Monday, June 14, 2010

Membangkitkan suasana damai


SUSUNAN perabot di Swasana ringkas. Hotel impiana gemar memilih hiasan yang tidak terlalu padat tetapi selesa untuk pelanggan.


SAMBUTAN pertama sebaik masuk ke Swasana Spa sungguh mendamaikan jiwa. Elemen tradisional dan moden bergabung menghasilkan suasana kontemporari.

Bertemankan alunan muzik tradisonal, hati pasti terpesona dengan hiasan yang berasaskan rempah-ratus dan kayu.

Lantai dan dinding pula diperbuat daripada kayu menghasilkan sentuhan sejuk, nyaman dan selesa. Tidak seperti berada di kota metropolitan, hati pasti terpaut melihat hiasan di setiap ruang.

Sambil menjamu teh halia, mata leka menyaksikan susunan sofa sederhana dipadankan meja kayu kecil.

Di tepi ruang berehat, kita dapat menyaksikan hiasan daun-daun hidup dan susunan batu-batu hiasan kecil.

Jika kebanyakan pusat rawatan lain memilih menggantungkan bingkai gambar moden, Swasana pula mengutamakan hiasan berasaskan rempah-ratus. Sesuai dengan konsep urutan tradisonal, semestinya hiasan cengkih, bunga lawang, tongkat ali dan kulit kayu manis yang diawet disusun kemas.

Ternyata idea menarik itu mewujudkan suasana rileks.

Pertama kali menyusun langkah di laluan yang disediakan, terdetik perasaan takut. Pengunjung akan berjalan di atas kaca yang di bawahnya terdapat hiasan batu. Unik dan kreatif. Bukan itu sahaja, susunan kayu dinding juga menambat hati. Di sebalik elemen tradisional, pengunjung masih dapat melihat hiasan moden seperti lampu kecil dan siling. Bilik sauna juga menggunakan hiasan moden walaupun di kelilingi kayu. Lebih menarik, jika terdapat aliran air di sepanjang tempat laluan. Terdapat sebuah hiasan kayu yang unik, seperti tidak nampak fungsi sebenar tetapi ia berjaya menyuntik suasana kontemporari.

Bagi mereka yang ingin berehat sambil menikmati suasana siang atau malam di Kuala Lumpur, ruangan bersantai disediakan. Sambil mengurut kaki, pengunjung akan merasai pengalaman yang indah kerana anda dijamu dengan pemandangan kolam renang dan KLCC.

Sambil diulit alunan muzik, anda akan lena dibuai dengan sapuan minyak yang mampu menghilangkan kepenatan seharian menguruskan tugasan kerja.

Sementara itu, jika anda bercadang berbulan madu atau bercuti di kota metropolitan Kuala Lumpur, Hotel Impiana mungkin tempat yang sesuai. Sambil menikmati layanan indah di Swasana Spa di tingkat empat, anda boleh menghayati keindahan dekorasi bilik di hotel tersebut. Lokasinya di tengah-tengah bandar raya berdekatan Menara Berkembar Petronas, menyebabkan lokasi pilihan kali ini sangat strategik.

Hotel Impiana turut memilih konsep tradisonal dan moden. Bercita rasakan elemen kontemporari, setiap katil dilapik dengan cadar bermotifkan songket. Selain lantai berasaskan kayu, susunan perabot moden ternyata kemas dan selesa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: