Tuesday, June 1, 2010

Che Hasni bakal bersara selepas 39 tahun berkhidmat dalam ATM




KUANTAN 31 Mei - Selepas berkhidmat lebih 39 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pengerusi Kor Armor Diraja (KAD) Tentera Darat (TD), Mejar Jeneral Datuk Che Hasni Che Ahmad (gambar) akhirnya bakal meninggalkan bidang yang telah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya itu.

Sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan beliau itu, satu majlis perbarisan sempena persaraannya diadakan di Padang Kawad 1 Kem Batu 10 di sini melibatkan 20 pegawai, 249 anggota lain-lain pangkat dan 29 kenderaan tempur.

Lebih unik lagi, perbarisan itu turut disertai oleh Skuadron Istiadat Berkuda TD membabitkan 18 ekor kuda yang dibawa khas dari Sungai Buloh, Selangor.

Hadir sama pada majlis perbarisan itu ialah Pengarah Kor Armor Diraja, Brigedier Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar; Panglima 4 Briged Mekanise, Brigedier Jeneral Zamrose Mohd. Zain; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Brigedier Jeneral Datuk Mohamed Batcha dan Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdullah Karim.

Ketika ditemui selepas itu Che Hasni berkata, beliau terharu dengan sambutan yang diberikan lebih-lebih lagi kehadiran Skuadron Istiadat Berkuda TD yang tidak pernah digunakan untuk majlis persaraan pegawai kanan KAD.

"Saya begitu terharu dengan perancangan yang diaturkan untuk saya," katanya yang turut terharu dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan TD yang lain.

Che Hasni turut merakamkan penghargaan kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi Pengerusi KAD.

Menurutnya, jawatan itu akan diserahkan kepada pengganti beliau pada Ogos ini sebelum bersara wajib pada 4 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: