semasa di sekolah kami hanya rakan biasa, tiada istilah cinta monyet. Kami jadi rapat sebab latihan persembahan untuk majlis perjumpaan semula sekolah rendah kami.
"Kemudian rakan-rakan pula yang sepakat untuk satukan kami. Kebetulan pula adik lelaki saya merupakan kawan Tajul, Alhamdulillah pintu hati saya terbuka untuknya," kata Wafa yang dilamar pada Februari tahun ini.
Terangnya lagi, restu anak-anak menambahkan keyakinannya untuk menjadi suri kepada Tajul.
"Anak lelaki saya yang suruh saya cari suami macam Tajul. Jadi ketika dilamar, saya sungguh terharu dan tahu dialah lelaki yang sesuai bukan sahaja untuk saya bahkan anak-anak juga," ujar Wafa yang merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik.
|
|
Tajul yang telah setahun bergelar duda memberitahu, sikap jujur dan terus-terang Wafa telah memikat hatinya.
Apabila diajukan soal cahaya mata, baik Wafa mahupun Tajul menyerahkannya kepada takdir. Andai dikurniakan lagi cahaya mata selepas ini, mereka berdua tidak akan menolak.
"Kami tidak kisah, kalau ada rezeki, Alhamdulillah," terang Tajul.
Sebelum menutup bicara Wafa sempat menitipkan kesyukuran terhadap perkahwinannya kali ini dan mengharapkan ia kekal sehingga akhir hayat.
"Saya mengharapkan yang terbaik. Saya juga wanita biasa yang inginkan kebahagiaan. Saya terlalu gembira hari ini kerana melihat semua orang gembira dengan perkahwinan saya terutama bapa saya.
"Sebagai bapa saya tahu, dia cukup risau dengan saya yang hidup sendiri. Dia pun tidak sihat kerana baru menjalani pembedahan jantung. Sekarang bila saya sudah bersuami, bapa saya sedikit lega kerana sudah ada orang menjaga saya. Saya tahu suami saya mampu membimbing saya serta anak-anak," ujarnya sambil senyuman.
Dalam majlis yang sama, Wafa menerima mas kahwin berjumlah RM1,602 dan sebentuk cincin serta menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh tanpa sebarang wang hantaran.
Wafa mempunyai seorang anak menerusi perkahwinan pertama iaitu Muhd Luqman Yusof, 23, dan tiga orang anak menerusi perkahwinan keduanya, Muhd Hakim Abd. Raouf, 15, Muhd Kamil Abd. Raouf, 14, dan Muhd Adib Abd. Raouf, 12, manakala Tajul mempunyai seorang anak perempuan Amira Adibah, 13.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: