Sunday, June 13, 2010

Sukma Ke-13 Melaka Dibuka Penuh Gilang Gemilang

Persembahan kebudayaan semasa upacara pembukaan Sukma di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.

MELAKA: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 dibuka dengan rasminya dalam satu majlis penuh gilang gemilang dengan pertunjukan bunga api dan persembahan padang yang menarik di Stadium Hang Jebat di sini, malam semalam.

Acara perasmian itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dengan disaksikan kira-kira 40,000 penonton yang mula memenuhi stadium sejak pukul 6 petang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis yang bermula pukul 8 malam.

Sukma ke-13 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Jun ini menawarkan 434 pingat emas, disertai 6,500 atlet daripada 15 kontinjen termasuk dari Brunei yang mengambil bahagian sebagai kontinjen jemputan sejak Sukma kelima pada 1996.

Terdahulu, ketibaan Mohd Khalil disambut dengan persembahan selamat datang oleh 400 peserta yang mewakili masyarakat berbilang kaum termasuk Baba Nyonya, Portugis dan Chetti dan diiringi paluan rebana ubi, gendang Cina, kompang dan muzik asli.

Pantun dan lagu dondang sayang warisan popular Melaka menjadi pembuka tirai persembahan selamat datang yang kemudiannya diikuti dengan perarakan masuk kontinjen Sukma.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob (dua, kiri) kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek (kiri) dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dua, kanan) melambaikan tangan kepada penonton.

Mencuri tumpuan ramai apabila buat pertama kalinya 120 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tampil membawa bendera Jalur Gemilang, bendera Melaka dan bendera negeri-negeri.

Kemunculan 10 pelari berpasangan, terdiri daripada jaguh sukan negara, membawa baton Sukma yang menjelajah di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka sejak 14 Februari lepas, mendapat tepukan gemuruh.

Pelari terakhir, jaguh bina badan negara Datuk Wira Gan Boon Leong menyerahkan baton kepada Mohd Ali yang kemudiannya menyerahkan baton itu kepada Mohd Khalil lalu mengisytiharkan pembukaan Sukma ke-13.

Majlis pembukaan Sukma kali ini mencipta sejarah tersendiri dengan melibatkan 8,000 peserta persembahan iaitu teramai sejak sukan dwitahunan itu bermula pada 1986 di Kuala Lumpur.

Majoriti mereka adalah pelajar sekolah sekitar negeri ini yang lincah menggayakan persembahan bertenaga.

Perasmian Sukan Malaysia (Sukma) ke-13, 2010 diraikan dalam acara penuh gilang gemilang di Stadium Hang Jebat. Majlis disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob. Sebanyak 33 acara dipertandingkan pada temasya tersebut.

Daripada jumlah itu, seramai 5,000 orang adalah peserta paluan kompang yang turut mencipta sejarah tersendiri apabila dicatatkan dalam Malaysian Book of Records sebagai pemalu kompang teramai setakat ini.

Sebanyak 3,000 lagi merupakan peserta yang memeriahkan acara padang seperti persembahan khas yang melibatkan beberapa segmen iaitu zaman Kesultanan Melayu Melaka, kedatangan Arab dan perkembangan Islam, kedatangan pedagang China, kedatangan pedagang India, kedatangan Portugis dan Melaka Maju 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: