LANGKAH belum jauh, sekadar di ruang masuk namun sudah terbentang konsep hiasan spa di Putrajaya itu.
Tidak hanya ruang istirahat berkenaan, bilik rawatan di spa yang baru diperkenalkan di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside itu juga berlatarkan konsep moden yang kemas dengan perincian hiasan dalamannya.
Tapi bukan segalanya kontemporari kerana sebaik menjenguk ruang istirahat spa yang diberi nama Vous itu, minuman yang dihasilkan daripada bahan tradisional terus dihulur.
Dihasilkan daripada halia dan serai, ia sekadar untuk menyegarkan tubuh sebelum memulakan rawatan kesejahteraan diri termasuk urutan tubuh, penjagaan kulit dan tata rias kuku.
Meskipun Vous berasal daripada konsep spa kota serba mewah dari Perancis, ia menggabungkan kepelbagaian jenis urutan tradisional masyarakat berbilang budaya dan tradisi Asia.
Urutan istimewa Vous misalnya, menggabungkan tiga teknik urutan iaitu urutan Melayu, tui na daripada masyarakat Cina dan abyanga yang diwarisi kaum India. Ia menggunakan minyak suam aromaterapi yang disarankan untuk tubuh lesu.
Jika mahu menikmati urutan tui na saja, ia turut disediakan terutama untuk melegakan tubuh yang letih serta mereka yang gemarkan tekanan urutan yang kuat. Urutan tui na dipercayai salah satu daripada urutan paling tua masyarakat Cina yang antara lain menggunakan teknik urutan menekan, menarik dan menggosok tubuh.
Bagi pengunjung yang mencari-cari urutan tradisional masyarakat Melayu, turut disediakan urutan hasil kombinasi urutan Bali dan Melayu.
Selain itu, ada urutan batuan hangat dan urutan kaki manakala yang mahu memilih pakej, pilihan kombinasi urutan, mandian dan urutan yang disediakan ialah Asmara Dana, Kama Sutra dan terapi Borneo.
Memanfaatkan tumbuhan semula jadi di spa ini, antara yang mencuri tumpuan, mandian herba tujuh rempah menggunakan beberapa bahan tempatan termasuk serai, halia dan selasih yang mengandungi ciri antioksidan serta antiradang.Selesai rawatan, minuman jamu pula disajikan. Ia bukanlah umpama jamu yang lazimnya pahit ditelan tetapi minuman menyegarkan itu dihasilkan daripada campuran limau nipis, asam jawa, kunyit, gula melaka, madu dan daun pandan.
Di kalangan pengunjung yang tidak biasa dengan perkataan jamu terutama di kalangan pengunjung rakyat asing, ia diperkenalkan sebagai minuman herba tradisional yang antara lain membantu untuk membuang angin dalam badan.
Jika sesekali ingin memanjakan diri dalam suasana mendamaikan, spa berkonsep moden dan tradisional yang baru dibuka sejak Mac lalu ini antara lokasi yang memang berbaloi untuk dikunjungi.
>INFO
> Ada 10 bilik rawatan termasuk bilik untuk pasangan. Selain itu, ada 10 bilik berkonsepkan spa yang dilengkapi kemudahan jakuzi bagi membolehkan pengunjung mendapatkan rawatan spa di bilik hotel masing-masing.
> Harga rawatan tubuh bermula dari RM100 sehingga RM270, antara 30 minit hingga 90 minit.
> Rawatan tubuh selama 50 minit berharga RM150 terdiri daripada beberapa jenis sental termasuk pilihan le scrub four Vous, lulur Jawa diraja, sental kopi, le scrub four homme dan garam Himalaya.
> Ia boleh dikunjungi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.
> Untuk maklumat lanjut, e-mel kepada vous@pullmanputrajaya.com
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: