Tuesday, June 15, 2010

"Saya bukan perempuan simpanan!"


GAYANYA yang manja pasti menggoda siapa sahaja yang melihatnya.


SUATU hal yang dikagumi oleh sebilangan besar wartawan hiburan mengenai aktres Zahida Rafik ialah dia tidak pernah melenting apabila orang bercakap yang bukan-bukan mengenai peribadinya.

Selama lebih lima tahun aktif sebagai anak wayang, pelakon itu dikaitkan dengan pelbagai dakwaan nakal dan liar. Semua tuduhan itu mampu mengguris perasaan sesiapa saja khususnya kaum wanita sepertinya.

Apa perkara negatif yang tidak dikaitkan dengan Zahida?

Namanya sering dikaitkan dengan orang kenamaan atau VIP. Ada yang mengatakan kemewahan yang dinikmati itu kerana dia 'dibela' oleh orang kenamaan, kaya dan berpengaruh.

Malah lebih ekstrem lagi, ada mendakwa kononnya dia menjual tubuh untuk hidup mewah.

Namun, entah dari mana Zahida memperoleh kekuatan dan tahap kesabaran sehingga segala umpat keji masyarakat padanya tidak langsung meninggalkan kudis buatnya.

Semua dakwaan itu bersifat menghina dan mengkeji kerana hidup sebagai perempuan simpanan bukanlah perkara yang wajar dibanggakan. Ia menyalahi hukum agama dan melanggar batas susila orang Melayu.

Mujur Zahida seperti yang disebut di atas, tidak mudah melenting. Jauh sekali untuk menuding jari kepada pihak lain. Hakikatnya, dakwaan liar itu sangat mengguris hati ibu bapanya - insan yang sangat dihormati dan disayangi.

Kepada Mega, aktres berdarah Pakistan ini memberi penjelasan yang wajar disifatkan sebagai berani dan jujur yang lahir dari lubuk jiwanya yang sudah lama memendam rasa.

"Saya sendiri tiada jawapan kenapa sejak menjadi artis tidak habis-habis saya dikaitkan dengan VVIP. VVIP tidak pernah hadir dalam hidup saya," luahnya dalam nada tenang namun penuh makna.

Yang terus menjadi tanda tanya dalam dirinya, kenapa orang ramai sibuk mendakwa dia 'dibela' oleh VVIP sedangkan dia masih tinggal sebumbung dengan orang tua. Segala pergerakannya sentiasa dimaklumkan kepada mereka.

"Kenapa saya harus tinggal dengan ibu dan ayah andai saya 'dibela' oleh VVIP? Sebagai wanita yang dikaitkan dengan dakwaan itu, saya terlalu kecewa. Ia sekali gus menjatuhkan maruah saya.

"Bagi saya apabila gosip mengatakan saya dibela oleh VVIP ia satu penghinaan. Saya bukan perempuan simpanan. Sebagai anak bongsu dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh kepada adat dan agama, ayah tidak membenarkan saya tinggal sendirian selagi belum berkahwin.

"Itulah syarat yang ayah berikan pada anak-anaknya dan juga saya apabila menceburi bidang seni," kata anak seni berusia 35 tahun mengenai syarat yang dikenakan oleh ibu dan ayahnya.

Spekulasi yang tidak masuk akal yang disebarkan itu menyebabkan ada ketika Zahida bimbang dan trauma untuk menghadiri acara-acara sosial khususnya yang dihadiri oleh golongan sosialit terutama golongan mak datin kerana bimbang dirinya dipandang hina dan dianggap mahu memusnahkan rumah tangga mereka.

"Ikhlas daripada saya untuk datin-datin semua janganlah takut dengan saya. Saya tidak 'makan orang' dan tidak suka merampas suami orang.

"Bahkan saya rasa lebih selesa menghadiri sesuatu majlis dan bercakap dengan seseorang VVIP yang saya sedia maklum sudah beristeri atau yang saya kenal isteri mereka," kata Zahida meninggalkan pesanan yang dianggap wajar dilakukannya bagi mengelak salah faham.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: