Sunday, June 13, 2010

Shahir AF8 terharu terima sambutan luar biasa

Bukan tidak pernah pulang ke kampung halaman, tiada yang istimewa selain ingin melepas rindu bertemu keluarga setelah tiga bulan bertapa di dalam akademi. Namun, kali ini berbeza apatah lagi dengan gelaran juara AF Shahir.

Tidak hanya keluarga dan sanak saudara, malah hampir 1,000 peminat Shahir sanggup menunggu ketibaan juara baru itu hanya ingin menatap wajahnya dari dekat.

Meskipun hanya berkesempatan bertemu ikon baru itu hanya tiga jam, tetapi terpancar rasa puas hati apabila Ikon Belia Perak itu tidak putus dengan senyuman sejak mula tiba hingga tamat sesi bertemu peminat.

Kenduri kesyukuran yang di adakan di kampungnya seperti menyambut pengantin. Semua serba biru, warna tema daripada kelab Peminat Shahir. Tidak hanya peminat dari dekat malah hari itu merupakan pertemuan ahli kelab itu dari seluruh negeri.

“Saya terharu dengan sambutan yang diberikan. Saya tidak menyangka kenduri kesyukuran sebegini meriah. Saya amat berterima kasih kepada keluarga dan peminat yang sudi hadir. Walaupun hanya tiga jam masa yang ada untuk saya bermesra bersama mereka tetapi saya puas hati.

“Kami semua ‘enjoy’. Inilah masa untuk saya lebih dekat dengan peminat saya. Saya gembira apabila tengok mereka semua gembira. Lagi pula, kemenangan saya di AF adalah sokongan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

“Memang pada mulanya saya rasa biasa sahaja. Perasaan teruja nak balik kampung tu menebal di dada saya ni. Sudah tiga bulan tak bertemu keluarga. Tetapi sebaik menghampiri kawasan rumah, saya terkedu melihat ramai orang.

“Rasa macam majlis sambut menantu pula, walaupun tiada calon yang di bawa bersama ketika itu,” seloroh Shahir.

Walaupun tiba agak lewat kerana sibuk menjalani penggambaran Diariku�Shahir, dia berasa terharu dengan sambutan terhadap dirinya.

“Keluarga saya jarang buat kenduri besar macam ni. Rasanya kali terakhir adalah ketika majlis khatan saya dulu (sambil ketawa). Saya seronok sangat apabila kenduri sebegini kerana dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di samping memanjangkan silaturahim dengan peminat yang hadir,” katanya.



Cerita tempat tidur, tandas



Menurutnya lagi, ketika peminat menunggu kehadirannya, ada antara peminat yang bertanya kepada ibunya di mana tempat tidurnya serta tandas yang biasa digunakan.

“Waktu itu emak saya agak terkejut. Mana tidaknya, mereka kata nak ambil aura saya. Saya hanya tergelak sahaja. Saya rasa bertuah kerana dikelilingi peminat yang memberi sokongan padu kepada saya dan mereka sangat menghiburkan,” cerita Shahir tentang karenah peminat-peminatnya sejak keluar daripada Akademi.



Tunggu album baru



Sejak bergelar juara, jadual kerjanya amat padat hingga tiada masa untuk sendiri. Sedar sekarang adalah mas untuk bekerja setelah tiga bulan menimba ilmu, pelatun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini merasa gembira walaupun terpaksa menolak ke tepi masa bersama keluarga.

“Masa mula-mula tu saya agak kekok untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru, tetapi setelah mendapat nasihat dari senior-senior seperti abang Mawi dan beberapa lagi, saya rasa lebih bersemangat.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik terhadap kerjaya seni saya ini terutama kepada peminat saya yang tidak putus-putus memberi sokongan terhadap saya. Buat masa ini, saya sedang sibuk mengumpul material untuk album pertama dan berharap ia akan mendapat sambutan.

“Banyak maklum balas yang diterima mereka suka dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan. Jadi, untuk album pertama nanti, kemungkinan kebanyakan lagu-lagu saya lebih kurang begitu,” katanya yang sudah menerima tawaran berlakon dan berharap dapat mengembangkan lagi karier seninya.



Pesan ibu bapa jadi azimat



Sebagai pendatang baru, pastinya banyak liku ranjau yang terpaksa ditempuhi untuk mengukuhkan lagi kerjaya seninya. Namun, bagi anak sulung daripada lima beradik ini memegang pesanan ibu bapanya sebagai azimat dan doa untuk berjaya.

“Ayah dan emak selalu berpesan agar sentiasa apa jua yang saya lakukan biarlah ikhlas dan buat bersungguh-sungguh. Perlu sentiasa jujur dengan diri sendiri, berbaik-baik dengan semua orang serta sentiasa berprasangka baik. Saya akan ingat pesanan itu dan jadikan azimat buat diri saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: