BANGI - Hajat tujuh sahabat untuk mandi-manda dan memancing selepas tamat sesi persekolahan di Sungai Hulu Langat dekat Taman Desa Sentosa di sini kelmarin berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas di sungai itu.
Mereka yang lemas ialah Mohd. Fariz Rizwan Azman, 11, pelajar tahun lima Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan 6, Bandar Baru Bangi dan Mohd. Akmal Muhammad Arshad, 16, pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 14.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Timbalan Penguasa Bomba, Emil Taihin berkata, mayat Mohd. Fariz ditemui pukul 10.30 pagi semalam manakala mayat Mohd. Akmal masih belum dijumpai.
"Kami terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan pukul 7 petang kelmarin.
"Kira-kira pukul 10.30 pagi tadi (semalam) mangsa pertama ditemui tersangkut pada akar kayu tebing sungai kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan lemas," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan di sepanjang lima kilometer dari tempat kejadian mendapati terdapat beberapa kawah sedalam tiga meter kesan daripada aktiviti mengorek pasir.
Sementara itu, salah seorang rakan mangsa, Mohd. Amirul Mazlan, 13, memberitahu, mereka datang ke sungai itu untuk memancing dan mandi-manda.
Ketika mandi, tiba-tiba seorang rakannya Mohd. Alif Ihsan Arshad, 11, lemas sebelum berjaya diselamatkan oleh abangnya iaitu Mohd. Akmal.
"Lepas Akmal selamatkan Alif, tiba-tiba Fariz pula tenggelam. Akmal cuba nak selamatkan Fariz, tapi dia pun hilang dibawa arus.
"Saya jerit minta tolong dan seorang lelaki dewasa dari seberang sungai cuba membantu tetapi masih gagal menyelamatkan mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dalam pada itu, bapa Mohd. Akmal, Muhammad Arshad Salleh, 44, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan mangsa ialah ketika mangsa pulang dari sekolah untuk menunaikan solat Zuhur.
Bapa Mohd. Fariz, Azman Abbas, 44, pula memberitahu, anaknya ada mengajaknya pergi berkelah di sungai berkenaan pada cuti sekolah yang lalu tetapi dia tidak dapat memenuhinya kerana ketika itu kawasan tersebut terlalu ramai pengunjung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: