Tuesday, June 1, 2010

Sarjan Suhaimi selia dan ronda 'kawasan panas'


Menerima surat penghargaan daripada ketua polis daerah seberang prai selatan.


Cabaran untuk mencapai sasaran pengurangan jenayah jalanan 20 peratus seperti terkandung di dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia memerlukan kerja keras oleh semua pihak khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguat kuasa undang-undang utama di negara ini.

Namun selepas diumumkan oleh kerajaan tahun lalu dan di sebalik pandangan sinis beberapa pihak, ia membuahkan hasil apabila indeks jenayah berjaya dikurangkan.

Ia sudah tentu tidak akan tercapai melainkan usaha bersungguh-sungguh dilakukan PDRM, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Antara ribuan terlibat ialah seorang calon gaya polis yang bertanggungjawab menyelia dan meronda di kawasan panas terutamanya di Jinjang Utara.

Berpengalaman luas dalam PDRM sejak 1982, Sarjan Suhaimi Zaini, 48, mengakui begitu teruja untuk bersama-sama menjayakan sasaran tersebut.

"Meskipun telah lama dalam pasukan, tetapi tugas menguruskan rondaan di kawasan panas amat mencabar. Sebelum ini saya merupakan anggota peronda polis (MPV) di daerah Sentul," katanya.

KAWASAN PANAS

Suhaimi berjanji akan mencurahkan semua pengalaman yang ada agar dapat dikongsi bersama dengan anggota lain dalam mencapai sasaran mengurangkan jenayah ditetapkan.

Antara strategi digunakan adalah dengan membuat beberapa pecahan kumpulan agar rondaan dapat dilakukan secara menyeluruh.

Semuanya itu disampaikan melalui taklimat yang diadakan setiap hari sebelum anggota melakukan tugasan mereka.

"Kita menjalankan tiga syif tugas selama 24 jam, yang akan 'menjaga' kawasan Jinjang Utara dengan menaiki motosikal.

"Antara jenayah yang diberi fokus keutamaan adalah samun, ragut dan dadah. Kita juga memeriksa warga-warga asing," ujarnya.

Namun yang lebih penting, Suhaimi memberitahu, bagi menjayakan matlamat itu adalah kerjasama dan sikap saling hormat menghormati antara anggota.

"Jika pegawai saya tidak ada pada waktu itu, saya akan mengetuai taklimat dan memberi peringatan serta nasihat kepada anggota sebelum melakukan tugasan mereka.

"Kelengkapan, cara bekerja dan disiplin setiap anggota sentiasa ditekankan ketika taklimat kira-kira 15 minit," katanya.

PENGALAMAN DAN TRAUMA

Membuka bicara, Suhaimi yang pernah bertugas selama 25 tahun di bawah Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) di Balai Polis Seberang Prai Selatan tak lekang dari senyuman.

Dalam tempoh tersebut, pasti pelbagai cabaran dan pengalaman yang beliau lalui ketika bertugas.

Beliau yang kelihatan kekok untuk ditemu bual namun akhirnya meluahkan satu pengalaman dalam ingatannya.

"Kejadian berlaku sekitar 1990, apabila saya diarahkan untuk 'bersedia' bertugas di Balai Polis Sebarang Prai Selatan.

"Saya kemudian mendapat arahan untuk pergi ke satu kawasan perkampungan di Tasik Cempedak , Simpang Empat, Pulau Pinang kerana ada seorang lelaki sedang mengamuk hingga mencederakan orang awam," katanya.

Tambahnya, ketika beliau tiba di lokasi kejadian pada pukul 8 pagi bersama beberapa pegawai dan anggota, suspek tiada dan dipercayai sedang bersembunyi.

Kata bapa kepada lima orang anak itu, pemeriksaan mendapati suspek telah mencederakan tujuh orang dan menembak empat orang awam.

"Kita terpaksa menunggu dan mengesan suspek di kawasan perkampungan itu sehari suntuk.

"Bagaimanapun, kira-kira pukul 5.30 petang, kita mendengar satu tembakan dan bergegas ke tempat tersebut," katanya.

Tambah Suhaimi, tiba-tiba seorang suri rumah menjerit ke arahnya dan memberitahu suspek berada di belakang rumah.

Katanya, beliau kemudian mengarahkan suspek untuk menyerahkan diri.

"Namun tanpa disangka, suspek meluru ke arah saya dan mengacukan pistol. Saya terkejut dan tidak sempat berbuat apa-apa.

"Mujurlah peluru pistolnya tiba-tiba habis, kalau tidak entahlah apa yang akan berlaku pada saya.

"Dia (suspek) kemudian ditahan oleh Unit Tindakan Khas (UTK) ketika cuba memasukkan peluru," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: