Monday, June 14, 2010

Suamiku berkorban untuk kekasih

UDAH bertahun-tahun ruangan DCCK ini menjadi bahan bacaan ramai kaum wanita, tetapi rasanya tidak ramai yang mengambil iktibar, baca sekadar baca dan untuk mengisi masa lapang sahaja, bila dah terjadi kepada diri sendiri barulah percaya. Bak kata pepatah Melayu dah terhantuk baru tengadah''

''Begitulah dengan saya suatu ketika dulu. Sekarang saya ingin jadikan diri saya sebagai contoh supaya anda jangan jadi macam saya, jadikan kesilapan masa lalu saya sebagai teladan.'' Demikian cerita Noralisa dalam e-melnya kepada penulis.

''Saya mahu tanamkan dalam minda pembaca semua jangan percaya seratus peratus sumpah apalagi janji manis suami. Mereka boleh bersumpah beratus malah beribu kali, tetapi satu pun tidak akan dikotakan.

''Apa yang mereka lakukan hanya untuk mententeramkan jiwa anda seketika supaya anda tidak histeria, mengamuk dan merajuk. Biarlah saya buka tirai kehidupan saya yang sudah lebih 20 tahun berkahwin dan ada empat anak untuk anda tatap.

''Siapa sangka setelah lama berkahwin, baru dua tahun lalu baru saya dapat tangkap aktiviti curang suami saya. Dia menjalin hubungan dengan ramai wanita.

''Hancur lulur hati saya, sebab selama ini saya terlalu percayakan dia, saya tidak sangka dia curang terhadap saya. Kerana daripada apa yang digambarkan kepada saya selama ini seolah-olah dia suami yang baik. Tapi itu semua pura-pura dia mempunyai kehidupan yang amat berbeza di belakang saya, yang tidak saya ketahui.

''Bila dapat tahu saya tak percaya juga, tapi saya selidik tanpa pengetahuannya, dalam diam saya dapat kumpul banyak bukti tanpa dia sedar.

''Satu hari saya tanya dia benarkah dia hubungan dengan perempuan lain. Dia nafikan malah menempelak saya balik konon dia begitu setia mengapa saya tuduh sembarangan. Terkejut dia bila saya tunjukkan bukti. Ada kondom dan ubat kuat yang dia tidak gunakan kepada saya. Saya sebutkan sekali nama teman wanitanya. Hubungan mereka bukan sekadar kawan biasa, malah lebih daripada itu.

''Akhirnya baru dia mengaku, tetapi tetap mendakwa mereka hanya kawan biasa. Takkan saya tak boleh bezakan antara kawan biasa dengan kekasih. Kemudian dia bersumpah tidak akan menjalin hubungan lagi, dia mengaku masih sayangkan kami.

''Tapi Allah tunjukkan bukti kecurangannya lagi. Sumpah jadi mainannya. Dia lebih sedia dengan wanita lain daripada saya.

''Saya amat sedih pengorbanan saya selama ini sia-sia, banyak wang ringgit saya lebur kerana percayakan suami. Dia suka buat bisnes, sayalah tempat dia mengadu pinjam duit. Simpanan saya habis, barang kemas lesap.

''Bila ada duit bukan dia bayar hutang saya atau tebus barang kemas, sebaliknya dia habiskan dengan wanita lain, siapa tak sakit hati. Macam mana bisnes nak maju kalau keuntungan dia buat maksiat. Jalan terakhir saya memohon cerai secara tuntutan fasakh.

''Bayangkan selama ini semua perbelanjaan makan minum dan urusan rumah tangga terletak ke atas bahu saya.

Perangai

''Tapi dengan perempuan lain dia sentiasa ada duit. Sanggup belikan dan bayar bil telefon. Bagi duit beribu ringgit. Kalau dengan anak-anak minta duit memanjang dia jawab tiada duit.

''Berbalik pada cerita permohonan cerai saya, bila dia tahu dia marah dan mengamuk. Tapi saya telah tetapkan hati. Kerana sakit hati dia tabur fitnah kepada ibu dan mertua saya kononnya saya minta cerai sebab ada jantan lain.

''Kepada anak-anak dia beritahu saya dah gila nak minta cerai. Sebenarnya anak-anak lebih dulu tahu perangai buruk ayahnya daripada saya, cuma mereka tak sampai hati nak bagi tahu saya. Mereka selalu tanya kenapa saya tak marah ayahnya balik subuh, takkan buat bisnes sampai subuh. Saya saja yang bodoh tak faham.

''Bila nak bercerai suami saya mula jalankan taktik memujuk, dia berjanji dengan peguam saya tidak akan mengulangi perbuatan terdahulu. Akhirnya peguam saya mencadangkan saya tarik balik dengan syarat suami saya bersumpah depan hakim secara suluk.

''Saya ikut cadangan peguam dengan syarat jika dia langgar syarat yang ditetapkan saya tidak akan bertolak ansur. Lagipun emak mertua saya mohon saya maafkan anak dia.

''Lepas saya tarik balik permohonan fasakh, suami saya bukan main baik lagi. Tapi sekejap saja. Baru-baru ini saya dapat tangkap dia buat hubungan dengan wanita lain. Jadi salahkan saya bertindak minta cerai?

''Saya bersyukur kepada Allah kerana kini rezeki saya semakin dilebarkan oleh-Nya. Sementara rezeki suami semakin sempit. Sebenarnya selama ini pendapatan suami hanya untuk dirinya sahaja, bukan untuk keluarga, dan inilah pembalasan Allah kepadanya.

''Jadi saya ingin mengingatkan kaum wanita janganlah percaya suami 100 peratus.

''Sebenarnya kalau siapa pun lihat muka suami saya tak akan percaya dia buat kerja terkutuk itu. Baiknya muka dan tingkah laku dia di mata orang macam orang alim ulamak bak kata orang sekarang muka syurga tapi hati neraka.

Demikian cerita Noralisa yang masih bersabar menunggu. Harapannya pengorbanannya selama ini membawa keberkatan kepada anak-anaknya dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: