PESERTA ekspedisi mengabadikan kenangan di puncak Gunung Tok Nenek, Cameron Highlinds, baru-baru ini.
KUMPULAN pendaki Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menawan Gunung Tok Nenek, Cameron Highlands selepas mengharung perjalanan mencabar dari perkampungan Orang Asli, Pos Brooke, baru-baru ini. Ekspedisi empat hari anjuran Biro Sukan dan Rekreasi, Badan Kebajikan Staf UTeM (BAKUTeM) yang disertai 24 pendaki itu turut mengadakan lawatan ke perkampungan Orang Asli serta menghulurkan sumbangan kepada mereka.Pengarah Program, Omar Abd Aziz, berkata ekspedisi berkenaan bertujuan membentuk semangat setia kawan selain membina ketahanan fizikal dan mental di kalangan pendaki.
Katanya, pendaki berjalan kaki dari Pos Brooke selama lapan jam ke Kem Kapak, tapak perkhemahan sebelum pendakian bermula. Pendakian dari Kem kapak ke puncak Gunung Tok Nenek dimulakan pada jam 4.30 pagi, mengambil masa lima jam.
“Puncak Gunung Tok Nenek yang berada di ketinggian 1,904 meter dari aras laut adalah antara gunung yang menjadi tarikan pendaki dan penggemar aktiviti lasak. Gunung ini juga dikenali dengan nama Mount Table & Chair oleh penjajah British kerana bentuknya seperti kerusi dan meja apabila dilihat dari jauh,” katanya.
Menyingkap sejarahnya, Omar berkata, nama 'Tok Nenek' diberi masyarakat Orang Asli tempatan yang mengaitkan dengan mitos Tok dan Nenek yang lari ke atas gunung lalu membentuk formasi puncak berbatu. Satu puncak dikenali sebagai batu Tok dan satu lagi puncak batu Nenek.
Beliau berkata, gunung itu dipilih kerana kedudukannya yang berhampiran gunung utama di Banjaran Besar (Titiwangsa), iaitu Gunung Tahan, Korbu, Gayong, Yong Belar, Ulu Sepat, Chamah dan Yong Yap.
“Dari puncak, peserta ekspedisi dapat melihat dengan jelas kedudukan gunung berkenaan. Secara tidak langsung dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan geografi pendaki.
“Selain itu, pendaki juga diterapkan dengan nilai kesedaran terhadap kepentingan melindungi alam sekitar yang semakin tercemar dengan memastikan bahan buangan ekspedisi diuruskan dengan baik tanpa menjejaskan puncak gunung berkenaan.
Omar berkata, Biro Sukan dan Rekreasi BAKUTeM terbabit dengan pelbagai aktiviti lasak dan pernah menawan puncak Gunung Tahan.
“Kami turut menganjurkan kegiatan mendaki tebing tinggi serta aktiviti pemuliharaan alam sekitar dengan mengadakan kerjasama dengan Taman Negara di Gunung Ledang. Biro ini juga sedang merancang ekspedisi seterusnya untuk menawan beberapa gunung lagi bagi melengkapkan siri pendakian sepanjang Banjaran Titiwangsa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: