Sunday, June 13, 2010

Siapa hendak gadai Kampung Baru



Satu keistimewaan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik (Nong Chik) Raja Zainal Abidin ialah beliau sentiasa tersenyum. Semua mengakui bahawa ketika dalam serius pun Menteri Pembangunan Wilayah itu kelihatan tersenyum.

Wawancara di pejabat Khidmat Rakyat UMNO Lembah Pantai di Bangsar tiga hari lalu dibuat ketika orang ramai berasak dan berbaris untuk menemui beliau. Setiap kali beliau berada di pejabat itu, masanya banyak dihabiskan bersama rakyat. Macam-macam aduan dan masalah dikemukakan, dan YB itu menyambutnya dengan senyuman.

Dalam kesibukan beliau sempat meluangkan masa untuk ditemu ramah oleh ABD JALIL ALI dan juru foto ROSLI TALIB mengenai isu yang hangat ketika ini, iaitu cadangan memberi kuota 40 peratus untuk penyertaan bukan Melayu dalam memajukan Kampung Baru di pusat bandar Kuala Lumpur.

Walaupun ditanya perkara-perkara yang agak sensitif dan kontroversi beliau menjawabnya dengan senyum. Berikut adalah antara isi perbualan tersebut yang sering terganggu oleh panggilan telefon, dan ketukan pintu daripada orang ramai yang menunggu di luar:



Ramai yang tidak setuju dengan ura-ura kerajaan hendak membangunkan semula kawasan penempatan orang Melayu Kampung Baru di tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Apa sebenarnya agenda di sebalik isu ini?

NONG CHIK: Agenda? Kita tidak ada apa-apa agenda. Hasrat kita ialah untuk menjadikan kawasan itu setaraf dari segi ekonomi dengan kawasan-kawasan lain di dalam segi tiga emas di Kuala Lumpur. Itu sahaja matlamat kita.

Sebenarnya apa yang kita hebohkan sekarang baru satu cadangan. Kita tidak akan terburu-buru, perlu dirancang dengan teliti. Kita mengambil kira dari segala aspek. Tidak ada apa pun yang patut dibimbangkan.

Lagi pun kalau kita lihat, sejak sekian lama tanah di Kampung Baru masih dalam keadaan dan kedudukan asal yang tidak ekonomik. Kita tidak boleh biarkan keadaan ini berlarutan. Kerajaan berpendapat sudah tiba masa untuk memikirkan pembangunan Kampung Baru secara serius.



Datuk ada menyebut kawasan itu hendak ditingkatkan dari segi ekonomi. Mengapa keadaan sekarang dianggap tidak ekonomik, boleh jelaskan secara terperinci?

NONG CHIK: Macam yang kita tahu, kawasan seluas kira-kira 300 ekar itu lokasinya amat strategik dari segenap aspek, iaitu dalam lingkungan segi tiga emas. Inilah satu-satunya kawasan milik Melayu yang agak luas di pusat bandar.

Cuba kita perhatikan kawasan di sekelilingnya semua telah membangun dengan pesat. Semua sudah bertukar menjadi pusat komersial, dengan nilai yang amat tinggi. Kita ambil contoh KLCC berapa nilainya, beribu-ribu ringgit sekaki persegi.

Tetapi, tanah di Kampung Baru yang dimiliki seratus peratus Melayu masih pada status lama. Nilainya amat rendah. Sebab itu kita merancang untuk meningkatkan nilai ekonomi kawasan ini supaya setaraf dengan kawasan sekitarnya. Ini untuk kepentingan pemilik, kepentingan Melayu.



Berapa nilai tanah di Kampung Baru sekarang?

NONG CHIK: Saya tidak pasti berapa nilai sekarang, mungkin agak meningkat sedikit. Tetapi kalau ikut anggaran tahun 2007 nilai tanah kawasan ini terlalu rendah, tidak padan dengan kedudukannya yang eksklusif di tengah bandar.

Mengikut anggaran 2007, nilai tanah di sini bergantung kepada status, iaitu yang masih dalam status pertanian hanya RM300 sekaki persegi, murah sangat. Tanah yang telah tukar status komersial nilainya antara RM500 hingga RM600. Ini pun masih terlalu rendah sekiranya dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain. Makin lama kita biarkan keadaan ini, makin rugi pemiliknya.

Kalau tanah bukan Melayu di kawasan segi tiga emas – KLCC, Bukit Bintang, Pudu, Jalan Petaling, Brickfields dan sebagainya – boleh mencapai harga ribu-ribu ringgit sekaki persegi, mengapa tanah Melayu di Kampung Baru nilainya begitu rendah? Ini yang hendak kita betulkan.



Bagaimana persepsi kerajaan terhadap Kampung Baru sebagai hak milik Melayu dengan kawasan lain milik bukan Melayu di Kuala Lumpur?

NONG CHIK: Kita tidak melihat sesuatu kawasan itu berdasarkan pemiliknya, dan tidak sahaja di Kuala Lumpur malah di tempat lain juga. Bagi kita kawasan Melayu atau kawasan bukan Melayu sama sahaja, kita bantu berdasarkan kepentingan dan keperluan kawasan itu.

Selama ini pun kerajaan telah melakukan apa yang sepatutnya untuk Kampung Baru. Kita nilai kampung itu sama dengan tempat-tempat lain dalam bandar. Kita menyediakan prasarana seperti kawasan-kawasan lain.

Tetapi, menyediakan prasarana seperti jalan raya, elektrik, dan kemudahan-kemudahan lain sahaja tidak cukup kalau nilai tanah masih macam dulu. Prasarana yang baik tidak akan menjamin nilai ekonomi kawasan itu. Kita kena bantu lebih dari sekadar prasarana.

Cadangan pembangunan semula Kampung Baru ialah untuk meningkatkan nilai tanah kawasan ini. Rancangan ini sekiranya dilaksanakan sepenuhnya akan menjadi penjana ekonomi bukan sahaja kepada pemilik tetapi kepada orang Melayu secara amnya.



Sebelum ini sudah banyak cadangan dibuat untuk memajukan Kampung Baru, tetapi semuanya tidak menjadi kenyataan. Orang menganggap cakap-cakap mengenai pembangunan kawasan ini lebih berbau politik, acah-acah orang politik untuk meraih pengaruh. Apa pandangan Datuk?

NONG CHIK: Ini kawasan Melayu, apa pun kita hendak buat orang akan kaitkan dengan politik. Isu yang terbaru ini menjadi hangat kerana telah diputar belit oleh sesetengah parti politik. Ada sesetengah orang politik sengaja hendak menjadikan ini satu yang kontroversi. Mereka inilah yang hendak mencari pengaruh, kita tidak.

Politik atau tidak bagi kita penempatan Melayu di tengah kota ini perlu dimajukan. Sebelum ini tidak ada satu rancangan bersepadu untuk memajukan kawasan berharga ini. Semua nampak samar-samar. Kali ini kita cadangkan sesuatu yang lebih konkrit. Percayalah, ini bukan cakap politik.



Salah satu yang menjadi isu dan ditentang keras ialah cadangan memberi 40 peratus dari kawasan yang dibangunkan itu kepada bukan Melayu. Apakah rasional di sebalik pemberian 40 peratus ini?

NONG CHIK: Kita melihat ini salah satu cara untuk membangun kawasan tersebut. Kita perlukan modal berbilion-bilion ringgit untuk membangunkan kawasan tersebut. Kita rasa kalau buka kepada orang bukan Melayu sebahagian dari kos akan dibayar oleh pelabur bukan Melayu itu. Itu tujuan kita beri kuota 40:60. Itu pula yang sekarang dikontroversikan.



Tetapi, seperti yang dihujahkan golongan penentang itu, dengan membuka penyertaan kepada bukan Melayu tidakkah itu seperti menggadai tanah kepunyaan Melayu itu kepada bukan Melayu? Ini yang ditentang habis-habisan. Apa komen Datuk?

NONG CHIK: Saya ingin tegaskan bahawa dalam pelan yang kita cadangkan, kita tidak mengetepikan perasaan dan sentimental pemilik atau pewaris. Macam saya kata awal tadi kita telah kaji dari setiap aspek. Kita kena jaga kepentingan Melayu.

Sebenarnya tidak timbul langsung soal hendak gadai tanah orang Melayu. Tidak ada keperluan untuk itu. Daripada gadaikan tanah di situ lebih baik tempat itu dikekalkan pada tahap sekarang.

Pada saya apa yang terjadi sekarang semuanya adalah salah faham. Ada beberapa perkara saya hendak jelaskan, supaya tidak lagi timbul sebarang kekeliruan. Saya harap jangan ada mana-mana pihak yang sengaja hendak memanaskan keadaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: