UMUM sudah mengetahui jejaka dengan nama penuh Firdee Akasha Rosli ini sedang berada dalam fasa darah manis.
Pelakon yang pernah membawakan watak tentera Jepun dalam filem Embun ini sudah diikat hati dan gerinya. Separuh jiwanya sudah membuat persiapan untuk bergelar sebagai suami. Selesai majlis pertunangan pada 23 Mei lalu, Aqasha hanya menunggu detik memasuki gerbang perkahwinan.
Dia hadir ke majlis pelancaran drama Dendam Orang Minyak yang menuntut dirinya menyelami kerjaya seorang wartawan jenayah. Tersenyum namun lagaknya masih seperti biasa, santai dan bersahaja. Membuka bicara sebagai tunangan orang, Aqasha yang menggayakan rona jingga dengan berseluar denim sudah dapat menjangka soalan yang bakal ditanya.
Katanya, dia sudah mendapat aura naluri seorang wartawan melalui wataknya dalam drama Dendam Orang Minyak.
"Sudah lumrah kerjaya wartawan, pasti ingin tahu dan terus mengorek," ujarnya.
Lalu Aqasha membuka cerita tentang gadis bernama Baizura Sabri yang berusia 26 tahun. Wanita itu sudah dikenalinya sejak awal usia mereka 20-an.
"Perkenalan itu terjalin melalui kawan," katanya memulakan cerita.
Awalnya atas dasar kawan namun sejak dua tahun lalu, hati dua insan yang masih tercari-cari pasangan hidup akhirnya memulakan langkah.
Pertemuan semula itu tidak hanya berbalas senyuman atau kata-kata sebaliknya ia berlanjutan menjadi buah cinta yang kemudian subur hati Aqasha mahu pun Baizura. Malah mereka kemudian mengikat kata untuk bertunang dan mengakhiri zaman bujang mereka tahun ini juga.
"Katakanlah saya tipikal atau konservatif tetapi hakikatnya saya sukakan konsep wanita rajin ke dapur. Baizura adalah seorang perempuan yang ringan tulang.
"Dia rajin ke dapur. Saya pula memang suka makan. Paling saya gemar adalah sambal goreng berlada masakannya," tutur jujur seorang lelaki yang bakal masuk ke alam 30-an dua tahun lagi.
|
|
Nyata Baizura bukan hanya sudah menambat hati Aqasha malah perut pelakon tersebut turut diikat dengan air tangannya.
"Bukan tidak mahu memberitahu umum tapi saya takut digelar 'poyo' kerana baru bertunang.
"Nanti orang cakap baru bertunang pun nak beritahu semua. Saya memang tidak mahu berahsia tentang pertunangan saya. Hajat hati mahu berkongsi bila sudah mahu kahwin kelak.
"Rancangnya 10 Oktober depan adalah tarikh pernikahan tapi semua borang dan prosedur belum siap. Takut-takut tiada pula jurunikah pada tarikh tersebut," ujarnya.
"Saya duduk di Shah Alam dan dia di Sungai Besi. Harap-harap kami tidak bergaduh kalau mahu pulang beraya kelak," selorohnya dalam serius.
Majlis pertunangan yang diadakan penuh adat Melayu itu berlangsung selepas solat Zuhur dengan disaksikan oleh 40 ahli rombongan yang terdiri daripada keluarga terdekat.
Adat Melayu, berbalas pantun dan bertukar kata, maka penyerahan 11 dulang hantaran daripada pihak si Adam yang terisi sebentuk cincin, sepersalinan pakaian, telekung, sejadah al-Quran, kasut, tas tangan dan barangan solek. Hantaran itu berbalas 13 dulang termasuk sebuah gitar sekali gus mengesahkan mereka bersetuju melayari fasa pertunangan untuk lima bulan mendatang.
Aqasha tampak matang berbicara, dia tidak kekok berkongsi momen bahagia dan rasa terhadap tunangan tersayang. Wanita yang bertugas sebagai editor di syarikat penyiaran Astro tersebut benar-benar mengetuk hati lelaki Aqasha.
"Baizura biarkan saya menjadi diri sendiri. Saya ini orang yang ekspresif dan kadang kala cakap saya terlalu tajam dan tidak berlapik. Dia menerima saya sebegitu," ujarnya yang kini semakin sibuk dengan penggambaran drama yang banyak mengetengahkan dirinya sebagai pelakon utama.
Namun dalam sibuk-sibuk sebegitu, dia tidak lupa kenyataan yang dirinya bakal bertukar status Oktober kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: