ANTARA cabaran hebat Imam Muda ialah menguruskan jenazah bermasalah.
SEBELUM disiarkan lagi program Imam Muda sudah menerima pelbagai pandangan, teguran, pujian malah tidak kurang kritikan yang diberikan pelbagai pihak mengenai penerbitan program yang menggunakan 100 peratus modul tempatan itu. Jika program yang membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membeli modul antarabangsa terutamanya berunsurkan hiburan seperti nyanyian, masyarakat umumnya yang beragama Islam menerima tanpa sebarang komen.Tetapi lain pula dengan program Imam Muda sejak ia disiarkan di Astro Oasis (saluran 108) setiap Jumaat, sejak 28 Mei lalu, jam 9 malam. Menerusi ruangan surat pembaca yang disiarkan akhbar ini pada 15 Jun lalu, program Imam Muda masih dipersoalkan oleh individu yang agak keliru dengan objektif penerbitan program ilmiah yang begitu kurang di negara ini.
Mengulas perkara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar menegaskan Imam Muda bukanlah program realiti tetapi siri pencarian yang mencari individu remaja yang berketrampilan dalam ilmu agama sekali gus menjadi ikon kepada remaja.
“Sebelum ini kami beberapa kali sudah menjelaskan bahawa program ini bukanlah program realiti tetapi siri pencarian. Bezanya program ilmiah ini tidak berunsurkan keuntungan yang membabitkan undian SMS.
“Astro tidak pernah memikir untuk mengadakan undian SMS kerana ini adalah program ilmiah. Astro menerbitkan program ini adalah untuk mendekati kerjaya hal ehwal agama dan memartabatkan status imam itu sendiri,” katanya yang dihubungi baru-baru ini.
Menurutnya, kerjaya imam yang dianggap sebagai pemimpin kepada masyarakat seperti yang diketahui umum bukanlah hanya tertumpu di masjid saja malah peranannya lebih luas daripada itu.
“Program pertama di dunia yang memartabatkan kerjaya imam ini mendedahkan tugas dan peranan imam itu sendiri. Pesertanya bukan calang-calang kerana ada antara mereka memang memiliki ilmu agama di peringkat tertinggi selain berperibadi baik.
“Sebelum menyertai program ini, ada peserta yang memang sudah menjadi imam. Modul pendidikan berlandaskan hadis yang disusun semula oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Saya juga ingin memetik kata-kata mantan Imam Besar Masjid Wilayah, Datuk Hassan Mahmud bahawa segala yang disusun di dalam modul ini berlandaskan hadis yang digunakan sejak zaman Nabi Mohammad S.A.W dan tiada ruang untuk dipertikaikan,” katanya.
Menjelaskan berkaitan ganjaran yang diberikan kepada Imam Muda ini tidak lain adalah untuk memberi pengiktirafan tertinggi selain mengangkat martabat tanggungjawab ini seterusnya menarik minat mereka mendekati kerjaya yang begitu mulia di sisi Allah.
“Buat pertama kalinya program yang menggunakan idea dan konsep anak tempatan menerima minat daripada media antarabangsa seperti Asian Wall Street Journal, NST Singapura, BBC World London, ADK Television dari Jerman, Associated Press New York dan ZDF Germany TV.
“Kami juga menerima banyak syarikat yang ingin menawarkan pelbagai hadiah buat Imam Muda ini. Ini permulaan yang baik. Kalau program hiburan memberikan hadiah lumayan termasuk kereta mewah, apakah kita ingin melihat imam kita hanya menaiki motosikal ke masjid?
“Namun bukanlah kereta mewah yang ingin kita sasarkan tetapi orang ramai juga harus tahu, Imam Muda yang melepasi kesemua pembelajaran dan cabaran ini akan ditawarkan melanjutkan pengajian berkaitan kepimpinan atau apa-apa saja yang berkaitan agama di Universiti Madinah yang ditanggung kos keseluruhannya selama empat tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: