DAMANSARA: Misteri kehadiran peti besi di belakang beberapa kedai menjual DVD cetak rompak di sini terbongkar apabila pihak berkuasa menemui ribuan keping cakera padat disembunyikan di dalamnya.
RAMPAS...DVD cetak rompak yang disorok dalam peti besi di belakang kedai.
Bagaimanapun, helah mereka dapat dihidu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menyebabkan tiga premis di Damansara Uptown yang terkenal sebagai lubuk DVD cetak rompak itu diserbu kira-kira jam 8 malam kelmarin.
Timbalan Pengarah KPDNKK Selangor, Ahmad Mad Isa berkata, bertindak atas maklumat awam, pihaknya menggempur ketiga-tiga premis itu serentak setelah melakukan risikan selama dua jam.
“Pada peringkat awal, kita gagal mengesan lokasi stor persembunyian cakera terbabit malah penjaga premis yang dicekup juga berlakon seolah-olah tidak tahu di mana ia disimpan.
“Pemeriksaan ke atas premis itu akhirnya berjaya mengesan stor simpanan pertama di sebalik dinding dibuat dari kepingan papan lapis namun tidak menemui DVD lucah seperti yang didakwa dijual oleh orang ramai,” katanya ditemui di lokasi serbuan.
Menurutnya, pihaknya kemudian mengesan kehadiran beberapa peti besi di belakang premis itu yang menimbulkan kecurigaan. “Pemeriksaan di belakang premis itu menemui dua kotak besi setinggi dua meter yang di mangga menimbulkan curiga oleh pasukan operasi menyebabkan kita terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk membuka kunci mangga terbabit.
“Selain itu, kita turut menemui satu lagi stor simpanan mereka dengan mengubahsuai bahagian tangga di belakang premis menggunakan pintu besi tebal,” katanya.
Ahmad berkata, hasil serbuan ke atas ketiga-tiga premis itu, pihaknya merampas 30,000 keping DVD filem dan lucah termasuk klip video panas 'Peterporn' bernilai RM300,000.
“Tiga lelaki dipercayai penjaga premis berkenaan berusia lingkungan 30-an turut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 sabit kesalahan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: