Sunday, June 27, 2010

Kulit rosak cacat penampilan


Kulit rosak akibat pengelupasan kimia mesti dirawat.


PERTEMUAN pertama dengan Puan Chua berlangsung semasa saya dijemput oleh sekumpulan ahli kelab perniagaan bagi sesi ceramah kesihatan. Apabila memberi ceramah untuk wanita saya mesti menyelitkan teknik terbaru bagi menjaga kecantikan dan meningkatkan keterampilan diri seseorang.

Ketika sesi soal jawab Puan Chua paling kurang bertanya. Saya merapati beliau kerana kulit wanita ini mempunyai kesan tompokan hitam yang agak serius sehingga mencacatkan kecantikan wajahnya. Oleh kerana beliau tidak bertanya apa-apa, maka saya mengandaikan beliau tidak berminat meningkatkan penampilan dirinya.

Tanpa disangka beberapa minggu selepas itu saya bertemu semula dengannya. Beliau datang ke klinik saya sebagai pesakit. Meskipun kurang fasih berbahasa Melayu beliau sedaya upaya cuba berkomunikasi. Kali ini dalam suasana yang berbeza. Beliau tampak resah dan menceritakan kepada saya kisah bagaimana kulitnya boleh menjadi sedemikian.

Sepuluh tahun yang lalu Puan Chun berkunjung ke sebuah pusat kecantikan yang dikendalikan oleh seorang wanita berasal dari China. Wanita dari China itu memasuki Malaysia dengan menggunakan pas pelancong dan membuka pusat kecantikan secara haram. Menurut Puan Chua pada waktu itu kulitnya tidak bermasalah. Wajah nya putih dan bersih. Dia berkunjung ke situ dengan rakan-rakan hanya untuk melihat jenis rawatan yang dibuat di situ. Namun setelah dipujuk beliau bersetuju mencuba rawatan di situ.

Rawatan yang dijalankan adalah sejenis pengelupasan kimia. Ubat yang disapu kewajah Puan Chan menyebabkan kulitnya kering dan sakit seperti terbakar. Wanita tersebut meyakinkannya selepas beberapa hari kulitnya akan menjadi lebih cantik. Dia kemudiannya di berikan ubat sapu, losen dan pil vitamin.

Kejadian itu menjadi tragedi baginya kerana kulit cantik yang diharapkan tidak kesampaian. Sebaliknya kulit beliau menjadi Kehitaman dan hari demi hari keadaan semakin teruk. Beliau cuba memulihkan kulit dengan bertemu pakar-pakar kecantikan namun menurut mereka kulitnya telah rosak sama sekali dan tidak dapat dibaiki lagi.

Lebih menyedihkan suaminya sendiri berasa malu untuk membawa beliau ke majlis-majlis kerana kulitnya terlalu hitam tidak dapat disembunyikan walaupun dengan menggunakan mekap. Puan Chua sendiri berubah menjadi anti sosial dan pendiam.

Saya membuat analisis kulitnya dan mendapati masalah Puan Chua adalah long standing PIH (post inflammamatory hyperpigmentation) akibat kesan samping chemical peeling oleh orang yang tidak bertauliah atau tiada pengalaman.

Post Inflammatory Hyperpigmentation

Kerosakan ini boleh berlaku kerana kesan sampingan radang pada kulit seperti bekas jerawat, luka atau terbakar dan pengunaan bahan kosmetik yang salah. Oleh kerana chemical peeling dilakukan ke seluruh wajah, maka kesan `terbakar’ yang di alami oleh Puan Chua adalah pada keseluruhan muka. Sekali pandang saling tak tumpah seperti Dayang Senandung dalam filem Seniman P Ramlee. Bukan sahaja wajahnya jadi gelap dan lebam, tetapi tekstur kulit mukanya kasar dan pori-pori mukanya luas.

Kaedah Rawatan

Saya mencadangkan rawatan menggunakan laser. Rawatan mestilah dibuat antara enam sehingga sepuluh kali untuk mendapat hasil yang memuaskan. Saya juga mencadangkan rawatan PRP (platlet rich plasma). Uniknya dalam rawatan ini kita menggunakan sel-sel dalam darah pesakit itu sendiri. Saya menyarankan agar beliau melakukan rawatan setiap minggu, tetapi beliau hanya mampu menjalani rawatan sebulan sekali . Selepas rawatan pertama Puan Chua berjanji akan datang lagi jika terdapat perubahan pada kulitnya. Nampaknya belum benar benar yakin dengan saya. Pada bulan berikutnya, beliau datang untuk rawatan kedua. Beliau kelihatan sedikit ceria kerana pigmentasi beliau sudah mula pudar dan ada beberapa kawan sudah menegur.

Minggu lepas adalah rawatan beliau yang ketiga. Saya menjangkakan beliau akan datang semula sebulan dari sekarang. Tetapi minggu ini beliau muncul di klinik. Kehadirannya memberikan saya seribu satu pertanyaan yang berlegar di dalam pemikiran. Selepas beberapa minit saya menjemput dia masuk. Keadaan kulit mukanya tampak banyak perubahan walaupun baru tiga kali rawatan.

Beliau juga memberitahu hubungannya dengan suami yang semakin hambar menunjukkan tanda-tanda akan pulih. Malah dua hari beliau memberitahu dikunjungi suami yang mengajaknya keluar bersama. Untuk sesi kali ini saya menjalankan rawatan menghilangkan pigmentasi menggunakan laser sekali lagi.

Sambil merawat Puan Chua beliau bercerita mengenai masalah rumah tangganya yang rumit. Semenjak mengalami masalah pigmentasi pada mukanya , beliau berasa sangat tertekan, tidak mahu keluar rumah dan suka menyendiri. Ini juga telah menyebabkan beliau berpisah dengan suaminya. Beliau memilih untuk berpisah kerana merasa rendah diri. Saya terkejut mendengar berita tersebut.

Namun begitu suaminya seorang yang baik dan selalu datang melawat beliau sambil memberi wang nafkah. Sebab itu beliau hanya mampu menjalani rawatan sebulan sekali. Bekas suaminya cuba berbaik semula dan selalu mengajak beliau keluar. Tetapi akibat kesan pigmentasi pada mukanya , beliau berasa sangat malu dan memilih untuk duduk di rumah sahaja. Tetapi kini selepas tiga rawatan, keadaan beliau sudah jauh lebih baik. Tidak lagi terdapat kesan tompok-tompok yang ketara di mukanya, dan hanya kelihatan seperti terkena sedikit selaran matahari.

Beliau faham untuk mendapat kesan yang cantik, beliau perlu menjalani dalam 6 sehingga 10 kali rawatan. Dan semasa dalam rawatan beliau harus menggunakan pelindung matahari yang bagus dan menghindari sinaran matahari. Beliau kini sangat gembira kerana tidak perlu risau orang memandang mukanya apabila keluar ke bandar. Dia menambah lagi selain pigmentasinya yang semakin pudar, bekas suaminya memuji kulit beliau semakin halus dan tegang, malah dia kelihatan lebih muda.

Saya tidak menyangka keprihatinan saya terhadap masalah kulit beliau sebenarnya telah mengubah hidup dan masa depannya. Namun begitu saya mengingatkan beliau berkali-kali untuk menghindari sinaran matahari ketika berada di luar rumah dengan memakai sunblock dan payung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: