DZULKIFLI (kanan) beramah mesra dengan kontinjen universiti pada majlis perasmian SUKUM ke-35 di Pulau Pinang, baru-baru ini.
SERAMAI 3,500 atlit menyertai Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) ke-35 yang bertanding dalam 13 acara sukan selama 11 hari di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, berakhir Sabtu ini. Atlit dari 20 institusi pengajian tinggi awam itu bersaing dalam pertandingan bola sepak, futsal, sepak takraw, bola jaring, tenis, hoki, bola tampar, boling padang, dart, karom, tarik tali dan bowling mulai 16 Jun hingga 26 Jun ini.Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, berkata SUKUM cukup penting kepada IPTA kerana ia menjadi landasan kepada kakitangan universiti untuk memperbaharui dan menjalin kerjasama di kalangan mereka.
“Semangat kesukanan perlu dipupuk di kalangan kakitangan kerana ia membantu membentuk cara hidup yang lebih sihat dengan masing-masing memberi tumpuan kepada sukan yang diminati.
“Penganjuran sukan ini akan menggalakkan lebih ramai warga universiti terbabit dengan kegiatan sukan dan riadah pada waktu lapang. Ini penting bagi mengurangkan pelbagai penyakit termasuk tekanan dan stres yang dialami kakitangan. Pada masa sama ia menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui pembabitan aktif dalam kegiatan sukan dan riadah” katanya ketika merasmikan SUKUM ke-35, di Stadium Olahraga, USM, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan-timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKUM, Prof Datuk Omar Osman dan Prof Asma Ismail.
Sementara itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghantar 180 atlit bagi menyertai 12 acara sukan termasuk bola sepak senior dan veteran, netball senior, tenis campuran, badminton campuran, olahraga lelaki dan wanita veteran, bowling lelaki dan wanita, tarik tali dan bola tampar.
Ketua kontinjennya, Datuk Ahmad Zailan Shaari, berharap pasukan UIAM berjaya membawa pulang banyak pingat dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan itu berlangsung.
”Saya berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh peserta, walaupun sibuk dengan tugasan kerja di pejabat namun masing-masing tetap giat menjalankan latihan pada waktu petang.
”Kesungguhan seperti ini diharapkan tidak terhenti setakat di sini saja, tetapi akan berterusan sampai bila-bila,” katanya.
Dalam pada itu, juara bertahan SUKUM dua kali berturut-turut, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mahu mengekalkan kejuaraannya untuk kali ketiga tahun ini.
Ketua kontinjennya, Hirwan Jasbir Jaafar berkata, UniMAP mampu mengulangi kejayaan untuk bergelar juara berdasarkan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan atlit.
”Persiapan rapi termasuk mengadakan latihan berpusat khas di bawah bimbingan jurulatih bertauliah menambahkan lagi keyakinan kami untuk memenangi 22 acara yang disertai terutama bola sepak, olahraga, tenis dan sepak takraw.
”Kami menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 pingat emas dan harapan ini terletak di bahu semua 279 peserta kami yang sudah bersedia 100 peratus dari segi fizikal dan mental,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: