DALAM erti kata yang mudah, dia tidak menyimpan memori dipeluk kasih bapa. Tiada erti ciuman di dahi oleh sang ayah atau melompat kegirangan menyambut pulang lelaki berstatus pemimpin rumah tangga itu sambil di tangannya tergenggam mainan baru.
Kenangan itu tiada dan tidak pernah muncul dalam jalur ingatan Aaron Aziz, 34, aktor dari Kota Singa yang semakin subur bakatnya ke daerah seni Malaysia.
Kematian lelaki berstatus ayah ketika tulang-temulangnya masih belum gagah berdiri, berlari apatah lagi, Aaron pernah membesar dalam bungkam perasaan yang kabur. Dia hanya kenal nilai kasih ibu sedangkan panggilan ayah yang laju melantun daripada bibir rakan-rakan seusia, langsung tidak memihak ke batang tubuhnya.
"Saya tiada perasaan dan langsung tidak tahu apa rasa mempunyai ayah. Saya tidak tahu apa itu kebapaan. Cuma dalam usia lewat 20-an, setelah saya mempunyai anak sendiri, barulah saya faham apa yang cuba dilakukan oleh seorang bapa.
|
|
"Saya menjadi yatim ketika umur saya belum sampai setahun. Ibu saya berkahwin sekali lagi ketika usia saya 13 tahun. Pernah juga saya persoalkan apa yang cuba dilakukan oleh bapa tiri saya tapi lama-kelamaan dan hari ini saya sangat menghormatinya, dia, Abdullah Daud, 55, seorang lelaki budiman yang mengajar saya bagaimana menjadi lelaki sebenar," terjemahan optimis terzahir oleh Aaron saat menumbuhkan ingatannya terhadap insan bergelar bapa.
Hari ini, 20 Jun atau lebih tepat lagi, Ahad ketiga dalam Jun diisytihar sebagai Hari Bapa bagi kebanyakan negara termasuk Malaysia. Searas dengan statusnya bapa kepada tiga cahaya mata, Aaron menjadi pilihan Sensasi Bintang untuk mengisi portfolio istimewa untuk semua.
Jika ada gelaran 'hot papa', Aaron antara bapa yang mampu menggalas gelaran itu saat ini. Dia bergelar bapa seawal usia 28 tahun saat menyambut kelahiran anak pertama Danish Anaqi, 6, dan selang dua tahun kemudian, muncul Dwi Ariana, 4.
"Itu cuma satu kelebihan sebab saya selebriti. Harapnya, gelaran itu satu doa yang baik, boleh juga jadi satu peringatan kepada saya supaya kekal menjadi diri sendiri, tidak lupa diri dan tahu mana bumi di pijak," cetusnya yang baru menimang anak ketiga, Dahlia Arissa, 23 Mei lalu.
Kasih tidak pernah luak untuk dibahagi-bahagikan. Ada anggota baru dalam keluarga dan dalam masa yang sama, dua lagi sedang membesar, memacu semangat bekerja serta misi kebapaannya semakin jelas.
"Jadi, sambutan Hari Bapa bukanlah semata-mata untuk anak mengucapkan selamat Hari Bapa kepada bapa masing-masing. Untuk saya, memandangkan anak-anak masih kecil, Hari Bapa yang datang ini lebih kepada satu peringatan," tuturnya lancar.
Tersenyum sambil ralit menceritakan kerenah tiga anak yang masih kecil, dia mengaku tidak pernah mengekang keinginan sang anak. Bahkan dalam banyak hal, dia yang terlampau memanjakan anak sehingga mampu memdatangkan risiko.
"Sekarang anak-anak sudah pandai membuat permintaan, isteri saya (Diyana) kerap menyalahkan saya kerana terlalu mengikut kata anak dan memanjakan mereka.
"Saya cuma mahu memenuhi setiap kekosongan kerana ketika zaman kanak-kanak saya tidak merasainya. Saya tidak mahu mereka rasa apa yang pernah saya rasa. Tapi sekarang saya sedar, saya perlu beransur-ansur kurangkan 'keistimewaan' putera puteri saya itu," katanya.
Mahu tunjuk kejantanan
|
|
Masuk ke kancah populariti yang memungkin hidup tanpa had privasi, Aaron melonjak naik tanpa cerita panas. Mengakui banyak diselamatkan oleh status bapa, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Haryati 2 oleh Erma Fatima (2004) itu bagaimanapun harus akur - menjadi artis tidak akan terlepas daripada gosip.
Seperti beberapa aktor sasa yang lain, status suami kepada Diyana Halik, 29, ini juga tidak mampu melindungi Aaron daripada terjebak dengan khabar yang digeruni oleh golongan wanita.
Ketika populariti sudah digenggam, baru-baru ini, ada angin panas meniupkan bicara, kononnya dia termasuk dalam senarai lelaki gay. Pernah disangkalnya dalam artikel terdahulu, sekali lagi Aaron bertegas.
"Saya tidak perlu naik marah atau melatah dengan gosip sebegitu. Bagi saya itu fitnah. Bila orang tengok rumah tangga saya aman dan tidak bergoncang, isu lain pula yang timbul. Agaknya sudah lumrah, apabila menjadi artis, pasti ada pihak sengaja mahu mencari kesilapan saya.
"Macam mana lagi hendak saya buktikan 'kejantanan' saya. Saya tak perlu buat apa-apa. Sebab mulut orang susah hendak ditutup," katanya selamba.
Riak wajahnya biasa, tenang dan jauh berbeza dengan sifat agresif seperti yang ditonjolkan dalam lakonannya.
Adat menjadi lelaki, sifat 'nakal' itu tidak dapat dipisahkan. Menanyakan Aaron, apakah dalam dirinya sudah dibuangkan jauh-jauh segala kenakalan seorang lelaki, ini jawabnya:
"Saya masih nakal, tetapi kenakalan itu akan keluar apabila saya berada bersama orang-orang tertentu. Apabila bersama rakan-rakan yang 'kepala merepek', saya pun sama merepek. Bila bersama anak-anak, saya harus nakal setaraf dengan penerimaan anak-anak. Jika bersama isteri, saya suka mengusik-usik dan mengejek Diyana," luahnya.
Menelaah personaliti bapa popular itu, Aaron juga ditebak tentang kenakalan yang dicuba disingkirkannya.
"Saya cuba buangkan sifat panas baran saya, cuba tapis kata-kata dan pandangan tidak baik terhadap orang lain. Jika sebelum ini pantang disentuh, mula rasa ingin berdepan dengan pihak yang bertentangan, sekarang kena banyak sabar memikirkan saya ada keluarga yang kena dipertahankan.
"Jika di lokasi, ada ramai wanita cantik dan seksi, jadi saya kena tapis pandangan mata saya. Boleh tengok tapi tak boleh tengok lebih-lebih," ulas Aaron dengan senyum nakal.
Gengster dan banduan
|
|
Bukan lagi Bintang Eksklusif Astro sejak Mac 2010, Aaron kini bebas bekerja dengan mana-mana rumah produksi tanpa had siaran di mana-mana saluran.
Baru sudah selesai penggambaran drama bersiri Qabil Dan Habil, dia kini menyerap karakter baru. Bukan sekadar gengster seperti yang pernah terpamer menerusi Evolusi KL Drift 1, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2. Menerusi filem KL Gangster, filem terbaru terbitan Skop Production Sdn. Bhd. yang memulakan penggambaran sejak 9 Jun lalu, Aaron melengkapkan siri watak jahatnya.
Kali ini dia menjadi kepala gengster yang digeruni. Dia menggalas watak bekas banduan yang harus berdepan realiti hitam.
"Melakonkan watak Malik, walaupun masih bawa watak gengster, saya cuba asingkan diri dengan karakter yang pernah disaksikan dalam Evolusi KL Drift 1 dan 2.
"Ada perubahan daripada segi rambut, karakter yang lebih baik kerana saya menjadi banduan yang telah insaf, solat dan mahu bina hidup baru. Tapi tidak semudah itu, kawan baik saya dibunuh dan ada pihak yang sengaja cari pasal dengan keluarga saya, adik-adik saya mula terlibat dengan dadah dan kongsi gelap.
"Itu yang kena saya pertahankan dalam filem terbaru ini. Sebab itu di hujung cerita, penonton akan lihat banyak aksi dan pergaduhan," katanya yang kali pertama diberi peranan hero dalam filem arahan Syamsul Yusuf.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: