|
|
SAYANGI Diri, Sayangi Keluarga bersama Wanita adalah siri bengkel yang dianjurkan oleh Majalah Wanita, terbitan Utusan Karya Sdn Bhd (UKSB) dengan destinasi pertamanya di Hotel Istana Kuala Lumpur pada 3 Julai ini .
Pengarang Kanan Majalah Keluarga, Normala Hamzah berkata, destinasi kedua pula akan melibatkan zon Utara iaitu di Sungai Petani, Kedah pada 18 Julai 2010 dan zon Pantai Timur di Kota Bharu, Kelantan pada 24 Julai 2010. Sementara itu, dua lagi lokasi berikutnya bakal diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan Negeri Sembilan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Normala, selain mengetengahkan isu kesihatan, kecantikan, kekeluargaan dan keusahawanan, siri bengkel kali ini juga akan menampilkan topik baru yang bakal memberi manfaat kepada peserta bengkel iaitu mengenai zakat.
"Wanita tidak terkecuali dalam melaksanakan satu lagi tuntutan yang wajib bagi umat Islam iaitu zakat.
"Kita seringkali bercakap mengenai isu kekeluargaan dan segala yang berkaitan dengan wanita namun kita seakan-akan terlupa mengenai kewajipan kita sebagai umat Islam untuk membayar zakat kerana dari situlah kita mendapat keberkatan hidup.
"Justeru bengkel ini akan berkongsi topik tersebut selain daripada isu-isu yang dinyatakan sebelum ini.
"Ini juga antara penambahbaikan yang ingin kita kongsikan bersama agar manfaat ini dapat memperkasakan wanita yang kini turut menjadi penyumbang ekonomi negara," katanya sewaktu majlis penyerahan replika cek siri bengkel Sayangi Diri, Sayangi Keluarga Bersama Wanita di pejabat UKSB di Bangi yang telah disempurnakan oleh Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman.
Antara rakan strategik yang terlibat adalah Pengasas II yang juga Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan DCL dan D'Navechee, Datuk Azlina Che Abdullah; Ketua Unit Komunikasi Korporat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Nor Mukshar Harun dan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd, S M Gadafi Syed Ali.
Hadir sama konsultan imej dan pemilik butik W2W, Yasmin Siddik dan Hanizah Ahmad yang akan turut memberi ceramah dan tip mengenai penampilan diri.
Azlina dalam kata-kata aluannya memberitahu, beliau akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya dalam bidang keusahawanan untuk dikongsi dengan peserta.
"Kebanyakan wanita termasuk suri rumah mempunyai potensi dalam bidang perniagaan dan rajin berusaha, sehubungan itu, saya akan membantu mereka untuk melengkapkan diri sebagai 'pengurus kewangan' yang cekap dan bijak dalam menguruskan tanggungjawab sama ada di tempat kerja atau di rumah," katanya.
Perkara yang sama diucapkan oleh Nor Mukshar yang berharap lebih ramai wanita mendapat maklumat mengenai pentingnya mereka menunaikan zakat, satu tanggungjawab penting yang sering mereka terlupa
"Setiap wanita perlu pendedahan lebih menyeluruh mengenai zakat kerana ia penting dalam kehidupan setiap insan.
"Jika selama ini wanita sering di ketengahkan dengan isu kecantikan dan penampilan, pihak PPZ pula akan berusaha untuk memastikan setiap wanita juga tidak lupa kepada tanggungjawab utama mereka dalam hidup iaitu membayar zakat," ujar Nor Mukshar.
Turut menyerikan bengkel Ibu Halimah Suib pengasas Jamu Mak Dara yang akan berkongsi senaman awet muda menjaga kesihatan bersama tip penampilan dan imej diri yang akan diberikan oleh Yasmin Siddik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: