Farah Fauzana
PEMENANG Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 kategori Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, Farah Fauzana Mohd Fadzil, 30, amat meminati tarian tradisional Melayu dan pernah bercita-cita ingin menjadi penari profesional. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Fara dan Fafau itu juga amat meminati Ziana Zain dan memiliki semua koleksi album penyanyi berkenaan.“Lenggok lembut tarian tradisional Melayu memang menarik perhatian saya sejak kecil lagi. Pernah juga terlintas untuk menjadi penari tradisional secara profesional, tetapi tidak kesampaian kerana mungkin bakat saya bukan di situ.
“Sejak zaman bergelar pelajar dulu lagi, saya minat sangat dengan Ziana Zain (ZZ). Boleh kata semua album penyanyi itu saya miliki. Rakan-rakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memang tahu saya peminat ZZ, dan ketika ZZ adakan persembahan di UiTM, rakan penganjur majlis itu menugaskan saya menjaga setiap urusan penyanyi berkenaan sepanjang berada di UiTM mengadakan persembahan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengimbas kenangan ketika bergelar pelajar, Fara yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Perhubungan Awam), berkata setiap kali ke kuliah, beliau menumpang kenderaan kawan dan kadang-kala perlu berjalan kaki kerana tidak memiliki kenderaan sendiri.
“Masa jadi ‘student’ dulu, kena ‘struggle’ sikit. Kalau sempat, dapat naik bas disediakan UiTM untuk ke kuliah. Tapi, kalau tak sempat terpaksalah `menapak` atau menumpang kawan. Kadang-kala perit juga, itulah kenangan yang dulunya amat pahit, tapi manis bila dikenang hari ini.
“Apapun, saya bertuah sebab memiliki kawan-kawan yang ‘sporting’. Susah payah itu juga membantu saya menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan bersemangat untuk menamatkan pengajian,” katanya.
Fara berkata, pembabitannya dalam bidang penyiaran radio bermula pertengahan tahun 2000 apabila menyertai Radio Era sebagai anggota Skuad Perodua Era sebelum diberi kepercayaan menjadi penyampai radio di stesen berkenaan.
Katanya, selepas menimba pengalaman di stesen berkenaan, beliau memulakan langkah sebagai pengacara di TV3 mengendalikan rancangan popular stesen TV itu, Melodi.
“Rezeki saya dalam bidang ini semakin bertambah apabila ditawarkan menjadi penyampai radio stesen milik Media Prima, HotFM pada tahun 2006. Pada awal HotFM diperkenalkan kepada pendengar, saya digandingkan bersama Faizal Ismail dan mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar.
“Sokongan berterusan peminat HotFM meletakkan stesen itu sebagai stesen radio paling popular tanah air dan pernah diiktiraf sebagai stesen (radio) nombor satu negara. Perjalanan saya dalam bidang seni juga semakin bersinar selepas menyertai HotFM apabila tawaran untuk berlakon (drama dan filem), menjadi pengacara dan macam-macam lagi,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan dikecapinya sekarang adalah hasil sokongan padu ibu bapa, kawan-kawan rapat dan peminatnya. Katanya, impiannya kini adalah untuk berada di tempat paling tinggi dalam dunia penyiaran radio dalam tempoh lima tahun lagi.
'Minat mendalam, ikhlas penting sebagai penyampai radio'
“Saya paling tidak suka apabila berdepan dengan individu yang penyibuk dan gila glamour,” kata pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Pengacara TV Wanita dan Penyampaian Radio Wanita Popular 2009, Farah Fauzana Mohd Fadzil.
Katanya, individu bersikap seperti itu hanya menyusahkan orang lain untuk buat kerja dan menggambarkan sikap tidak profesional seseorang itu.
“Orang macam ini seperti tidak ada pendirian, dan sudah tentu individu seperti itu seolah-olah mempunyai agenda lain apabila menyertai sesuatu bidang kerja.
“Lebih baik jika kita bersikap ikhlas apabila menjalankan kerja yang diberikan. Kalau kita benar-benar buat kerja dengan ikhlas, sudah pasti Tuhan akan memberikan balasan yang setimpal dengan usaha yang (kita) dilakukan,” katanya.
Ramai yang menyangkakan Fara seorang yang sombong dan sukar untuk didekati, namun perkara itu dinafikan beliau sambil menegaskan beliau seorang yang berperangai gila-gila.
“Tak kenal maka tak cinta, jadi kalau tak kenal siapa sebenarnya Fara ni, janganlah kata saya ni sombong. Sebenarnya, saya mudah sangat untuk didekati dan senang mesra. Saya amat menghargai sokongan peminat dan saya sedar tanpa sokongan mereka, sudah pasti saya tidak akan dikenali ramai seperti sekarang,” katanya.
Sebagai pesanan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang ingin menjadi penyampai radio, Fara berkata, perkara paling penting untuk berjaya dalam bidang ini ialah minat yang mendalam.
Katanya, andai menceburi bidang ini sekadar untuk mengejar populariti dan glamour saja, lebih baik lupakan kerana tanpa minat dan sikap ikhlas, sudah tentu mereka tidak akan dapat pergi jauh.
BIODATA: Farah Fauzana Mohd Fadzil
Tarikh lahir: 7 Februari 1980
Keluarga: Kedua daripada tiga beradik
Asal: Petaling Jaya, Selangor (dibesarkan di Shah Alam)
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam),Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam
Kerjaya: Penyampai radio HotFM, pengacara Melodi (TV3), pelakon dan penerbit drama
Filem: SH3 The Movie, Gila Gila Bola, Jin Notti, Kecoh Betul dan Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami
Drama: Hanya Segeluk Air, Mangkuk Tingkat, Fatamorgana, Kisah Benar, Nur, sitkom Fara, Gadis Cuci dan Gadis Cuci The Series
Pencapaian: Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005, ABPBH2006, ABPBH2007, ABPBH2008, ABPBH2009 dan Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH2007, ABPBH 2008, ABPBH2009
Duta: Telekom Malaysia (TM), Keep Slim dan Jacob's
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: