Wednesday, June 23, 2010

Siapa mulakan gosip?

Gosip artis A nak rampas kekasih artis B banyak kali kita dengar di kalangan artis negara ini. Malah gosip sedemikian semakin mudah beredar apabila artis sendiri `memanfaatkan' laman sosial untuk meluah perasaan masing-masing.

Tiz Zaqyah antara artis yang baru terpalit gosip cuba merampas kekasih artis lain. Artis yang dikaitkan dengannya ialah si pelakon sensasi Fasha Sandha. Fasha sudah lama tak kedengaran kisahnya apabila wartawan hiburan tidak mahu mengendahkannya sejak beberapa lama.

Kini apabila dirinya mula diambil tahu oleh wartawan, timbul lagi gosip. Kalau dulu dia yang dilabel sebagai perampas kekasih orang, sekarang situasinya terbalik. Ada artis dikatakan cuba mengganggu hubungannya dengan si kekasih.

Namun Tiz menafikan dirinya sebagai orang dimaksudkan dalam kes membabitkan Fasha. Malah kata Tiz, dia diperkenalkan oleh Fasha sendiri dalam satu pertemuan ketika keluar malam bersama-sama.

Satu gosip mengatakan seorang wanita (kononnya ditujukan kepada Tiz) cuba menggoda kekasih Fasha dengan mempelawa lelaki itu keluar pada pukul 4.00 pagi. Ada juga yang memanjangkan cerita mengatakan Tiz meminta dihadiahkan kereta mewah oleh lelaki itu.

Malah Tiz juga dikatakan pernah mengajak Fizz Fairuz untuk keluar malam. Namun Tiz menafikan dakwaan liar tersebut.

"Saya terkejut mendengarkan perkara begini. Dalam sibuk membuat persiapan berlakon filem, ada yang menyampaikan gosip ini kepada saya. Saya anggap perkara ini mengarut kerana ia tidak kena mengena dengan saya.

"Ada juga rasa kelakar. Ada juga kawan-kawan rapat kata ada orang cuba memanipulasi saya atau tersalah sangka," kata Tiz.

Tiz tidak mahu melatah dan sedia bercakap pasalnya kerana tahu dia bukannya berada di pihak orang salah.

"Dulu saya tidak percaya pada gosip. Ingatkan zaman saya bersekolah saja wujud benda macam ini. Tetapi sekarang saya harus terima hakikat kewujudan orang seperti ini di sekeliling saya.

"Tapi saya tak menyalahkan diri atau sesiapa dalam hal ini kerana niat saya berkawan dengan orang adalah ikhlas. Namun apakan daya hal ini telah berlaku, saya redha menerimanya. Tidak ada apa yang perlu saya katakan, jauh sekali hendak beri nasihat kepada individu yang memfitnah saya," kata Tiz.

Macam mana cerita gosip yang dipetik oleh penulis pojok gosip dan penulis gosip di Internet beredar? Pada pengamatan saya, ia bermula daripada si artis sendiri. Mereka yang mendedahkan diri untuk jadi bahan gosip.

Fasha sendiri sudah beberapa kali meluah perasaan terhadap Nora Danish di laman sosial Twitter miliknya. Kes perbalahan dengan Nora selepas di diboo pada satu majlis anugerah dulu diluahkan dalam Twitter sehingga tulisannya dipetik dan menjadi bahan gosip.

Walaupun tidak menyebut dengan nyata, tapi dalam situasi tertentu orang boleh membuat spekulasi dengan situasi yang dilalui. Apatah lagi Nora Danish juga turut menulis sesuatu yang boleh dikaitkan dengan Fasha pada masa itu.

Kalau mereka berbalah dalam telefon atau bercakar di tempat tertutup, pasti tak ada yang tahu melainkan mereka sendiri yang menjaja cerita kepada kawan dan kawan itu menyampaikan kepada penulis gosip.

Demikian juga dalam kes membabitkan Fasha dan Tiz. Fasha pernah menulis pasal `perempuan tu' yang cuba mengganggu hubungannya dengan seseorang yang dia gelarkan 'my love'. Daripada situlah ada yang membuat spekulasi perempuan yang dimaksudkan itu sebenarnya Tiz, tanpa Fasha menyebut namanya.

Mungkinkah memang Tiz yang dimaksudkan oleh Fasha atau ada perempuan lain yang dimaksudkannya? Hanya dia yang tahu. Tapi tindakan Fasha membuat luahan itu sudah menimbulkan gosip baru terhadap dirinya.

Demikianlah salah satu cara bagaimana gosip mula tersebar. Dalam kes melibatkan artis lain pun, macam itu juga kaedahnya. Apabila mereka sendiri membuka mulut, maka tersebarlah cerita.

Mungkin juga ada penambahan apabila beredar dari mulut ke mulut sebelum sampai kepada penulis pojok gosip.

Kadang-kadang ada insiden yang berlaku di hadapan penulis pojok sendiri, tapi demi menjaga nama mereka yang mungkin akan dicemuh, penulis sengaja tidak menyebut nama sebaliknya sekadar menamakan artis A atau artis B sahaja.

Penulis gosip pun tahu menjaga air muka apabila ada cerita yang memualkan singgah ke telinga mereka. Sebab itulah kalau ada gosip pasal artis termengandung, gugurkan anak, minum arak atau sebagainya, selalunya tidak menamakan si artis secara langsung walaupun mereka pasti ia satu kebenaran.

Sengaja cipta gosip?

Gosip sering dikatakan sebagai satu perkara yang sangat ditakuti oleh artis. Ada yang mahu jadi artis bersih tanpa gosip. Tapi ada juga artis yang tidak boleh duduk senang kalau tak ada gosip pasal mereka.

Mereka berpendapat kalau kita tak jadi bahan gosip tandanya kita tak popular. Sebab itu ada artis yang tidak kisah dirinya menjadi bahan gosip selagi mereka boleh melalui gosip itu dan ia masih dalam tahap tidak melampau.

Mungkin benar juga gosip boleh mempopularkan seseorang sebab banyak kisah pasal mereka dipaparkan. Kalau nak harapkan kisah perjalanan seni, apa sangat yang nak ditulis. Mereka bukannya menang anugerah setiap hari ataupun melahirkan album baru setiap bulan.

Kalau mahu tunggu mereka menang anugerah, terbitkan album baru atau berlakon filem baru, berapa sangatlah bilangannya berbanding kisah jatuh cinta, putus cinta dan kisah si artis berhibur malam yang jadi bahan gosip?

Nama-nama yang kerap jadi bahan gosip seperti (hanya beberapa nama) Ifa Raziah, Fasha Sandha, Erra Fazira, Faizal Tahir kekal popular sehingga hari ini. Walaupun pernah jadi paparan dengan kisah tidak baik, namun mereka kekal popular.

Datuk Siti Nurhaliza juga tidak pernah reda dengan gosip sejak mengenal cinta dan selepas berkahwin. Malah wanita itu semakin hari semakin popular dan semakin banyak kejayaan yang dicapainya.

Hari ini nama Luna Maya dan Ariel Peterpan sangat hangat kerana cerita negatif pasal mereka apabila dikatakan terlibat dalam skandal video seks. Setiap hari kisah mereka menjadi paparan utama akhbar di negara mereka Indonesia.

Bukan sahaja di Indonesia malah kisah mereka juga turut dipetik agensi berita luar negara untuk dihebahkan ke seluruh dunia. Ariel dan Luna sekarang sudah terkenal di seluruh dunia. Hari ini nama mereka busuk, tapi bila orang dah lupakannya nanti mereka akan diterima kembali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: