SERING kali melawat Malaysia atas tanggungjawab sebagai duta Canon, Simon Yam bagaimanapun tidak pernah menjejak kaki ke mana-mana syarikat media tempatan. Maka, kedatangan pelakon Hong Kong berusia 55 tahun ke pejabat Kosmo! pada Rabu lalu adalah pertama kali buatnya.
Mesra melayan setiap warga Kosmo! yang ada, Simon yang hadir bersama kakitangan Canon turut meluangkan masa untuk berbual mengenai perkembangan terbaru kariernya serta sedikit kehidupan peribadinya.
Baru sahaja memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada majlis Anugerah Filem Hong Kong, pengiktirafan itu merupakan yang pertama buat Simon menerusi watak dalam filem Echoes of the Rainbow. Namun, bagi Simon, penerimaan anugerah itu tidak mengubah dirinya sebagai seorang aktor.
"Semuanya masih kekal sama. Jika saya tidak memenangi anugerah sekalipun, saya masih akan berlakon. Tapi anugerah itu satu penghargaan," kata Simon dalam senyuman.
Sudah terlibat dalam lebih 50 buah filem, Simon dalam bulan Julai nanti akan mencabar dirinya untuk berlakon di Ireland. Menariknya, karya yang akan dibikin itu bukannya genre aksi atau drama seperti yang selalu dijayakan.
"Filem ini mengisahkan alam sekitar. Ia sebuah karya komedi ringan mengenai sepasang kekasih. Mereka mempunyai pandangan berbeza dalam melindungi bumi. Jadi dari situ, muncul banyak adegan komedi.
"Sebelum ini saya sudah terlalu banyak terlibat dalam filem aksi. Jadi saya mahukan kelainan. Saya suka filem yang dapat menyalurkan mesej," ujarnya yang juga menyukai watak sebagai seorang polis.
Merupakan suami kepada model terkenal, Qiqi, pasangan itu yang berkahwin sejak tahun 1997 memiliki seorang anak perempuan, Ella Yam, lima tahun. Baru-baru ini, Simon yang sudah merokok selama 15 tahun didenda anaknya.
"Dia mahu mendidik saya supaya tidak merokok. Suatu hari, secara tidak sengaja, dia ternampak saya merokok. Jadi saya didenda untuk berdiri di satu sudut rumah yang dipanggil sudut nakal. Sudah beberapa kali sebenarnya saya didenda Ella.
"Mungkin dalam masa dua atau tiga tahun lagi saya akan berhenti merokok. Sekarang saya juga sudah mengurangkan kepada setengah pek satu hari. Disebabkan sudah terlalu lama merokok, maka proses ini akan mengambil masa," ujar Simon.
Menetap di Hong Kong, adakah Simon sudah cukup dengan seorang anak? Jawab Simon, bukan senang untuk menjaga wanita-wanita di rumahnya. Jadi dia merasakan seorang anak sudah mencukupi.
"Selain Ella, saya juga perlu menjaga isteri saya. Bukan mereka sahaja, saya juga menjaga ibu mertua saya, ibu dan kakak saya serta tiga orang gaji.
"Bayangkan saya sekarang perlu menjaga lapan orang wanita. Kemudian saya ada seorang pemandu lelaki, betapa besarnya tanggungjawab saya. Namun, saya suka pulang ke rumah selepas penat seharian. Ella pandai menggembirakan saya."
Memiliki 25 kamera, Simon yang sudah menggalas tugas sebagai duta Canon selama 16 tahun juga bakal menjalankan pameran pertamanya di New York pada penghujung tahun ini.
"Sudah lama saya mengidamkan pameran untuk mempamerkan hasil kerja saya. Selepas New York, saya mungkin akan menjalankan pameran di Paris, Hong Kong dan China. Semuanya bertema bunga. Foto bunga adalah subjek kegemaran saya," katanya yang juga berharap untuk mengadakan pameran foto di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: