Friday, June 25, 2010

Pengaruh coklat


Puding Roti coklat


Salam sejahtera kepada semua pembaca Utusan Malaysia. Apabila bercakap tentang coklat saya pasti ramai yang menggemari coklat tanpa mengira peringkat usia tetapi sejauh mana anda tahu kebaikan coklat dan bagaimana coklat diproses?

Proses penghasilan coklat sebenarnya adalah rumit dan mengambil masa yang panjang. Coklat dihasilkan daripada likur, lemak koko dan susu serta bahan-bahan tambahan lain seperti gula dan vanila.

Coklat dihasilkan melalui tiga peringkat pemprosesan iaitu pengadunan, penghalusan dan conching.

Proses conching ialah proses pengadunan likur coklat secara berterusan selama lebih kurang 24 jam pada suhu antara 50 darjah celcius hingga 65 darjah celcius.

Likur coklat atau couventure yang dihasilkan akan digunakan untuk membuat coklat, coklat salutan dan hasil-hasil coklat yang lain.

Coklat sebenarnya mempunyai simbol dan pengaruhnya yang tersendiri yang antara lain ia turut menyumbang kepada kesihatan.

Ramai yang menganggap coklat adalah makanan yang tidak menyihatkan dan menggemukkan tetapi tanggapan ini perlu diperbetulkan kerana coklat mengandungi pelbagai kebaikan untuk kesihatan kita.

Coklat mengandungi anti-oksida iaitu dikenali sebagai flavonoids. Anti-oksida diperlukan oleh badan kita untuk melindungi badan kita daripada penuaan yang cepat yang disebabkan oleh radikal bebas seperti asap rokok yang boleh merosakkan sel kita di samping boleh meningkatkan penyakit barah.

Coklat gelap mengandungi lapan kali kandungan anti-oksida berbanding kandungan anti-oksida strawberi. Flavanoids juga mampu untuk melegakan tekanan darah tinggi dan menstabilkan hormon.

Selain itu coklat mengandungi phenylethylamine yang dapat mententeramkan emosi dan jiwa terutama ketika kita dilanda kemurungan dan kerisauan maka coklat adalah pilihan terbaik untuk melegakan kekusutan.

Lemak koko yang digunakan untuk membuat coklat memang baik untuk kesihatan kerana ia mengandungi asid oleik yang dapat meningkatkan kolesterol baik (HDL) dalam darah.

Karbohidrat yang terkandung di dalam coklat berupaya meningkatkan paras serotonin dalam otak yang dapat memberikan ketenangan dan kegembiraan.

Begitupun coklat yang dijual pasaran atau makanan yang diperbuat daripada coklat mengandungi gula, susu dan bahan-bahan sampingan lain membuatkan ia terlalu manis.

Justeru, adalah dinasihatkan untuk mengambil coklat dalam kuantiti yang sederhana kerana sekiranya ia diambil secara berlebihan ia mungkin akan menambahkan berat badan anda dan meningkatkan kandungan gula dalam darah.

Dari Dapur Chef Azli Razali ingin menceriakan anda dengan berkongsi resipi puding coklat semua penggemar coklat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: