Thursday, June 3, 2010

Siti puas hati


SITI kini lebih yakin dengan produk SimplySiti yang mula meraih pengiktarafan.


SELAIN bergelar penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, yang baru berjinak-jinak sebagai usahawan barangan kosmetik dan kecantikan kulit, SimplySiti terus mencipta rekod tersendiri apabila produk di bawah labelnya mendapat pengiktirafan tertinggi.

SimplySiti yang dilancarkan secara rasmi sejak April lalu meraih Anugerah Produk Halal Terbaik daripada The Halal Journal diterajui oleh Kasehdia Sdn. Bhd. sekali gus mengalahkan beberapa produk tempatan termasuk yang mendahului di pasaran sebelum ini.

The Halal Journal merupakan sebuah jurnal berbahasa Inggeris yang memulakan edisi pertama pada Januari 2005. Sebelum itu, The Halal Journal pernah dicetak buat pertama kali pada Ogos 2004 sebagai panduan kepada delegasi dan peserta menghadiri Persidangan Halal Sedunia Malaysia 2004 (MIHAS 2004) yang berlangsung di ibu negara.

Bukan itu sahaja, jurnal yang dikepalai oleh pengarahnya, Jumaatun Azmi itu merangkumi keseluruhan aspek pengeluaran dan pembuatan dalam industri halal global yang menekankan tentang pasaran ekonomi berdasarkan konsep Islam.

Siti yang bertindak sebagai Presiden SimplySiti Sdn. Bhd. berkata, dia cukup gembira dengan pencapaian setahun jagung SimplySiti selepas melampias sepenuh keringat memunculkan produk kecantikan dan penjagaan kulit itu kepada pengguna.

"Alhamdulillah, selepas puas hendak meyakinkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan sijil halal pada produk ini, tidak lama kemudian SimplySiti dianugerah pula produk halal terbaik di Malaysia.


SEMPAT melayan rakan-rakan niaga dari seluruh negara yang membantu mengembangkan nama SimplySiti.


"Tiada lebih membanggakan kerana keputusan ini dipersetujui oleh individu tertentu dari negara-negara Islam seluruh dunia. Dengan adanya penghargaan ini, Siti dan seluruh tenaga kerja bertambah yakin untuk meneruskan langkah SimplySiti selepas ini," jelasnya ketika ditemui pada majlis doa selamat SimplySity di ibu negara minggu lalu.

Begitupun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Biarlah Rahsia itu memberitahu, majlis tersebut sebenarnya bukan bertujuan merai kemenangan SimplySiti dipertauliahkan sebagai produk halal terbaik.

"Siti baru tahu tentang perkara ini selepas kami merancang untuk adakan majlis doa selamat. Ini semua secara kebetulan. Padahal, acara ini dilakukan sebab hendak beri penghargaan kepada seluruh pihak yang membantu menaikkan nama SimplySiti.

"Biarpun baru lebih sebulan berada di pasaran, Siti berbangga dengan pencapaian memberangsangkan produk ini. Diakui, untuk tahun pertama ini Siti pasti tidak dapat lagi keuntungan. Cuma, Siti sangat berpuas hati sebab jenamanya mula dikenali umum," ungkapnya yang masih belajar banyak perkara tentang selok-belok cabang bisnes.

Tidak hanya Indonesia dan Singapura, syarikat itu turut menimbang untuk memasuki pasaran Timur Tengah tidak lama lagi ditambah selepas menerima penghargaan sebagai produk halal terbaik sesuai digunakan oleh golongan wanita termasuk beragama Islam.

Di Malaysia, produk SimplySiti boleh didapati di lebih 200 cawangan Watson di seluruh negara sementara Jusco tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: