|
|
AKTRES yang popular dengan filem Brothers Bloom, Rachel Weisz mendedahkan dirinya seorang yang suka mempercayai benda-benda mengarut. Dia yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun, Henry dengan tunangnya, Darren Aronofsky memberitahu dirinya tidak akan terurus jika dia memakai kasut salah.
Kata Rachel: "Saya mempunyai kepercayaan karut terhadap sesetengah benda seperti kasut apa untuk dipakai. Jika saya memakai kasut yang salah, hari saya tidak akan berjalan lancar.
"Atau jika saya tidak sempat sampai di tingkat bawah rumah sebelum pintu ditutup, ada benda yang buruk akan berlaku. Semua benda-benda kecil itu boleh mempengaruhi hidup saya."
Namun, jika Rachel mempunyai masa lapang, aktres berusia 40 tahun itu suka melakukan aktiviti normal yang biasa dilakukan oleh kebanyakan orang.
Tambahnya: "Saya berharap saya mempunyai hobi eksotik seperti melakukan yoga terbalik tetapi tidak. Saya cuma suka berbual, berjumpa dengan kawan dan makan serta menjadi ibu."
Rachel juga menegaskan bahawa dia tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara karier dan menjalankan tugas sebagai ibu.
"Menjadi aktres dan ibu adalah senang kerana anak saya sering dibawa bersama. Set penggambaran adalah seperti tapak sarkas yang mengalu-alukan kedatangan kanak-kanak. Ia satu tempat yang menarik untuk dilawati kanak-kanak," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: