Tuesday, June 15, 2010

36 penyakit dilindungi dana KWSP

Pengeluaran Kesihatan penyakit kritikal baru kuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah jumlah penyakit kritikal yang boleh dikeluarkan di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 13 jenis penyakit kepada 36 jenis penyakit.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, jumlah penyakit kritikal yang baru berkuat kuasa hari ini. “Senarai ini diperluaskan selepas KWSP mengambil kira kos yang tinggi diperlukan bagi merawat penyakit kritikal dan bagi meringankan beban kewangan ahli dalam mendapatkan rawatan berkenaan. “Selain daripada 36 penyakit kritikal ini, ahli juga boleh membuat pengeluaran bagi merawat ahli keluarga berumur di bawah 16 tahun untuk tiga lagi penyakit kritikal iaitu lelah yang teruk, leukemia dan kecacatan intelektual disebabkan kemalangan atau penyakit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Azlan berkata, bagi pengeluaran kesihatan ahli dibenar mengeluarkan simpanan mereka daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan penyakit kritikal untuk diri mereka dan ahli keluarga.

“Ahli keluarga di bawah pengeluaran ini termasuk pasangan suami isteri, anak, anak tiri atau anak angkat yang sah dari segi perundangan, ibu bapa, mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang sah dari segi perundangan dan adik-beradik.

“Namun ahli tidak layak untuk memohon pengeluaran ini sekiranya penyakit yang dihidapi mereka tidak dinyatakan dalam senarai penyakit kritikal KWSP atau kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan ahli atau majikan ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, semua pengeluaran tertakluk kepada kesahihan laporan kesihatan, bil dan resit yang tidak melebihi tempoh satu tahun dari tarikh permohonan pengeluaran dibuat di atas nama pesakit atau pemohon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: