Sunday, June 27, 2010

Volvo V50 Sesuai untuk keluarga




UNTUK mengangkut barang yang banyak, kenderaan jenis stationwagon merupakan pilihan awal dalam dunia automotif, malah dicipta lebih lama sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) dan utiliti sports (SUV).

Kenderaan stationwagon menggunakan badan kereta sedan tetapi ruang but atau penyimpanan menjadikan badannya memanjang. Di Eropah dan Amerika Syarikat, ia jadi pilihan ramai pelanggan yang berkeluarga kerana memudahkan mereka untuk pergi bersiar (membawa beg yang banyak) atau membeli-belah.

Diakui, stationwagon tidak berapa popular di Malaysia. Nissan pernah muncul dengan RD Resort yang menjadi popular dengan ditambah aksesori bodykit sekeliling dan rim tayar aloi besar. Namun, populariti itu tidak menarik syarikat-syarikat kereta lain untuk berbuat demikian.

Di sebalik itu, syarikat kereta Eropah, Volvo yang tergolong dalam segmen kereta mewah, memiliki strategi sendiri. Ia secara konsisten memperkenalkan dan melancarkan model stationwagon ke Malaysia. Sejak 1960-an, sebanyak 122 model telah dibawa oleh Volvo, dengan yang terkini, Volvo V50.

Model V50 terkini telah dipertingkatkan tahun ini dengan pengenalan transmisi Powershift iaitu transmisi gear automatik enam kelajuan dengan rekaan klac berganda. Transmisi ini memiliki dua klac dan secara ringkasnya boleh digambarkan sebagai dua transmisi manual yang digabungkan. Ia berfungsi seperti transmisi manual yang diautomasikan, sama seperti diguna pada Proton Savvy atau smart fortwo. Tetapi transmisi Volvo ini lebih canggih kerana ia menggunakan kawalan elektronik.

Transmiwi Powershift ini menukar gear dengan pantas dan tanpa terasa gegaran semasa memecut. Lebih penting, disebabkan reka bentuknya yang memboleh lebih banyak kuasa disalurkan, penjimatan bahan api adalah lebih baik berbanding transmisi automatik konvensional.

Menurut Volvo, V50 terbaru ini adalah 11 peratus lebih jimat berbanding versi V50 sebelum ini tetapi harus diingat bahawa versi terbaru ini menggunakan enjin 2 liter manakala yang terdahulu ialah 2.4 liter. Terdapat juga Geartronic yang membolehkan pemandu menukar gear secara manual tetapi ketiadaan mod Sports agak mengecewakan.

Ia menyebabkan prestasi enjin 2 liter ini semacam berat. Mungkin ia memadai untuk pemandu yang tidak suka memecut.

Satu ciri yang menarik pada V50 ini ialah Sistem Maklumat Sudut Terlindung (BLIS) yang juga terdapat pada model XC60. Sistem ini menggunakan kamera yang dipasang pada cermin sisi untuk mengesan kenderaan lain pada sudut terlindung di kedua-dua belah kenderaan. Bila terdapat kereta atau motosikal yang memotong, lampu BLIS akan menyala bagi memberi amaran kepada pemandu. Ini satu lagi ketulenan inovasi keselamatan ciptaan jurutera Volvo yang mengukuhkan pendapat ramai mengenai aspek keselamatan yang wujud pada setiap kenderaan buatan Volvo.

Model V50 juga dipasang dengan teknologi Dynamic Stability Traction Control (DSTC), iaitu sistem kawalan penstabilan yang maju dari Volvo.

Akses ke dalam kereta adalah mudah kerana ia menggunakan kaedah tanpa-kunci. Anda hanya perlu pastikan kunci kereta ada dalam beg atau poket seluar. Pengimbas pada kereta

akan membuka pintu secara

automatik dan satu punat halus

untuk menguncinya. Bagi menyalakan enjin, terdapat tombol khas yang hanya perlu dipulas mengikut ketetapan.

Kereta ini juga direka oleh jurutera dengan keluarga sebagai inspirasi. Ia jelas pada kerusi belakang, dimana sofa duduk boleh dinaikkan untuk kanak-kanak setinggi 4 meter duduk dengan selesa.

Sesuai dengan sifatnya sebagai stationwagon, ruang but V50 ini ialah 1,060 liter dan jika kerusi belakang dilipat rata, ia bertambah menjadi 1,772 liter. Kerusinya pula boleh dilipat beberapa cara yang membolehkan anda mengangkut pokok bunga di dalamnya.

Model Volvo V50 ini ditawarkan dengan pakej aksesori yang menarik. Pelanggan boleh memilik rel khas mengangkut basikal, bodykit, sistem navigasi boleh dipasang/cabut pada dek panel pemuka. Kesemuanya boleh dibeli pada harga antara RM1,346 hingga RM6,607 sebuah.

Malah, Volvo juga menawarkan rim aluminium bersaiz 18 inci iaitu Atreus dan Medusa, masing-masingnya pada harga istimewa RM15,193 dan RM14,710.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: