Tuesday, June 15, 2010

Bukan jual wajah




SEBENARNYA terlalu banyak penjelasan yang diberikan oleh Zahida Rafik kepada Mega berhubung cakap-cakap kurang manis mengenai dirinya selama ini.

Dia sedar, selama ini tidak begitu vokal dalam menjawab dakwaan-dakwaan itu dan kerana itu penjelasan dalam akhbar ini diharapkan akan membuatkan ramai orang akan lebih tenang hidup mereka dan tidak lagi memandang hina padanya.

Antaranya dia dianggap mahu 'menjual rupa' ketika menghadiri majlis-majlis besar yang lazimnya dihadiri tokoh-tokoh korporat. Ada juga yang mempertikai kehadirannya.

"Hairan sungguh saya kehadiran saya juga menjadi satu isu. Saya bukanlah mahu menegakkan benang basah, tetapi sebagai seorang usahawan saya perlu bercampur dalam majlis-majlis begitu.

"Tuntutan perniagaan memerlukan saya menghadiri acara-cara berkenaan kerana di sanalah saya berpeluang meneroka pasaran baru selain berkenalan dengan pelanggan-pelanggan baru.

"Saya juga tidak selalu bersendirian kerana ada ketika saya ditemani oleh kakak. Saya minta semua orang janganlah mudah menghukum saya. Saya sudah cukup dewasa dan tahu membezakan antara halal dan haram," pintanya penuh mengharap

Selama menjadi anak wayang, Zahida sudah membintangi lebih daripada enam buah filem antaranya Senario, Mami Jarum, Mami Jarum Jr, Anak Mami The Movie dan Kuliah Cinta.

Dia juga memiliki syarikat produksi Chilli Picture dan telah menerbitkan sebuah filem secara usaha sama dengan sebuah syarikat produksi Indonesia iaitu May tahun lalu.

Menyedari bumi bertuah Malaysia menawarkan rezeki yang murah, Zahida menerusi syarikatnya menerima kontrak untuk menganjurkan kempen Belilah Barang-Barang Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 16 hingga 20 Jun ini.

Kempen berkenaan jelasnya, menawarkan 20 ruang kedai khusus untuk golongan artis menjual apa saja barangan tempatan dan hasil kutipan sebanyak 20 peratus akan diserahkan kepada tabung kebajikan yang diusahakan oleh penyanyi Adibah Nor.

"Saya sendiri akan membuka dua gerai dan akan menjual barangan kecantikan dan pakaian label ZR Creation. Saya amat berbesar hati kerana projek amal ini mendapat sokongan daripada rakan-rakan artis dan para pereka fesyen.

"Saya bertuah mempunyai rakan-rakan yang sentiasa menyokong usaha saya seperti Albert. Walaupun butik Albert King baru dibuka tidak sampai dua bulan namun dia sanggup memberi kerjasama dalam kempen dan apa juga aktiviti kerjaya seni saya," kata Zahida yang berterima kasih kepada Albert kerana menggayakannya dengan rekaan terkini untuk sesi penggambaran dengan Mega tempoh hari.

Melalui kempen tersebut para artis dan pereka fesyen akan menjual dan melelong pakaian mereka. Artis lain yang turut mengesahkan penyertaan mereka ialah Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida, KRU, Haiza, Fazli Zainal, Vince, Dafi, Anding dan Leina Hangat.

Sementara pereka fesyen yang akan melelong rekaan mereka ialah Albert King, Rizalman, Michael Ong, Radzwan, Calvin Tho dan Bill Keith.

1 comment:

  1. dia tahu halal haram.. ye lah tu.. mungkin bagi dia haram tu makan babi jer kot..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: