|
|
NGAUMAN enjin jentera pacuan empat roda (4x4) memecah keheningan pagi di hadapan pejabat Red Adventure, Taman Ukay Perdana, Kuala Lumpur. Kelihatan empat kenderaan berbaris untuk memulakan konvoi iaitu tiga buah Mitsubishi Pajero dan sebuah Toyota Lanc Cruiser yang telah diubah suai sepenuhnya.
Ekspedisi yang dinamakan Kembara Libur 4x4 Sungai Bil ini disertai 15 orang termasuk krew.
Para peserta terdiri daripada kakitangan syarikat 3K Resources Sdn. Bhd.
Pengarah program, Mohamad Idris (Mat Penang) berkata, kesemua peserta berkumpul seawal pukul 8 pagi pada 27 Mac lalu.
Berikut catatan perjalanan kami.
Hari Pertama: Pembahagian cenderahati dan kumpulan serta taklimat keselamatan disampaikan sebelum konvoi bergerak ke arah utara.
Kira-kira pukul 10.00 pagi, tayar kenderaan Mitsubishi Pajero yang dipandu oleh Mohd. Mahayudeen Mohamed Mahdi kekurangan angin dan kami berhenti di sebuah bengkel dekat Ulu Yam.
Hampir 45 minit kemudian, barulah konvoi dapat meneruskan perjalanan. Laluan jalan lama yang ditempuh memang indah dengan pemandangan kampung-kampung Melayu di kiri dan kanan jalan raya.
Setelah sejam berlalu, konvoi mula memasuki laluan off road meredah belantara menuju ke tapak perkhemahan Sungai Bil di Tanjung Malim, Perak.
Halangan pertama yang dirempuh berbentuk huruf V dan berbatu-batan. Kami berhenti dan turun untuk melihat situasi. Mat Penang mengarahkan kami mencangkul sedikit laluan untuk membolehkan jentera melepasi halangan tersebut.
Kemudian, konvoi diteruskan dan tidak lama kemudian, jentera yang dipandu oleh Ahmad Radzuan Mohamed Yusop tersangkut dan terpaksa ditarik menggunakan strap.
Selesai membantu Radzuan, perjalanan mendaki pula bermula. Laluan di sebelah kiri adalah tebing curam manakala permukaan laluan semakin ‘teruk’ dengan berlubang di sana dan sini. Apabila diperhati lekuk-lekuk lubang tersebut merupakan bekas laluan air.
Dalam keadaan laluan yang semakin mencabar, jentera 4x4 yang dipandu oleh Mat Penang termasuk ke dalam lubang yang mana di sebelah kiri laluan adalah gaung. Agak cemas juga dan nasib baik, Mohd. Afendi Amin Nordin yang memandu Toyota Land Cruiser yang telah diubah suai sepenuhnya membantu Mat Penang dengan menarik jentera tersebut dengan menggunakan winch.
Tepat pukul 2 petang, konvoi tiba di tapak perkhemahan. Peserta mula mendirikan khemah manakala pihak penganjur sibuk menyediakan hidangan makan tengah hari.
Ada juga yang mandi-manda di sungai yang mengalir jernih dan tidak kurang juga yang mencuba nasib dengan melemparkan joran ke tengah sungai.
Memang sudah rezeki, kerana rupa-rupanya sungai ini banyak ikan. Kebanyakannya ikan tengas dan puaslah kami menikmati isi ikan yang sedap ini.
Ada juga peserta yang leka membaling roti memberi ikan makan yang nampaknya ‘jinak’ apabila berebut-rebut memagut roti.
Namun apa yang paling seronok adalah air sungai yang jernih membuatkan kami berasa tidak puas berada di sini selama dua hari satu malam.
Menjelang pukul 6.00 petang, persiapan untuk aktiviti barbeku mula rancak diadakan. Di ketika inilah, para peserta beramah mesra dan berkongsi pengalaman dalam sukan memandu lasak. Dalam keasyikan berbual, tiba-tiba sang hujan menyapa kami dan terpaksalah kami masuk ke dalam khemah, seterusnya melelapkan mata untuk tidur.
Hari Kedua: Selesai bersarapan, sesi yang dinamakan Klinik Asas 4x4 pun bermula. Mat Penang yang berpengalaman luas dalam aktiviti memandu lasak 4x4 memberi penerangan secara teori mengenai jentera dan peralatan 4x4 terutama sekali kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dan Toyota Land Cruiser.
Penggunaan peralatan menyelamat recovery kit seperti strap, choker chain, D shackle, tree trunk protector dan snatch block turut ditunjukkan kepada para peserta.
Untuk memeriahkan program, pertandingan melibatkan peralatan jentera 4x4 diadakan. Sebanyak tiga kumpulan bertanding dan mereka dikehendaki melakukan tindakan seperti berikut iaitu:
1) Membuka tayar, golek tayar sejauh 50 meter dan pasang balik.
2) Menggunakan hi-lift jack.
3) Memandu arah kenderaan.
Selain itu, demonstrasi menggunakan winch dan tree trunk protector turut diadakan bagi menambah pengetahuan peserta mengenai sukan memandu lasak itu.
Selepas menikmati hidangan makan tengah hari, acara permainan pula diadakan iaitu sepak takraw. Penyampaian hadiah dan sesi fotografi berkumpulan diadakan pada akhir acara.
Ketika jarum jam menunjukkan pukul 3.30 petang, konvoi mula bergerak meninggalkan tapak perkhemahan Sungai Bil dan sejam kemudian, kami sempat singgah di sebuah gerai di Tanjung Malim untuk menikmati kuih pau.
Kami sampai di Taman Ukay Perdana pada kira-kira pukul 6.30 petang dan selepas bersalaman, kami bersurai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: