Monday, June 14, 2010

Jimmy tak sembunyi Suhaila




MAJLIS pertunangan bekas pengacara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) dan juga program Trek Selebriti, Jimmy Shanley yang berlangsung dengan penuh meriah pada malam Jumaat lalu telah menutup segala khabar angin yang mendakwa dia telah bertunang secara rahsia.

Pertunangan dengan anak perempuan tunggal pengasas produk kecantikan Natasha, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, itu juga menutup spekulasi kononnya teruna berusia 30 tahun ini sudah berkahwin secara rahsia.

Malah Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Salleh sendiri lega kerana akhirnya pertunangan itu telah membuktikan segala khabar angin sebelum ini tidak benar sama sekali.

"Saya tidak mahu memberi komen tentang perkara itu kerana harus menjaga hati banyak orang. Sekarang ini, apa yang penting saya telah bertunang dengan Suhaila," ujarnya.

Menyarung pakaian sedondon berwarna merah jambu bersama pasangannya, Jimmy menegaskan meskipun babak cinta antara mereka berlangsung dalam masa yang singkat iaitu hanya empat bulan, jangka masa itu dirasakan sudah cukup untuk meyakinkannya bahawa Suhaila adalah wanita yang ditakdirkan untuk menjadi suri hidupnya.

"Kalau nak ikutkan cerita, kami bertemu secara tidak sengaja di Genting Highlands pada tahun 2006. Ketika itu saya sedang melakukan penggambaran program Trek Selebriti dan ibunya meminta izin untuk bergambar kerana anaknya (Suhaila) meminati saya, waktu itu usianya baru 20 tahun.

"Lepas itu kami langsung tidak berhubung dan saya anggap dia hanya sebagai peminat biasa. Kemudian, pada awal tahun ini saya dijemput untuk membuat kejutan kepada Suhaila sempena majlis hari jadinya yang ke-24 pada 31 Januari lalu.


JIMMY merancang memberi wang hantaran berjumlah RM31,000, sempena tarikh ulang tahun Suhaila.


"Saya pada mulanya tidak tahu sama ada mahu pergi atau tidak ke majlis tersebut, tetapi apabila saya pergi baru saya ingat balik yang dia adalah peminat yang bergambar dengan saya di Genting Highlands dulu. Sejak itu, kami mulai rapat dan mula serius pada bulan Mac tahun ini," kata Jimmy tentang sejarah cintanya bersama Suhaila.

Jelasnya lagi, dia memutuskan untuk melamar Suhaila pada bulan Mac lalu di hadapan keluarga gadis itu ketika satu majlis makan malam apabila merasakan hubungan mereka telah kukuh. Sementelah katanya, dia sendiri mempunyai hubungan erat dengan keluarga Suhaila.

"Sebenarnya kami mula serius apabila saya melawat bapanya yang ketika itu sedang menerima rawatan di hospital. Sebelum itu kami kerap berjumpa, sebab itu walaupun hubungan kami singkat saya rasa seperti sudah lama.

"Ketika di hospital itu, saya tanya kepada bapanya bolehkah saya serius dengan anaknya. Bapanya kata okey, selepas itu saya memutuskan untuk melamar dia," ceritanya lagi.

Tambah Jimmy, dia tidak sesekali menyembunyikan percintaannya dengan Suhaila, malah, majlis pertunangan ini memang sengaja dilangsungkan selepas berakhir program AF8 memandangkan ketika itu dia sangat sibuk selain tidak mahu mengganggu tumpuannya terhadap AF8.

"Saya tidak pernah sorok sebab ada pihak media yang tahu juga tentang hal saya dan Suhaila. Lagipun, setiap konsert mingguan AF8, Suhaila mesti datang menemani saya, kalau saya sorok dia tidak akan datang ke konsert AF8.

"Memilih 11 Jun sebagai tarikh pertunangan memang telah dirancang oleh keluarga kedua-dua pihak berpandukan kepada jadual kerja saya yang agak padat sebelum ini," katanya.

Istimewanya Suhaila di mata Jimmy adalah dia seorang anak yang mengikut kata ibu bapanya dan memahami dirinya sebagai seorang insan seni. Malah, bakal isterinya itu juga tidak pernah menghalang Jimmy untuk terus aktif meskipun telah bergelar suami kelak.

"Saya suka dengannya sebab dia faham saya dan faham kerjaya saya. Kalau perempuan lain mungkin susah sikit nak faham tambahan pula kerja saya sentiasa dikelilingi artis tidak kira lelaki dan wanita," ujarnya.

Menjadi anak yatim piatu, menyebabkan Jimmy berpaut kasih sayang yang hilang itu kepada keluarga Suhaila. Malah, ibu bapa Suhaila, Datuk Suhaimi Othman dan Datin Muniroh Kasim juga tidak kekok menjaga Jimmy seperti anak mereka sendiri.

"Hubungan saya dengan keluarganya juga rapat, yang kelakar sebelum Suhaila menghantar mesej di telefon, ibunya terlebih dahulu menghantar mesej bertanya khabar itu dan ini."

"Jadi saya anggap mereka seperti ibu bapa saya sendiri, mereka mudah mesra dan tidak pernah memandang status, pada mereka semua orang sama. Itu yang menguatkan saya untuk bersama Suhaila kerana saya rasa tenang berada dalam keluarganya," ulas Jimmy lagi.

Tidak sangka Jimmy bakal suami


IKUT ADAT. Majlis merisik seterusnya bertunang diadakan penuh adat dan meriah oleh wakil kedua-dua belah pihak.


Berbicara dengan Suhaila setelah selesai majlis pertunangan, dia mengakui benar-benar tidak menyangka bahawa Jimmy bakal menjadi suaminya sedangkan dahulu dia hanyalah seorang peminat Jimmy.

"Saya ini peminat setia Jimmy dan selalu tengok program Trek Selebriti, jadi bila dia yang duduk sebelah saya sekarang ini, perasaan saya memang masih tidak percaya tetapi saya percaya kepada jodoh," ujarnya sedikit malu.

Menyatakan Jimmy mempunyai ciri-ciri lelaki idaman yang diidamkan selama ini, justeru, Suhaila tidak melepaskan peluang apabila cinta antara mereka hadir dengan begitu pantas.

"Kami bercinta tidak lama, tetapi kami kerap jumpa. Tiada istilah janji temu dalam kamus cinta kami sebab setiap kali kami nak berjumpa pasti salah seorang ahli keluarga saya akan ikut. Biasanya kami akan berjumpa bersama keluarga saya.

"Jadi, hubungan yang singkat itu dirasakan macam sudah lama, dia pun mesra dengan keluarga saya. Dia seorang yang serius bila kerja tetapi suka buat lawak, itu yang memikat hati saya," kata anak kedua daripada tiga beradik itu lagi.

Sambung Suhaila lagi, sejak awal hubungan mereka, Jimmy telah berpesan kepadanya supaya banyak bersabar dengan status selebriti yang dipikulnya.

"Dia sudah pesan awal-awal lagi. Harus banyak bersabar dengan kerjayanya. Bukan setakat bersabar kerana dia selalu berkerja dengan artis wanita tetapi juga masanya yang terhad bersama saya," ucapnya.

Disoal sudahkah dia bersedia bergelar isteri kepada Jimmy, sambil mengangguk kepalanya, Suhaila memberitahu, dia sudah bersedia untuk menjadi isteri kepada Jimmy.


KAKAK Jimmy, Jenniece Shanley menyarung cincin tunang ke jari manis Suhaila.


Jimmy pula mencelah, dan berkata selepas ini (bertunang) dia mengharapkan tiada lagi gosip membabitkan dirinya, sementelah dia hanya akan beri fokus kepada pada bidang pengacaraan sahaja dan tidak sesekali terbabit dalam mana-mana drama.

"Saya kalau boleh mahu mengelak daripada timbulnya sesuatu yang kurang baik, ini bukan syarat yang ditetapkan Suhaila atau keluarganya, Semua ini datang daripada saya sendiri."

"Selepas ini kalau ada orang nampak saya berjalan dengan wanita, dialah (Suhaila) satu-satunya wanita yang akan berjalan ke hulu-hilir dengan saya," kata Jimmy yang akan sibuk sebagai pengacara dan penerbit program Walimatulurus di saluran Astro Oasis selepas ini.

Selain itu, Jimmy juga terlibat secara langsung dalam perniagaan produk kecantikan Natasha serta Natasha Resort yang mempunyai 35 bilik dan akan dibuka di Cameron Highlands, Pahang pada 1 Ogos depan.

"Saya tidak goyang kaki, banyak kerja yang saya sedang rancang. Sebelum ini saya bekerja di syarikat abang saya, jadi pengalaman itu diguna untuk sama-sama memajukan lagi perniagaan keluarga. Walaupun sibuk saya tetap akan berada dalam dunia seni," tegasnya.

1 comment:

  1. kahwin dulu...baru la usung ke huku hilir..standart la artis....cakap baik je..blakang dia la lelaki idung belang...abis madu sepah buang je..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: